Surah 39: Az-Zumar (53)

Larangan Berputus Asa daripada Rahmat Allah Swt

Surah 39: Az-Zumar (53)


Ayat 53

قُلْ يَـٰعِبَادِىَ ٱلَّذِينَ أَسْرَفُوا۟ عَلَىٰٓ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا۟ مِن رَّحْمَةِ ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يَغْفِرُ ٱلذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ

Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Setelah Allah Swt menyatakan pelbagai bentuk ancaman kepada orang-orang kafir, dalam ayat ini Dia menjelaskan kesempurnaan rahmat, kemurahan, kebaikan dan kasih sayang iaitu Dia mengampuni dosa-dosa hamba-hamba-Nya jika mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Ini adalah ayat tentang rahmat Allah Ta’ala dan motivasi kepada orang-orang kafir agar meninggalkan kesesatan dan beriman kepada-Nya dengan penuh keikhlasan. Selain itu, ayat ini juga ditujukan kepada orang-orang mukmin yang melakukan kemaksiatan, lalu bertaubat daripada segala dosa-dosa. Mereka tidak boleh berputus asa dalam meraih keampunan-Nya.

Allah Swt mengampuni segala dosa kecuali syirik berdalilkan firman-Nya, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni (dosa) kerana menyekutukan-Nya (syirik), dan Dia mengampuni segala (dosa) selain (syirik) itu, bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Sesiapa yang menyekutukan Allah, maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.” Surah An-Nisa’ ayat 48.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah menerima taubat hamba-hamba-Nya……….”

At-Taubah 9:104

“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan dan menzalimi dirinya, kemudian dia memohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

An-Nisa’ 4:110

Di dalam sebuah hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik ra, dia mendengar Rasulullah saw bersabda:

“Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, ‘Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan berharap hanya kepada-Ku, nescaya Aku mengampuni dosa-dosa yang telah engkau lakukan dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau minta keampunan kepada-Ku, nescaya Aku mengampunimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaku dengan membawa dosa-dosa yang hampir memenuhi bumi kemudian engkau bertemu dengan-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu pun, nescaya Aku datang kepadamu dengan memberikan keampunan sepenuh bumi.’”

(HR. At-Tirmidzi)