Kekuasaan dan Ilmu Allah Swt yang Mengandungi Pelajaran
Surah 39: Az-Zumar (21 – 22)
Ayat 21
أَلَمْ تَرَ أَنَّ ٱللَّهَ أَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءً فَسَلَكَهُۥ يَنَـٰبِيعَ فِى ٱلْأَرْضِ ثُمَّ يُخْرِجُ بِهِۦ زَرْعًا مُّخْتَلِفًا أَلْوَٰنُهُۥ ثُمَّ يَهِيجُ فَتَرَىٰهُ مُصْفَرًّا ثُمَّ يَجْعَلُهُۥ حُطَـٰمًا ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Apakah kamu tidak memerhatikan bahawa sesungguhnya Allah menurunkan air dari langit, maka diatur-Nya menjadi sumber-sumber air di bumi kemudian dengan air itu ditumbuhkan-Nya tanam-tanaman yang pelbagai warnanya, kemudian menjadi kering, lalu kamu melihatnya kekuning-kuningan, kemudian dijadikan-Nya hancur berderai-derai. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal.
Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya Dia menurunkan hujan dari langit, sebagaimana firman-Nya:
“……….dan Kami turunkan dari langit air yang bersih.”
Al-Furqan 25:48
“Dan Kami turunkan dari langit air yang banyak manfaatnya…………”
Qaf 50:9
Kemudian Allah Swt menjadikan air hujan itu meresap masuk ke dalam tanah, lalu Dia menjadikan sebahagiannya sebagai mata air yang memancar dan sebahagian lagi sebagai air yang mengalir. Kemudian dengan air ini Dia menumbuhkan tanam-tanaman yang beraneka jenis dan warnanya.
Seterusnya, Allah Swt menjadikan tanaman itu kering setelah ia menghijau subur. Maka akan kelihatan kuning dan kemudian Dia menjadikannya kayu bakar yang lapuk dan hancur.
Seringkali Allah Swt membuat perumpamaan kehidupan di dunia dengan air yang diturunkan-Nya dari langit. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan dan nasihat bagi orang-orang yang berakal.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan buatkanlah untuk mereka (manusia) perumpamaan kehidupan dunia ini, ibarat air (hujan) yang Kami turunkan dari langit sehingga menyuburkan tumbuh-tumbuhan di bumi, kemudian (tumbuh-tumbuhan) itu menjadi kering dan mudah diterbangkan angin. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
Al-Kahfi 18:45
Ayat 22
أَفَمَن شَرَحَ ٱللَّهُ صَدْرَهُۥ لِلْإِسْلَـٰمِ فَهُوَ عَلَىٰ نُورٍ مِّن رَّبِّهِۦ ۚ فَوَيْلٌ لِّلْقَـٰسِيَةِ قُلُوبُهُم مِّن ذِكْرِ ٱللَّهِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ فِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
Maka apakah orang yang dibukakan hatinya oleh Allah untuk (menerima) agama Islam, lalu dia mendapat cahaya daripada Rabbnya (sama dengan orang yang hatinya keras membatu)? Maka celakalah mereka yang hatinya telah keras membatu untuk mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.
Allah Swt menjelaskan bahawa tidaklah sama kaum yang berada dalam kebenaran yang diberikan petunjuk-Nya dengan melapangkan dada mereka untuk menerima agama Islam sehingga mereka berada di atas petunjuk-Nya dengan orang yang dikunci hatinya dan dihalang daripada menerima hidayah.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan adakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah orang ramai, sama dengan orang yang berada dalam kegelapan yang sekali-kali tidak dapat keluar dari sana?……………..”
Al-An’am 6:122
Ini kerana orang-orang yang mendapat hidayah itu menggunakan akal fikiran mereka yang sihat untuk mengambil pelajaran daripada kejadian di sekeliling mereka, memikirkan dalil-dalil dan hujjah-hujjah-Nya. Orang-orang yang sesat pula adalah disebabkan buruknya pilihan mereka kerana kesombongan dan kerasnya hati mereka, lalu mereka berpaling daripada kebenaran.
Maka Allah Swt menyatakan, kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras hatinya dan berpaling daripada ajaran-Nya. Ini kerana mereka berada dalam kesesatan yang nyata disebabkan mereka tidak mendapat hidayah dan taufik-Nya untuk menerima kebenaran.