Surah 39: Az-Zumar (13 – 16)

Ancaman akan Adanya Seksaan Allah Swt

Surah 39: Az-Zumar (13 – 16)


Ayat 13

قُلْ إِنِّىٓ أَخَافُ إِنْ عَصَيْتُ رَبِّى عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ

Katakanlah, “Sesungguhnya aku takut akan azab pada hari yang besar jika aku derhaka kepada Rabbku.”

Ayat 14

قُلِ ٱللَّهَ أَعْبُدُ مُخْلِصًا لَّهُۥ دِينِى

Katakanlah, “Hanya Allah sahaja yang aku sembah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agamaku.”

Allah Swt mengulangi lagi perintah-Nya kepada Nabi Muhammad saw agar menegaskan bahawa baginda takut mendapat azab pada Hari Kiamat kelak sekiranya baginda bermaksiat kepada-Nya.

Baginda juga diperintahkan agar menegaskan bahawa baginda hanya menyembah-Nya semata-mata dengan ikhlas dan tidak menyekutukan-Nya serta tidak berpura-pura atau bermuka-muka dalam mengamalkan agama-Nya.

Ayat 15

فَٱعْبُدُوا۟ مَا شِئْتُم مِّن دُونِهِۦ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْخَـٰسِرِينَ ٱلَّذِينَ خَسِرُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ وَأَهْلِيهِمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ أَلَا ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْخُسْرَانُ ٱلْمُبِينُ

Maka sembahlah olehmu (wahai orang-orang musyrik) apa yang kamu kehendaki selain Dia. Katakanlah, “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada Hari Kiamat.” Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.

Seterusnya dalam ayat ini, Allah Swt menyuruh Nabi Muhammad saw menyatakan kepada orang-orang kafir bahawa mereka bebas untuk menyembah selain-Nya.

Namun mereka akan memperoleh kerugian dan penyesalan yang sangat besar di akhirat kelak kerana mereka akan diberikan balasan sesuai dengan perbuatan mereka. Mereka bukan sahaja merugikan diri sendiri, malah merugikan keluarga dengan menjerumuskan mereka kepada kesesatan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……………….Dan orang-orang yang beriman berkata, ‘Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang kehilangan diri mereka sendiri dan (kehilangan) keluarga mereka pada Hari Kiamat. Ingatlah, sesungguhnya orang-orang yang zalim itu berada dalam azab yang kekal.’”

Asy-Syura 42:45

“……….Sungguh mereka telah merugikan diri mereka sendiri dan apa yang mereka ada-adakan dahulu telah lenyap daripada mereka.”

Al-A’raf 7:53

Ayat 16

لَهُم مِّن فَوْقِهِمْ ظُلَلٌ مِّنَ ٱلنَّارِ وَمِن تَحْتِهِمْ ظُلَلٌ ۚ ذَٰلِكَ يُخَوِّفُ ٱللَّهُ بِهِۦ عِبَادَهُۥ ۚ يَـٰعِبَادِ فَٱتَّقُونِ

Bagi mereka lapisan-lapisan dari api di atas mereka dan di bawah mereka pun ada lapisan-lapisan (daripada api). Demikianlah Allah mempertakuti hamba-hamba-Nya dengan azab itu. Maka bertakwalah kepada-Ku wahai hamba-hamba-Ku.

Seterusnya, Allah Swt menceritakan keadaan orang-orang kafir ketika berada dalam neraka untuk menjelaskan lagi kerugian tersebut. Bagi mereka terdapat lapisan-lapisan api yang berkobar-kobar membakar mereka. Lapisan-lapisan api itu berada di atas dan di bawah mereka. Ini bermaksud, api neraka meliputi mereka di seluruh penjuru.

Allah Swt menjelaskan keadaan seksaan di neraka ini, agar dapat memberi ancaman dan menimbulkan rasa takut dalam diri mereka lalu mencegah mereka melakukan perkara-perkara haram yang mendatangkan dosa.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Mereka mempunyai tempat tidur daripada api neraka dan di atas mereka ada selimut (api neraka). Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang zalim.”

Al-A’raf 7:41

“Pada hari mereka ditutup oleh azab dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka dan Allah berkata (kepada mereka), ‘Rasailah (pembalasan daripada) apa yang telah kamu kerjakan.’”

Al-‘Ankabut 29:55

Pada akhir ayat ini, Allah Swt mengingatkan hamba-hamba-Nya agar bersungguh-sungguh dalam mentaati-Nya, bertakwa dan takut kepada seksaan-Nya sekiranya menderhakai-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya jika mereka beriman dan bertakwa, (nescaya mereka akan mendapat pahala), dan sesungguhnya pahala dari sisi Allah adalah lebih baik, jika mereka mengetahui.”

Al-Baqarah 2:103