Surah 39: Az-Zumar (1 – 2)

Al-Quran adalah Kitab yang Diturunkan daripada Allah Swt

Surah 39: Az-Zumar (1 – 2)


Ayat 1

تَنزِيلُ ٱلْكِتَـٰبِ مِنَ ٱللَّهِ ٱلْعَزِيزِ ٱلْحَكِيمِ

Kitab (Al-Quran ini) diturunkan daripada Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Allah Swt menyatakan bahawa Al-Quran yang agung ini diturunkan dari sisi-Nya Yang Maha Perkasa iaitu Dia Yang Maha Kukuh dan Maha Hebat lagi Maha Bijaksana dalam segala perkataan, perbuatan, syariat dan ketentuan-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Dan sesungguhnya Al-Quran ini benar-benar diturunkan oleh Rabb seluruh alam, dia dibawa turun oleh Ar-Ruhul Amin (Jibril) ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, dengan bahasa Arab yang jelas.”

Asy-Syua’ra’ 26:192-195

“Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kitab yang mulia. Yang tidak datang kepadanya (Al-Quran) kebatilan baik dari depan mahupun dari belakangnya yang diturunkan daripada Rabb Yang Maha Bijaksana lagi Maha Terpuji.”

Fussilat 41:41-42

Ayat 2

إِنَّآ أَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَـٰبَ بِٱلْحَقِّ فَٱعْبُدِ ٱللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ ٱلدِّينَ

Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (Muhammad) kitab (Al-Quran) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya.

Allah Swt menyatakan bahawa segala keterangan di dalam Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw berupa ajaran tauhid, syariat dan segala perkara tentang kehidupan akhirat adalah hak (benar) dan tidak ada keraguan padanya.

Kemudian Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw menyembah hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Baginda juga diperintahkan menyeru dan mengajarkan manusia tentang tauhid dan larangan menyekutukan-Nya yang tidak ada sesuatu pun menyamai-Nya dan setanding dengan-Nya.