Surah 4: An-Nisa’ (135)

Perintah Melaksanakan Persaksian dengan Jujur

Surah 4: An-Nisa’ (135)


Ayat 135

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ كُونُوا۟ قَوَّٰمِينَ بِٱلْقِسْطِ شُهَدَآءَ لِلَّهِ وَلَوْ عَلَىٰٓ أَنفُسِكُمْ أَوِ ٱلْوَٰلِدَيْنِ وَٱلْأَقْرَبِينَ ۚ إِن يَكُنْ غَنِيًّا أَوْ فَقِيرًا فَٱللَّهُ أَوْلَىٰ بِهِمَا ۖ فَلَا تَتَّبِعُوا۟ ٱلْهَوَىٰٓ أَن تَعْدِلُوا۟ ۚ وَإِن تَلْوُۥٓا۟ أَوْ تُعْرِضُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا

Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi (yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibu bapa dan kaum kerabat kamu. Kalaulah orang (yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa), kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu, janganlah kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan. Dan jika kamu memutar-balikkan keterangan ataupun enggan (daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.

Allah Swt memerintahkan orang-orang beriman agar sentiasa menegakkan keadilan dan tidak mudah cenderung untuk menyebelahi mana-mana pihak. Mereka hendaklah saling tolong-menolong dalam menegakkan kebenaran dan hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah Ta’ala. Persaksian kebenaran itu perlu dilakukan walaupun akan membahayakan diri. Sesungguhnya Dia akan menyediakan kelapangan sebagai jalan keluar daripada setiap kesempitan bagi orang-orang yang taat kepada-Nya. 

Sekiranya perlu kepada persaksian yang melibatkan kedua orang tua atau kerabat, seseorang itu tidak boleh membela mereka sebaliknya hendaklah memberikan persaksian yang benar walaupun membahayakan diri mereka. Ini kerana kebenaran adalah hakim bagi setiap manusia dan wajib didahulukan atas sesiapa sahaja. 

Begitu juga sekiranya persaksian diperlukan oleh golongan kaya tidaklah boleh membela mereka disebabkan kekayaan mereka. Kepada golongan miskin pula tidak perlu mengasihani mereka disebabkan mereka miskin. Allah Swt adalah pelindung mereka dan Dia lebih mengetahui kemaslahatan buat mereka. Selain itu, tidak boleh seseorang itu menjadikan rasa benci kepada orang lain sebagai alasan untuk tidak berlaku adil dalam sesuatu perkara atau urusan. Firman Allah Ta’ala: 

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Ma’idah 5:8 

Dalam ayat ini juga terdapat ancaman yang keras terhadap orang-orang yang memutarbelitkan fakta atau enggan memberikan persaksian, termasuk orang-orang yang menghukum atas persaksian palsu. Ini kerana mereka telah berpaling daripada kebenaran dan melakukan dosa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala tindakan mereka dan Dia akan memberikan balasan atas segala perbuatan tersebut. Firman Allah Ta’ala: 

“…………dan janganlah kamu (para saksi) menyembunyikan persaksian. Dan sesiapa yang menyembunyikannya, maka sesungguhnya dia adalah orang yang berdosa hatinya dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Al-Baqarah 2:283 

Rasulullah saw bersabda: 

“Sebaik-baik saksi adalah yang memberikan kesaksiannya sebelum dia ditanya.” 

(HR. Muslim)