Surah 4: An-Nisa’ (104)

Larangan Bersifat Lemah dalam Berjihad

Surah 4: An-Nisa’ (104)


Ayat 104

وَلَا تَهِنُوا۟ فِى ٱبْتِغَآءِ ٱلْقَوْمِ ۖ إِن تَكُونُوا۟ تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ ۖ وَتَرْجُونَ مِنَ ٱللَّهِ مَا لَا يَرْجُونَ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ عَلِيمًا حَكِيمًا

Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Allah swt menyatakan bahawa kaum muslimin tidak wajar bersikap lemah dan berasa berat hati kerana tidak berhasil mengejar kaum musyrik. Mereka tidak boleh berundur daripada memerangi kaum musyrik walaupun dalam keadaan menderita kesakitan. Ini kerana mereka memiliki kelebihan mengatasi kaum musyrik yang tidak mempunyai apa-apa harapan. Sedangkan orang-orang mukmin memiliki harapan mendapatkan pahala dan pertolongan serta kemenangan jika mereka bersabar sebagaimana yang dijanjikan Allah swt dalam kitabNya. Sememangnya orang-orang mukmin adalah orang-orang yang paling berhak untuk sabar, tabah dan mengejar serta memerangi mereka sehingga memperoleh kemenangan. 

Bahkan di antara orang-orang mukmin ada yang memiliki harapan yang tinggi, ingin membela agama Allah swt, menegakkan syariatNya, memperluas wilayah Islam, mengajak orang-orang yang tersesat kembali kepada tauhid dan menghancurkan musuh-musuh Islam. 

Semua ini dikehendaki untuk menambahkan kekuatan seorang mukmin, membuatnya lebih bersemangat dan menjadikannya berani. Hal itu kerana orang yang berperang hanya bertujuan untuk meraih kesenangan dunia sahaja tidak sama seperti orang yang berperang untuk memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat serta memperoleh keredhaan Allah swt dan syurgaNya. 

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Ini adalah motivasi kepada orang-orang mukmin agar terus melakukan jihad kerana mereka sedar bahawa Allah Maha Mengetahui keadaan yang sedang mereka hadapi. Allah Maha Bijaksana dalam syariatNya berupa perintah dan larangan untuk mereka. Hal ini akan mententeramkan mereka seterusnya menyebabkan mereka memperoleh kemenangan atas musuh-musuh mereka.