Surah 4: An-Nisa’ (11 – 14)

Hukum Faraid dan Perintah supaya Mentaati Ketentuan dalam Hal Pewarisan

Surah 4: An-Nisa’ (11 – 14)


Ayat 11

يُوصِيكُمُ ٱللَّهُ فِىٓ أَوْلَـٰدِكُمْ ۖ لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ ٱلْأُنثَيَيْنِ ۚ فَإِن كُنَّ نِسَآءً فَوْقَ ٱثْنَتَيْنِ فَلَهُنَّ ثُلُثَا مَا تَرَكَ ۖ وَإِن كَانَتْ وَٰحِدَةً فَلَهَا ٱلنِّصْفُ ۚ وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا ٱلسُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُۥ وَلَدٌ ۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُۥ وَلَدٌ وَوَرِثَهُۥٓ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ ٱلثُّلُثُ ۚ فَإِن كَانَ لَهُۥٓ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ ٱلسُّدُسُ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِى بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ ءَابَآؤُكُمْ وَأَبْنَآؤُكُمْ لَا تَدْرُونَ أَيُّهُمْ أَقْرَبُ لَكُمْ نَفْعًا ۚ فَرِيضَةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلِيمًا حَكِيمًا

Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan. Tetapi jika anak-anak perempuan itu lebih dari dua, maka bahagian mereka ialah dua pertiga dari harta yang ditinggalkan oleh si mati. Dan jika anak perempuan itu seorang sahaja, maka bahagiannya ialah satu perdua (separuh) harta itu. Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Daripada Jabir bin Abdillah ra, dia berkata: “Rasulullah dan Abu Bakar yang sedang berada di Bani Salam menjengukku dengan berjalan kaki. Lalu, Baginda menemuiku dalam keadaan tidak sedarkan diri. Maka Baginda meminta air untuk berwudhu dan memercikkanku dengan air tersebut, lalu aku pun tersedar. Aku bertanya kepada Baginda: “Apa yang perlu aku lakukan terhadap hartaku?” Lalu turunlah ayat ini. 

Ayat 11, 12 dan 176 iaitu ayat terakhir surah An-Nisa’ adalah ayat-ayat tentang harta pusaka. Daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa Rasulullah saw bersabda: 

“Berikanlah bahagian ashabul furudh (orang yang layak terima harta pusaka) bakinya untuk lelaki yang terdekat.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam ayat ini Allah Ta’ala menerangkan hukum faraid atau cara pembahagian harta pusaka apabila berlakunya kematian pada suami atau isteri iaitu: 

1.   Hukum Faraid untuk anak-anak yang ditinggalkan: 

  • Sekiranya meninggalkan anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan, maka pembahagian harta warisan (pusaka) itu adalah seorang anak lelaki mendapat dua kali ganda daripada bahagian perempuan. Ini kerana kewajipan lelaki lebih berat daripada perempuan, seperti bertanggungjawab memberi nafkah, bekerja dan membayar mas kahwin. 
  • Sekiranya meninggalkan dua orang anak perempuan atau lebih dan tidak mempunyai anak lelaki maka bahagian dua orang anak perempuan atau lebih adalah dua pertiga dan baki harta itu adalah untuk ashabul furud yang lain. 
  • Apabila meninggalkan seorang anak perempuan, maka bahagiannya adalah setengah daripada harta dan bakinya adalah untuk ashabul furud yang lain. 

Ashabul furud ialah waris-waris yang layak menerima harta pusaka berpandukan ketetapan syarak (Al-Quran, Al-Sunnah atau Ijmak) seperti anak-anak, ibu bapa dan adik-beradik namun ia boleh berubah mengikut sesuatu keadaan. 

2. Hukum Faraid untuk ibu bapa:

  • Apabila meninggalkan ibu, bapa serta beberapa orang anak lelaki dan perempuan, maka bahagian untuk masing-masing ibu dan bapa adalah seperenam, sedangkan bakinya adalah untuk anak-anak. Ini merupakan dalil bahawa ibu bapa juga boleh mendapat harta pusaka. 
  • Apabila yang meninggal dunia itu tidak mempunyai anak dan tiada pula adik beradik, maka ibu mendapat sepertiga. Jika dia mempunyai dua orang adik beradik atau lebih, maka ibu mendapat seperenam. 
  • Bahagian ibu turun daripada sebelumnya iaitu sepertiga kepada seperenam dan ini disebut ‘al-hajb’ iaitu terhalang. Ibu itu terhalang daripada mendapat sepertiga dan hanya mendapat seperenam kerana adanya adik-beradik anaknya yang meninggal itu. 

