Surah 39: Az-Zumar (17 – 20)

Balasan kepada Orang yang Menjauhi Taghut dan Orang yang Bertakwa kepada Allah Swt

Surah 39: Az-Zumar (17 – 20)


Ayat 17

وَٱلَّذِينَ ٱجْتَنَبُوا۟ ٱلطَّـٰغُوتَ أَن يَعْبُدُوهَا وَأَنَابُوٓا۟ إِلَى ٱللَّهِ لَهُمُ ٱلْبُشْرَىٰ ۚ فَبَشِّرْ عِبَادِ

Dan orang-orang yang menjauhi taghut (iaitu) tidak menyembahnya dan kembali kepada Allah, bagi mereka berita gembira, oleh itu sampaikanlah berita itu kepada hamba-hamba-Ku,

Ayat 18

ٱلَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ ٱلْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُۥٓ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ هَدَىٰهُمُ ٱللَّهُ ۖ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمْ أُو۟لُوا۟ ٱلْأَلْبَـٰبِ

(iaitu) orang-orang yang mendengarkan perkataan lalu mengikuti apa yang paling baik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang mempunyai akal.

Setelah Allah Swt memberikan ancaman terhadap penyembah berhala, dalam ayat ini pula Dia menyatakan janji pahala-Nya kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa kepada-Nya.

Orang-orang yang menolak untuk taat kepada taghut (syaitan atau apa sahaja yang disembah selain Allah Swt), sebaliknya mereka bertaubat kepada-Nya dengan beribadah kepada-Nya serta ikhlas dalam agama-Nya, bagi mereka adalah berita gembira dalam kehidupan dunia ini dengan pujian dan taufik daripada Allah Swt dan di akhirat kelak mereka mendapatkan redha-Nya dan kenikmatan yang abadi di dalam syurga.

Maka pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyampaikan berita gembira ini kepada hamba-hamba-Nya yang mendengarkan kebenaran kitab-kitab-Nya dan sunnah rasul-Nya, lalu mereka mengikutinya dan mengamalkan dengan sebaik-baiknya.

Mereka itulah orang-orang yang telah diberikan taufik oleh Allah Swt kepada jalan yang lurus. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang memiliki akal yang sempurna.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……………….Maka jika datang kepadamu petunjuk daripada-Ku, lalu sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak akan sesat dan tidak akan celaka. Dan sesiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta.”

Taha 20:123-124

Ayat 19

أَفَمَنْ حَقَّ عَلَيْهِ كَلِمَةُ ٱلْعَذَابِ أَفَأَنتَ تُنقِذُ مَن فِى ٱلنَّارِ

Maka apakah (engkau hendak mengubah nasib) orang-orang yang telah pasti ditimpa azab? Apakah engkau (Muhammad) akan menyelamatkan orang yang berada di dalam api neraka?

Kemudian Allah Swt mententeramkan hati Rasulullah saw menerusi ayat ini apabila ada di kalangan kaumnya yang menolak dakwahnya, sedangkan baginda tersangat ingin kaumnya beriman.

Sesungguhnya Rasulullah saw tidak mempunyai kuasa untuk memberi mereka hidayah sehingga dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah Swt kerana Dia Maha Mengetahui siapa yang layak mendapat hidayah-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Tidak layak bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memohon keampunan (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (mereka) setelah jelas bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah penghuni Neraka Jahannam.”

At-Taubah 9:113

“Sesungguhnya engkau (Muhammad) tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang Dia kehendaki……….”

Al-Qasas 28:56

Ayat 20

لَـٰكِنِ ٱلَّذِينَ ٱتَّقَوْا۟ رَبَّهُمْ لَهُمْ غُرَفٌ مِّن فَوْقِهَا غُرَفٌ مَّبْنِيَّةٌ تَجْرِى مِن تَحْتِهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ ۖ وَعْدَ ٱللَّهِ ۖ لَا يُخْلِفُ ٱللَّهُ ٱلْمِيعَادَ

Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Rabb mereka, mereka mendapat kamar-kamar (di syurga), di atasnya terdapat pula kamar-kamar yang dibina (bertingkat-tingkat), yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Itulah janji Allah. Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.

Kemudian Allah Swt kembali menyatakan balasan pahala bagi orang-orang yang bertakwa sebagai motivasi kepada hamba-hamba-Nya.

Orang-orang yang bertakwa kepada Allah Swt dengan mentaati dan mengikhlaskan ibadah hanya kepada-Nya, mereka ditempatkan dalam syurga yang bilik-biliknya bertingkat-tingkat dan sungai-sungai mengalir dari bawah tempat tinggal iaitu bilik-bilik mereka. Ini merupakan janji-Nya yang pasti kepada hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya Allah Swt tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya.

Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan daripada Saidina ‘Ali ra yang telah mengatakan, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya di dalam syurga benar-benar terdapat kamar-kamar yang bahagian dalamnya dapat dilihat dari bahagian luarnya, dan bahagian luarnya dapat dilihat dari bahagian dalamnya.” Seorang Arab Badwi bertanya, “Wahai Rasulullah, untuk siapakah kamar-kamar itu?” Rasulullah saw menjawab, “Untuk orang yang berbicara dengan tutur kata yang baik dan suka memberi makan (fakir miskin) serta suka solat pada malam hari saat manusia sedang tidur.”

(HR. Ahmad)

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad ra, bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya para penghuni syurga itu boleh saling melihat di dalam kamar di dalam syurga, sebagaimana kalian melihat bintang di ufuk langit.”

(HR. Ahmad)

Daripada ‘Ata’ bin Yasar, daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:

“Sesungguhnya penghuni syurga benar-benar saling dapat melihat penghuni syurga yang berada di dalam kamar-kamar di dalam syurga (yang lebih tinggi), sebagaimana kalian (di dunia) melihat bintang berkilauan yang terbenam dan muncul di ufuk langit, kerana adanya perbezaan darjat yang mereka miliki.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah mereka (penghuni syurga) itu para Nabi sahaja?” Rasulullah saw menjawab, “Tidak demikian, demi Zat Yang jiwaku berada di Tangan-Nya, mereka adalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan membenarkan Rasul-rasul.”

(HR. Ahmad)