Orang Kafir akan Mendapat Azab Neraka manakala Orang yang Berbuat Baik akan Mendapat Pahala Berganda
Surah 39: Az-Zumar (32 – 35)
Ayat 32
فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّن كَذَبَ عَلَى ٱللَّهِ وَكَذَّبَ بِٱلصِّدْقِ إِذْ جَآءَهُۥٓ ۚ أَلَيْسَ فِى جَهَنَّمَ مَثْوًى لِّلْكَـٰفِرِينَ
Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang membuat dusta terhadap Allah dan mendustakan kebenaran yang datang kepadanya? Bukankah di Neraka Jahannam tersedia tempat tinggal bagi orang-orang kafir?
Allah Swt menyebutkan tentang perilaku tercela orang-orang musyrik yang melakukan dua kebatilan sekali gus iaitu mendustakan Allah Swt dan Nabi Muhammad saw.
Sesungguhnya tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan Allah Swt dengan menganggap ada lagi Ilah selain-Nya, mendakwa Dia memiliki anak dan menentukan halal serta haram sesuatu perkara tanpa adanya perintah daripada-Nya.
Begitu juga orang-orang yang mendustakan Nabi Muhammad saw dan risalah yang dibawanya yang mengajak kepada tauhid, menjalankan perintah dan larangan yang telah ditetapkan Allah Swt walaupun telah diterangkan dengan jelas pelbagai bukti nyata kebenaran risalahnya.
Oleh itu pada akhir ayat ini, Allah Swt mengancam mereka dengan pertanyaan bertujuan mengukuhkan dan menetapkan bahawa orang-orang yang mendustakan-Nya dan Rasul-Nya itu tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, mereka itulah penghuni-penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.”
Al-A’raf, 7:36
Ayat 33
وَٱلَّذِى جَآءَ بِٱلصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِۦٓ ۙ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُتَّقُونَ
Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya, mereka Itulah orang-orang yang bertakwa.
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula balasan yang dijanjikan-Nya kepada Rasulullah saw yang datang membawa kebenaran lagi jujur dalam dakwahnya dan juga kepada orang-orang yang beriman dengan ajaran baginda. Seterusnya Dia menyatakan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan mereka yang beriman kepada (Al-Quran) yang telah diturunkan kepadamu (Muhammad) dan (kitab-kitab) yang telah diturunkan sebelum engkau, serta mereka yakin akan adanya akhirat.”
Al-Baqarah 2:4
Ayat 34
لَهُم مَّا يَشَآءُونَ عِندَ رَبِّهِمْ ۚ ذَٰلِكَ جَزَآءُ ٱلْمُحْسِنِينَ
Mereka mendapat apa yang mereka kehendaki di sisi Rabb mereka. Demikianlah balasan bagi orang-orang yang berbuat baik.
Allah Swt menyatakan bahawa balasan yang paling sempurna bagi orang-orang yang bertakwa ialah mereka akan memperoleh syurga yang penuh dengan kenikmatan yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terbayang oleh fikiran, diangkat darjat mereka dan dijauhkan daripada segala kesusahan. Demikianlah balasan kepada mereka yang berbuat kebaikan.
Ayat 35
لِيُكَفِّرَ ٱللَّهُ عَنْهُمْ أَسْوَأَ ٱلَّذِى عَمِلُوا۟ وَيَجْزِيَهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ ٱلَّذِى كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Agar Allah menutupi (mengampuni) bagi mereka perbuatan mereka yang paling buruk pernah mereka lakukan dan membalas mereka dengan upah yang lebih baik daripada apa yang mereka kerjakan.
Allah Swt hendak menghapuskan perbuatan terburuk yang mereka pernah lakukan ketika di dunia disebabkan mereka bertaubat dan kembali kepada-Nya dengan meninggalkan keburukan yang mereka lakukan. Oleh itu, Dia membalas ketaatan mereka di dunia dengan balasan yang terbaik, iaitu syurga.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Mereka itulah orang-orang yang Kami terima daripada mereka amal yang baik yang telah mereka kerjakan dan Kami ampunkan kesalahan-kesalahan mereka, bersama-sama penghuni-penghuni syurga, sebagai janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka.”
Al-Ahqaf 46:16