Allah swt menginginkan agar pembahagian harta pusaka sesuai dengan apa yang telah Dia tetapkan iaitu setelah membayar hutang si mati dan setelah menunaikan wasiat-wasiatnya walaupun jumlahnya tidak lebih daripada sepertiga atau kurang daripada itu. 

Allah swt juga menyatakan bahawa pewaris hendaklah melaksanakan wasiat yang wajib itu sebagaimana Dia telah ajarkan dan janganlah mereka cuba untuk membezakan antara satu dengan yang lain. 

Para ibu bapa bertanggungjawab melaksanakan perintah Allah swt ini agar mereka memperhatikan manfaat anak-anak mereka sama ada yang berkaitan dengan akhirat ataupun dunia. Para ibu bapa perlu membimbing mereka dan mengajarkan adab serta menghindarkan mereka daripada bahaya dan menyuruh mereka mentaati Allah swt serta sentiasa bertakwa. FirmanNya: 

“…….Jagalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka………….” 

At-Tahrim 66:6 

Oleh sebab itu, ibu bapa yang mengabaikannya diberi ancaman seksa yang berat. Perkara ini menunjukkan bahawa Allah Ta’ala lebih sayang kepada hamba-hambaNya daripada sayangnya ibu bapa kepada anak-anak mereka. 

Terdapat beberapa pengecualian dalam tuntutan harta pusaka, antaranya: 

  • Apabila berlaku pembunuhan dengan sengaja, pembunuh sebagai waris tidak berhak mendapat harta pusaka. Rasulullah saw bersabda: 

“Pembunuh tidaklah memperoleh harta waris.” 

(HR. Tirmidzi) 

  • Apabila berlainan agama. Waris bukan Islam tidak berhak mendapat harta pusaka. Rasulullah saw bersabda: 

“Tidak boleh orang Islam mewarisi harta orang kafir, dan tidak boleh orang kafir mewarisi harta orang Islam.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya, apa yang bermanfaat dan apa yang boleh memberi mudarat kepada mereka. Dia Maha Bijaksana dalam mengatur urusan hamba-hambaNya. Oleh itu, serahkanlah segala urusan kepadaNya dan redha terhadap ketetapan pembahagian daripadaNya kerana pembahagian Allah swt sangatlah bijaksana. 

Ayat 12

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَٰجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَهُنَّ وَلَدٌ فَلَكُمُ ٱلرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْنَ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِينَ بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۚ وَلَهُنَّ ٱلرُّبُعُ مِمَّا تَرَكْتُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّكُمْ وَلَدٌ ۚ فَإِن كَانَ لَكُمْ وَلَدٌ فَلَهُنَّ ٱلثُّمُنُ مِمَّا تَرَكْتُم ۚ مِّنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَآ أَوْ دَيْنٍ ۗ وَإِن كَانَ رَجُلٌ يُورَثُ كَلَـٰلَةً أَوِ ٱمْرَأَةٌ وَلَهُۥٓ أَخٌ أَوْ أُخْتٌ فَلِكُلِّ وَٰحِدٍ مِّنْهُمَا ٱلسُّدُسُ ۚ فَإِن كَانُوٓا۟ أَكْثَرَ مِن ذَٰلِكَ فَهُمْ شُرَكَآءُ فِى ٱلثُّلُثِ ۚ مِنۢ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصَىٰ بِهَآ أَوْ دَيْنٍ غَيْرَ مُضَآرٍّ ۚ وَصِيَّةً مِّنَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌ حَلِيمٌ

Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya. Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. Tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu. Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa, dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi tiap-tiap seorang dari keduanya ialah satu perenam. Kalau pula mereka (saudara-saudara yang seibu itu) lebih dari seorang, maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat-wasiat yang tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris). (Tiap-tiap satu hukum itu) ialah ketetapan dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.

