Beberapa Nabi Pilihan
Surah 38: Sad (45 – 48)
Ayat 45
وَٱذْكُرْ عِبَـٰدَنَآ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ أُو۟لِى ٱلْأَيْدِى وَٱلْأَبْصَـٰرِ
Dan ingatlah hamba-hamba Kami: Ibrahim, Ishak dan Yaakub yang mempunyai kekuatan (dalam mentaati Allah) dan ilmu (memahami agama).
Ayat 46
إِنَّآ أَخْلَصْنَـٰهُم بِخَالِصَةٍ ذِكْرَى ٱلدَّارِ
Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada Negeri Akhirat.
Ayat 47
وَإِنَّهُمْ عِندَنَا لَمِنَ ٱلْمُصْطَفَيْنَ ٱلْأَخْيَارِ
Dan sesungguhnya mereka pada sisi Kami benar-benar termasuk orang-orang pilihan yang paling baik.
Dalam rangkaian ayat di atas, Allah Swt menyatakan tentang hamba-hamba-Nya iaitu para Rasul yang terdiri daripada Nabi Ibrahim as, Nabi Ishak as dan Nabi Yaakub as yang kuat beribadah dan memiliki ilmu-ilmu yang tinggi serta pemahaman yang jelas dalam agama-Nya.
Allah Swt memuliakan dan memberikan keistimewaan kepada para Rasul-Nya ini dengan menghidupkan hati-hati mereka. Ingatan mereka sentiasa kepada akhirat dengan mengingati Hari Kiamat. Kemudian mereka mempersiapkan diri dengan melakukan amal soleh dan menyeru manusia agar beramal demi menyediakan bekalan untuk akhirat.
Ayat 48
وَٱذْكُرْ إِسْمَـٰعِيلَ وَٱلْيَسَعَ وَذَا ٱلْكِفْلِ ۖ وَكُلٌّ مِّنَ ٱلْأَخْيَارِ
Dan ingatlah akan Ismail, Ilyasa’ dan Zulkifli. Semuanya termasuk orang-orang yang paling baik.
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan pula tentang para Rasul-Nya yang lain yang terdiri daripada Nabi Ismail as, Nabi Ilyasa’ as dan Nabi Zulkifli as. Sesungguhnya mereka semuanya termasuk orang-orang pilihan yang Dia telah pilih daripada makhluk-mahkluk-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan ingatlah kisah Ismail, Idris dan Zulkifli. Mereka semua termasuk orang-orang yang sabar.”
Al-Anbiya’ 21:85