Allah Swt Menggenggam Roh Manusia
Surah 39: Az-Zumar (42)
Ayat 42
ٱللَّهُ يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍۢ مُّسَمًّى ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ
Allah memegang jiwa (seseorang) pada saat kematiannya dan jiwa (seseorang) yang belum mati ketika dia tidur, maka Dia tahan jiwa (orang) yang telah Dia tetapkan kematiannya dan Dia lepaskan jiwa yang lain sehingga sampai pada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran) Allah bagi kaum yang berfikir.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menggenggam jiwa atau roh-roh manusia ketika sudah tiba ajal mereka dan menemui kematian dengan diutuskan-Nya malaikat maut bagi mencabut nyawa mereka.
Adapun bagi orang-orang yang belum tiba ajalnya, Allah Swt menggenggam nyawanya ketika tidur. Dalam keadaan ini, tidur diumpamakan seperti mati atau mati kecil. Ini kerana ketika tidur, manusia tidak mampu melakukan sesuatu apa pun ibarat orang yang telah mati, cuma bezanya ialah rohnya masih terkait dengan jasadnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan Dia-lah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan Dia mengetahui apa yang kamu lakukan pada waktu siang. Kemudian, Dia membangunkan kamu pada siang hari untuk disempurnakan umurmu yang telah ditetapkan. Kemudian kepada-Nya tempat kamu kembali, lalu Dia memberitahu kepadamu apa yang telah kamu lakukan. Dan Dia-lah penguasa mutlak atas semua hamba-Nya, dan diutuskan kepadamu malaikat-malaikat sebagai penjaga, sehingga apabila kematian datang kepada salah seorang di antara kamu, lalu malaikat-malaikat Kami mencabut nyawanya, dan mereka tidak melalaikan tugas mereka.”
Al-An’am 6:60-61
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Jika salah seorang daripada kamu mendatangi tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengibas bahagian dalam selimutnya kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di bawah tempat tidurnya, kemudian ucapkanlah, ‘Dengan nama-Mu wahai Rabbku, aku merebahkan badanku dan dengan nama-Mu aku mengangkatnya (bangun). Jika Engkau menahan rohku (mematikan aku) maka kasihi (rahmati)lah ia, dan jika Engkau melepaskannya, maka jagalah ia sebagaimana Engkau menjaga hamba-hamba-Mu yang soleh.’”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)
Sesungguhnya apa yang telah dijelaskan oleh Allah dalam hal kematian, kehidupan dan genggaman roh ditangan-Nya, terdapat tanda-tanda yang menakjubkan yang membuktikan kekuasaan dan kebijaksanaan-Nya.