Perbezaan antara Orang yang Bertakwa dengan Orang yang Mendustakan Allah Swt
Surah 39: Az-Zumar (60 – 61)
Ayat 60
وَيَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ تَرَى ٱلَّذِينَ كَذَبُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ وُجُوهُهُم مُّسْوَدَّةٌ ۚ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْمُتَكَبِّرِينَ
Dan pada Hari Kiamat kamu akan melihat orang-orang yang mendustakan Allah, wajahnya menjadi hitam. Bukankah Neraka Jahannam itu tempat tinggal bagi orang-orang yang menyombongkan diri?
Allah Swt menyatakan bahawa pada Hari Kiamat kelak, ramai orang berwajah hitam. Itulah keadaan orang-orang yang mendustakan-Nya ketika di dunia dahulu dengan mengatakan Dia memiliki sekutu, isteri dan anak. Tempat tinggal yang disediakan kepada mereka adalah Neraka Jahannam. Inilah balasan atas pembohongan yang diada-adakan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dikatakan (kepada mereka), “Masukilah pintu-pintu Neraka Jahannam itu, sedangkan kamu kekal di dalamnya.” Maka Neraka Jahannam itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang menyombongkan diri.”
Az-Zumar 39:72
Ayat 61
وَيُنَجِّى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ بِمَفَازَتِهِمْ لَا يَمَسُّهُمُ ٱلسُّوٓءُ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ
Dan Allah menyelamatkan orang-orang yang bertakwa kerana kemenangan mereka, mereka tidak disentuh oleh azab (neraka dan tidak juga) bersedih hati.
Sebaliknya pada hari itu orang-orang yang bertakwa kerana menjauhi syirik dan maksiat, mereka akan diselamatkan oleh Allah Swt daripada azab neraka. Mereka beroleh kemenangan dan tempat kembali mereka di syurga dengan menerima segala kebaikan. Ini kerana mereka telah mengikuti petunjuk-Nya. Mereka tidak bersedih hati kerana mereka tidak disentuh sedikit pun oleh azab dan segala keburukan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kebimbangan pada mereka dan mereka tidak (pula) berdukacita. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembira dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Demikian itu adalah kemenangan yang besar.”
Yunus 10:62-64