Surah 38: Sad (49 – 54)

Ganjaran Syurga kepada Orang Beriman

Surah 38: Sad (49 – 54)


Ayat 49

هَـٰذَا ذِكْرٌ ۚ وَإِنَّ لِلْمُتَّقِينَ لَحُسْنَ مَـَٔابٍ

Inilah peringatan (Al-Quran). Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa benar-benar (disediakan) tempat kembali yang baik.

As-Suddi mengatakan maksud هَٰذَا ذِكْرٌۚ (Ini adalah peringatan) ialah peringatan iaitu Al-Quran Al-‘Azim.

Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa kepada Allah Swt dan mentaati-Nya akan mendapatkan tempat kembali yang baik di sisi-Nya. Inilah janji-Nya dan Allah Swt sekali-kali tidak akan memungkiri janji-janji-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Ingatlah), sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kebimbangan pada mereka dan tidak (pula) mereka berduka cita. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan sentiasa bertakwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimat-kalimat (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.”

Yunus 10:62-64

“Itulah syurga yang akan Kami wariskan kepada hamba-hamba Kami yang selalu bertakwa.”

Maryam 19:63

Ayat 50

جَنَّـٰتِ عَدْنٍ مُّفَتَّحَةً لَّهُمُ ٱلْأَبْوَٰبُ

(Iaitu) Syurga ‘Adn yang pintu-pintunya terbuka bagi mereka.

Dalam rangkaian ayat 50-54, Allah Swt menyatakan tempat kembali yang baik disediakan bagi hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Itulah syurga yang menjadi tempat tinggal abadi yang pintu-pintunya dibukakan kepada mereka.

Ayat 51

مُتَّكِـِٔينَ فِيهَا يَدْعُونَ فِيهَا بِفَـٰكِهَةٍ كَثِيرَةٍ وَشَرَابٍ

Di dalamnya mereka duduk berhadapan (di atas pelamin-pelamin) sambil meminta buah-buahan yang banyak dan minuman di syurga itu.

Antara kenikmatan dan keindahan yang mereka kecapi adalah seperti keadaan mereka yang masing-masing saling menghadap pasangan mereka di atas pelamin-pelamin yang berhias indah. Mereka juga boleh meminta apa sahaja yang berupa buah-buahan yang pelbagai bentuk dan jenis serta minuman, yang diinginkan oleh jiwa mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka dengan pasangan-pasangan mereka berada di tempat yang teduh, sambil duduk bersandar di atas pelamin.”

Yasin 36:56

“Dengan membawa gelas, kendi, dan piala berisi minuman yang diambil daripada air yang mengalir.”

Al-Waqi’ah 56:18

Ayat 52

وَعِندَهُمْ قَـٰصِرَٰتُ ٱلطَّرْفِ أَتْرَابٌ

Dan di sisi mereka (ada bidadari-bidadari) yang tidak liar pandangannya lagi sebaya umurnya.

Manakala di sisi penghuni-penghuni syurga terdapat bidadari-bidadari yang pandangan mata mereka hanya tertumpu kepada pasangan mereka sahaja dan kecantikan dan keremajaan mereka ini adalah sebaya umurnya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….dan Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata luas indah.”

At-Tur 52:20

“Demikianlah (yang berlaku) dan Kami berikan kepada mereka pasangan bidadari yang bermata indah.”

Ad-Dukhan 44:54

Ayat 53

هَـٰذَا مَا تُوعَدُونَ لِيَوْمِ ٱلْحِسَابِ

Inilah apa yang dijanjikan kepadamu pada Hari Perhitungan.

Ayat 54

إِنَّ هَـٰذَا لَرِزْقُنَا مَا لَهُۥ مِن نَّفَادٍ

Sesungguhnya ini adalah benar-benar rezeki daripada Kami yang tidak habis-habisnya.

Seterusnya Allah Swt menjelaskan bahawasanya itulah janji-janji-Nya iaitu kenikmatan-kenikmatan syurga yang tidak akan berkurang dan tidak ada kesudahan atau penghabisannya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Apa yang di sisimu akan lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal. Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan memberi balasan kepada orang-orang yang sabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka lakukan.”

An-Nahl 16:96

“Perumpamaan syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa ialah (seperti taman), mengalir sungai-sungai di dalamnya, sentiasa berbuah tidak henti-henti (demikian juga) naungannya. Itulah tempat kesudahan bagi orang-orang yang bertakwa, sedang tempat kesudahan bagi orang-orang kafir ialah neraka.”

Ar-Ra’d 13:35