Allah Maha Kaya Tidak Memerlukan Makhluk-Nya
Surah 39: Az-Zumar (7 – 8)
Ayat 7
إِن تَكْفُرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنكُمْ ۖ وَلَا يَرْضَىٰ لِعِبَادِهِ ٱلْكُفْرَ ۖ وَإِن تَشْكُرُوا۟ يَرْضَهُ لَكُمْ ۗ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۗ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّكُم مَّرْجِعُكُمْ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ ۚ إِنَّهُۥ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ
Jika kamu kafir, maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan (iman)mu dan Dia tidak meredhai kekafiran bagi hamba-hamba-Nya. Jika kamu bersyukur, nescaya Dia meredhai kesyukuranmu itu, dan seorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmu kamu kembali, lalu Dia memberitahu kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa yang tersimpan di dalam dadamu.
Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya hamba-hamba-Nya tetap kufur kepada-Nya, kekufuran itu tidak akan mendatangkan kemudharatan atau kemanfaatan kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Kaya, Dia tidak memerlukan sesiapa pun dan Dia tidak akan rugi sedikit pun. Ini sebagaimana ucapan Nabi Musa as kepada kaumnya dalam firman Allah Swt:
“Dan Musa berkata, ‘Jika kamu dan orang yang ada di bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.’”
Ibrahim 14:8
Dalam sebuah hadis Qudsi, Rasulullah saw bersabda:
“Wahai hamba-hamba-Ku, sekiranya kalian semua daripada makhluk pertama sehingga terakhir, daripada kalangan jin dan manusia, seluruhnya menjadi orang yang paling jahat di antara kalian, maka hal itu tidak mengurangi kekuasaan-Ku sedikit pun.”
(HR. Muslim)
Kemudian Allah Swt menyebutkan bahawa Dia tidak meredhai kekufuran dan tidak memerintahkannya. Oleh itu, diturunkan-Nya kitab-kitab dan diutuskan-Nya para Rasul agar hamba-hamba-Nya terselamat daripada kemaksiatan dan kesyirikan yang menyebabkan kesengsaraan di dunia dan di akhirat.
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya hamba-hamba-Nya bersyukur kepada-Nya dengan cara beribadah kepada-Nya dan mentaati-Nya, maka Dia akan meredhai-Nya dan menambahkan kurniaan-Nya. Sesungguhnya Dia-lah sumber segala kebahagiaan dunia dan akhirat.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa seseorang yang berdosa tidak memikul dosa orang lain kerana masing-masing bertanggungjawab terhadap perbuatannya sendiri. Maka, kepada-Nya-lah tempat kembali sekalian makhluk-Nya dan diberikan balasan dengan seadil-adilnya. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui apa sahaja yang tersimpan di dada dan terdetik di hati.
Ayat 8
وَإِذَا مَسَّ ٱلْإِنسَـٰنَ ضُرٌّ دَعَا رَبَّهُۥ مُنِيبًا إِلَيْهِ ثُمَّ إِذَا خَوَّلَهُۥ نِعْمَةً مِّنْهُ نَسِىَ مَا كَانَ يَدْعُوٓا۟ إِلَيْهِ مِن قَبْلُ وَجَعَلَ لِلَّهِ أَندَادًا لِّيُضِلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۚ قُلْ تَمَتَّعْ بِكُفْرِكَ قَلِيلًا ۖ إِنَّكَ مِنْ أَصْحَـٰبِ ٱلنَّارِ
Dan apabila manusia itu ditimpa kemudharatan, dia memohon (pertolongan) kepada Rabbnya dengan kembali kepada-Nya. Kemudian apabila Dia memberikan nikmat-Nya kepadanya, lupalah dia (akan kemudharatan) yang pernah dia berdoa kepada-Nya (untuk menghilangkannya) sebelum itu, dan dia mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Nya. Katakanlah (Muhammad), “Bersenang-senanglah dengan kekafiranmu itu sementara waktu, sesungguhnya kamu termasuk penghuni neraka.”
Seterusnya, Allah Swt menyatakan keadaan sebahagian manusia. Apabila mereka ditimpa bencana, kesulitan, atau apa sahaja yang tidak menyenangkan, dia memohon pertolongan kepada Allah Swt dengan kembali mentaati dan mendekatkan diri kepada-Nya. Namun apabila dia diberikan nikmat, kekayaan, atau sesuatu yang menyenangkan kepadanya, dia lupa akan bencana yang pernah dia berdoa kepada-Nya agar terselamat daripadanya sebelum kenikmatan itu datang. Malah diadakannya sekutu-sekutu bagi-Nya untuk menyesatkan manusia dari jalan-Nya, iaitu Islam.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan apabila kamu ditimpa bahaya di lautan, hilanglah semua yang (biasa) kamu seru, kecuali Allah. Tetapi setelah Dia menyelamatkan kamu ke daratan, kamu berpaling (daripada-Nya). Dan manusia memanglah sentiasa ingkar (tidak bersyukur).”
Al-Isra’ 17:67
“Dan apabila mereka ditimpa bahaya, dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia kembali (ke jalan yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya……..”
Yunus 10:12
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw agar memberi amaran kepada mereka dengan mengatakan biarkanlah mereka bersenang-senang buat sementara waktu dengan kekafiran mereka sehingga kematian datang menjemput. Sesungguhnya mereka termasuk penghuni neraka di akhirat kelak.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“…………..Katakanlah (Muhammad), ‘Bersenang-senanglah kamu, kerana sesungguhnya nerakalah tempat kembalimu.’”
Ibrahim 14:30
“Kami biarkan mereka bersenang-lenang sebentar, kemudian Kami paksa mereka (masuk) ke dalam azab yang keras.”
Luqman 31:24