Kurniaan Allah Swt kepada Rasulullah saw iaitu Sifat Maksum
Surah 4: An-Nisa’ (113)
Ayat 113
وَلَوْلَا فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ وَرَحْمَتُهُۥ لَهَمَّت طَّآئِفَةٌ مِّنْهُمْ أَن يُضِلُّوكَ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّآ أَنفُسَهُمْ ۖ وَمَا يَضُرُّونَكَ مِن شَىْءٍ ۚ وَأَنزَلَ ٱللَّهُ عَلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَعَلَّمَكَ مَا لَمْ تَكُن تَعْلَمُ ۚ وَكَانَ فَضْلُ ٱللَّهِ عَلَيْكَ عَظِيمًا
Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepadamu (wahai Muhammad), nescaya berhasillah cita-cita segolongan dari mereka yang bertujuan hendak menyesatkanmu, padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri; dan juga mereka tidak akan dapat mendatangkan mudarat kepadamu sedikitpun; dan (selain itu) Allah telah menurunkan kepadamu Kitab (Al-Quran) serta hikmah (pengetahuan yang mendalam), dan telah mengajarkanmu apa yang engkau tidak mengetahuinya. Dan adalah kurnia Allah yang dilimpahkan-Nya kepadamu amatlah besar.
Allah Swt menjelaskan bahawa dengan kurniaan dan rahmat-Nya, Dia memelihara Rasulullah saw daripada membuat kesilapan dan melakukan ketidakadilan dalam memutuskan sesuatu perkara atau hukuman, walaupun orang-orang munafik berusaha untuk menyesatkan Baginda.
Allah Swt memelihara Rasulullah saw daripada kesesatan dalam ilmu dan dalam amal. Kesesatan dalam ilmu adalah tidak mengetahui kebenaran, sedangkan kesesatan dalam amal apabila mengamalkan perkara yang tidak benar.
Allah Swt menjaga Baginda daripada kedua-dua kesesatan tersebut dengan diturunkan kepadanya Al-Quran dan Al-Hikmah (As-Sunnah). Baginda juga diajarkan ilmu tentang hukum dan perkara ghaib. Ini merupakan nikmat yang besar kepada Baginda setelah diberikan nikmat taufik untuk mengerjakan kewajipan dan terpeliharanya daripada setiap perkara yang haram.