Hukum Zina
Surah 4: An-Nisa’ (15 – 16)
Ayat 15
وَٱلَّـٰتِى يَأْتِينَ ٱلْفَـٰحِشَةَ مِن نِّسَآئِكُمْ فَٱسْتَشْهِدُوا۟ عَلَيْهِنَّ أَرْبَعَةً مِّنكُمْ ۖ فَإِن شَهِدُوا۟ فَأَمْسِكُوهُنَّ فِى ٱلْبُيُوتِ حَتَّىٰ يَتَوَفَّىٰهُنَّ ٱلْمَوْتُ أَوْ يَجْعَلَ ٱللَّهُ لَهُنَّ سَبِيلًا
Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka. Kemudian kalau keterangan-keterangan saksi itu mengesahkan perbuatan tersebut, maka kurunglah mereka (perempuan yang berzina itu) dalam rumah hingga mereka sampai ajal matinya, atau hingga Allah mengadakan untuk mereka jalan keluar (dari hukuman itu).
Pada permulaan Islam, jika seorang wanita melakukan perzinaan dan perbuatan tersebut terbukti dengan adanya bukti empat saksi lelaki yang adil, maka hukumannya ialah dia dikurung di dalam rumah dan tidak dibenarkan keluar sehingga sampai ajalnya. Manakala bagi lelaki yang melakukan perbuatan zina hukumannya adalah dicaci, dicemuh dan dihina dengan perkataan serta dipukul dengan selipar.
Hukuman ini berlaku sehingga Allah Ta’ala menghapusnya dan menggantikannya dengan hukuman yang lain iaitu hukuman sebatan bagi yang belum berkahwin. Firman Allah:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang daripada kedua-duanya seratus kali sebat, dan janganlah belas kasihan kepada kedua-duanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.”
An-Nur 24:2
Hukuman yang dikenakan kepada penzina yang telah bernikah baik lelaki mahupun perempuan adalah direjam. Daripada ‘Ubadah bin Shamit, Rasulullah saw bersabda:
“Ambillah daripadaku (hukuman zina), ambillah daripadaku (hukuman zina), Allah telah mengadakan sebuah jalan bagi kedua-dua orang yang melakukan perzinaan. Jika kedua-duanya belum bernikah, maka hukumannya adalah disebat seratus kali dan diasingkan selama satu tahun. Sedangkan sekiranya kedua-duanya masing-masing telah bernikah, maka hukumannya adalah disebat seratus kali dan direjam.”
(HR. Muslim)
Para ulama menetapkan bahawa bahagian akhir hadis ini dihapuskan (dinasakhkan) iaitu hukuman bagi penzina yang telah bernikah adalah hanya direjam sahaja tanpa disebat 100 kali. Ini adalah berdasarkan hadis lain yang menyatakan bahawa Rasulullah saw hanya menghukumnya dengan rejam sahaja tanpa melakukan sebatan terhadapnya.
Ayat 16
وَٱلَّذَانِ يَأْتِيَـٰنِهَا مِنكُمْ فَـَٔاذُوهُمَا ۖ فَإِن تَابَا وَأَصْلَحَا فَأَعْرِضُوا۟ عَنْهُمَآ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ تَوَّابًا رَّحِيمًا
Dan (mana-mana) dua orang di antara kamu yang melakukan perbuatan yang keji itu, (setelah sabit kesalahannya) maka hendaklah kamu menyakiti keduanya; kemudian jika mereka bertaubat dan memperbaiki keadaan diri mereka (yang buruk itu), maka biarkanlah mereka; kerana sesungguhnya Allah adalah sentiasa Menerima taubat, lagi Maha Luas rahmat-Nya.
Allah Swt menyatakan apabila dua orang melakukan perbuatan keji (fahisyah) iaitu melakukan zina, maka sakitilah mereka berdua dengan kata-kata berupa celaan, cemuhan dan kecaman atas perbuatan tersebut sekiranya mereka tidak mahu bertaubat.
Namun sekiranya mereka bertaubat dan memperbaiki diri, berhenti daripada melakukan perbuatan tersebut dan berasa sangat menyesal, maka dibiarkan mereka berdua dengan tidak disakiti mereka lagi melalui penghinaan tersebut. Ini kerana orang yang bertaubat tidak lagi menanggung dosa dan Allah Maha Penerima Taubat akan mengampuni hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan benar-benar bertaubat. Pesanan ini ditujukan kepada para penguasa dan hakim.
Ini adalah bentuk hukuman pada permulaan Islam yang termasuk bentuk takzir (hukuman) yang diserahkan kepada umat dalam menentukan bentuk dan kadarnya. Kemudian hukuman ini dihapuskan (dinasakhkan) dengan surah An-Nur ayat 2 dan hadis-hadis di atas.
Berdasarkan ayat ini dan ayat sebelumnya, dinyatakan semasa awal-awal Islam, lelaki yang melakukan perbuatan keji disakiti sehingga ke tahap mahu bertaubat dan memperbaiki diri, manakala wanita dikurung dalam rumah sampai tiba ajalnya. Daripada ayat ini dapat diambil kesimpulan bahawa menghukum dengan menyakiti iaitu melalui lisan dan tindakan serta menghukum dengan cara mengurung dalam rumah termasuk cara Takzir terhadap maksiat yang dapat membuat pelakunya berasa serik.
Takzir bermaksud hukuman dera yang dikenakan ke atas orang yang membuat kesalahan dan maksiat atau orang yang mencuaikan kewajipan. Kesalahan yang dilakukan ini tidak ditetapkan kadar dan bentuk hukuman di dalam Al-Quran dan Hadis. Oleh itu, ia tidak termasuk di bawah kes yang membolehkannya dijatuhkan hukuman Hudud atau Qisas.
Hukuman Takzir itu adalah bertujuan untuk menghalang penjenayah-penjenayah mengulangi kembali kejahatan yang mereka lakukan.
Namun setelah Allah Swt menurunkan wahyu mengenai ketetapan hukuman terakhir bagi perbuatan zina, maka hukuman Takzir di atas telah dimansuhkan dan diganti dengan hukuman Hudud.