Ayat ini adalah berkaitan dengan hukum faraid bukan kepada keturunan tetapi kerana hubungan perkahwinan iaitu pembahagian harta pusaka kepada suami dan isteri apabila berlakunya kematian kepada salah seorang antara mereka, iaitu: 

  • Sekiranya berlaku kematian seorang isteri dan dia meninggalkan sejumlah harta, sedangkan dia tidak memiliki anak, maka suaminya akan mendapat seperdua daripada harta peninggalannya. 
  • Sekiranya dia mempunyai anak, maka suaminya hanya mendapat seperempat daripada harta pusaka tersebut. 
  • Harta pusaka untuk isteri daripada suaminya yang meninggal dunia adalah seperempat, sekiranya suami tidak mempunyai anak. Jika dia mempunyai anak maka isteri memperoleh seperlapan bahagian.
  • Sekiranya suami mempunyai dua orang isteri atau lebih, isteri-isteri akan mendapat harta pusaka itu dibahagi sama rata daripada seperempat tersebut jika suami tidak memiliki anak. Namun sekiranya suami mempunyai anak maka isteri-isteri tersebut mendapat seperlapan dan dibahagi sama rata di antara mereka. 

Pembahagian ini dilakukan setelah terlebih dahulu selesai pengurusan jenazahnya, membayar segala hutang dan menunaikan wasiat sekiranya si mati mempunyai hutang atau wasiat kepada seseorang. 

Ayat ini juga menerangkan adanya hukum pembahagian harta pusaka bagi seseorang yang meninggal dunia sama ada suami atau isteri dan tidak meninggalkan anak keturunan dan dalam masa yang sama tidak mempunyai ayah dan ibu, maka hartanya akan diwarisi oleh adik beradik seibu sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat, “Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa…..” atau harta itu diwarisi oleh adik beradik yang sebapa dan seibu seperti dalam ayat ‘kalalah’ pada akhir surah ini. 

Al-Kalalah yang dimaksudkan dalam pengertian ini adalah, orang yang hanya memiliki ahli waris daripada kaum kerabatnya sahaja, tidak ada daripada ahli waris pokok (ayah dan seterusnya) atau ahli waris cabang (anak dan seterusnya). Asy-Sya’bi meriwayatkan bahawa Abu Bakar Ash-Shiddiq ditanya tentang Al-Kalalah, maka dia menjawab: “Al-Kalalah adalah orang yang tidak memiliki anak dan tidak mempunyai orang tua”. Pada saat Umar diangkat (menjadi Khalifah) beliau berkata: “Sesungguhnya aku malu untuk menyelisihi Abu Bakar dalam pendapatnya, Al-Kalalah adalah orang yang tidak memiliki anak dan tidak memiliki orang tua.” 

  • Sekiranya si mati mempunyai hanya seorang adik beradik seibu sama ada lelaki atau perempuan maka baginya seperenam. Jika jumlah mereka ada dua orang atau lebih, maka mereka mendapat sepertiga. 

Pembahagian pusaka kepada adik beradik seibu berbeza dengan ahli waris yang lain dari beberapa segi: 

  • Pertama, mereka mendapat pusaka bersamaan dengan orang yang lebih dekat kepada si mati, iaitu ibu. 
  • Kedua, dalam hal besarnya bahagian pusaka, lelaki dan perempuan daripada kalangan seibu adalah sama. 
  • Ketiga, mereka tidak mendapat pusaka kecuali dalam masalah kalalah, iaitu mereka tidak mendapat pusaka jika ada bapa, datuk, anak atau cucu daripada anak lelaki. 
  • Keempat, mereka tidak mendapat lebih daripada sepertiga sekalipun lelaki dan perempuannya banyak. 

Secara keseluruhan pembahagian harta berpandukan ayat 11 dan 12 dalam surah ini adalah seperti berikut: 

Hukum Faraid - Simati adalah Lelaki
Hukum Faraid - Simati adalah Perempuan

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa Dia telah menetapkan syariat ini kepada orang-orang beriman untuk dihormati dan dilaksanakan. Dia Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNya. Oleh itu, terimalah dengan hati ikhlas dan taatlah arahanNya. Allah Maha Lembut sehingga tidak terburu-buru memberikan hukuman dan janganlah menipu dalam hukum pembahagian harta pusaka kerana kekuasaan Allah swt sangat dahsyat dan azabnya tersangat pedih. 

