Perintah untuk Sentiasa Bertawakkal dan Berdoa kepada Allah Swt agar Ditunjukkan Kebenaran
Surah 39: Az-Zumar (46)
Ayat 46
قُلِ ٱللَّهُمَّ فَاطِرَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ عَـٰلِمَ ٱلْغَيْبِ وَٱلشَّهَـٰدَةِ أَنتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِى مَا كَانُوا۟ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
Katakanlah, “Ya Allah, Pencipta langit dan bumi, Yang Mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah yang memutuskan di antara hamba-hamba-Mu tentang apa yang selalu mereka perdebatkan.”
Setelah menjelaskan sifat tercela kaum musyrik dan kebodohan mereka, dalam ayat ini Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw untuk kembali kepada-Nya yang mempunyai kekuasaan mutlak lagi sempurna dan berdoa agar diselamatkan daripada kesyirikan.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku sangat dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka memenuhi (perintah-Ku) dan beriman kepada-Ku, agar mereka memperoleh kebenaran.”
Al-Baqarah 2:186
Daripada Abu Salamah bin ‘Abdirrahman bahawa beliau bertanya kepada ‘Aisyah ra, “Bagaimana Rasulullah saw memulakan solatnya apabila baginda bangun pada malam hari?” Lalu ‘Aisyah ra menjawab bahawa baginda membaca:
“Ya Allah, Rabb Jibril, Mikail dan Israfil, Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata. Engkaulah yang membuat keputusan di antara hamba-hamba-Mu tentang perkara yang selalu mereka perselisihkan. Tunjukilah aku kepada kebenaran daripada perkara yang selalu mereka perselisihkan itu dengan izin-Mu. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk kepada orang-orang yang Engkau kehendaki menuju jalan yang lurus.”
(HR. Muslim)