Ayat ini menjadi dalil bahawa antara syarat boleh menerima harta pusaka adalah melalui pernikahan. Allah swt telah menggariskan satu ketetapan pembahagian yang adil untuk semua waris dan pembahagian peratus bahagian bergantung kepada bilangan ahli waris lain yang ada seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas. 

Hukum-hukum ini mempunyai turutannya iaitu dibayarkan hutang terlebih dahulu, kemudian baru dipenuhi wasiatnya. Dimulakan dengan perkataan wasiat pada ayat di atas adalah agar kita memperhatikannya, kerana biasanya ahli waris berasa berat untuk melaksanakannya. Hutang yang dimaksudkan dalam ayat ini juga termasuk hutang kepada Allah swt ataupun hutang kepada manusia. Wasiat (yang kurang daripada satu pertiga) diperuntukkan kepada selain ahli waris, adapun selain itu maka tidak dibenarkan kecuali dengan izin ahli waris. 

Oleh itu turutan yang mesti dikeluarkan daripada harta pusaka adalah: 

(1)   Perbelanjaan pengurusan jenazah. 

(2)   Hutang yang wajib diselesaikan melalui harta si mati. Dalam hal ini menurut sebahagian ulama didahulukan hutang kepada Allah swt, kemudian baru hutang kepada manusia. 

(3)   Wasiat: Tidak melebihi satu pertiga  daripada harta yang ditinggalkan. 

Setelah turutan diikuti barulah dilakukan pembahagian pusaka. Jika sekiranya ukuran diserahkan kepada akal dan fikiran manusia, tentu akan timbul mudarat (bahaya) yang hanya Allah swt yang mengetahuinya. Ini kerana akal manusia sangat terbatas dan tidak mengetahui hal yang lebih tepat, sesuai dan dapat digunakan pada setiap waktu dan setiap tempat. 

Beberapa barang yang tidak berhak diwarisi (tidak dijadikan harta pusaka), antaranya: 

  • Peralatan tidur untuk isteri dan peralatan yang khusus bagi dirinya, atau pemberian suami kepada isterinya semasa hidupnya. 
  • Harta yang diwaqafkan oleh si mati, seperti kitab dan lain-lainnya. 

Perlu juga diketahui bahawa tidak termasuk harta pusaka ialah hibah dan wasiat. 

Hibah adalah pemberian yang dilakukan ketika si mati masih hidup, sedangkan wasiat adalah pemberian yang tidak melebihi satu pertiga daripada harta peninggalan dan dilakukan ketika si mati sudah meninggal. 

Ayat 13

تِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ يُدْخِلْهُ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَا ۚ وَذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Segala hukum yang tersebut adalah batas-batas (syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar.

Allah swt menyatakan bahawa Dia telah menjelaskan kepada hamba-hambaNya hukum-hukum syariat dan ketentuan agama berkaitan dengan pembahagian harta pusaka dan memerintahkan mereka melaksanakannya. 

Sesiapa yang melaksanakannya kerana mentaati Allah swt dan RasulNya, maka Allah swt akan memasukkannya ke dalam Syurga yang mengalir sungai-sungai di bawahnya, penuh dengan pelbagai nikmat serta kekal di dalamnya. Inilah kemenangan yang besar bagi mereka kerana Allah swt telah menyelamatkannya daripada seksaan api Neraka. Semoga Allah swt mengurniakan nikmat Syurga kepada kita. Allahumma aamiin! 

Ayat 14

وَمَن يَعْصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُۥ يُدْخِلْهُ نَارًا خَـٰلِدًا فِيهَا وَلَهُۥ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas syariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekal dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina.

Sebaliknya, orang yang derhaka kepada Allah swt dan RasulNya dengan melanggar ketentuan-ketentuan yang telah ditetapkan tersebut dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka balasan yang setimpal dengannya adalah dia akan dilempar ke dalam Neraka dan kekal di sana dan itu merupakan azab yang menghinakan.