Kisah Nabi Ayyub as dan Penyakitnya
Surah 38: Sad (41 – 44)
Ayat 41
وَٱذْكُرْ عَبْدَنَآ أَيُّوبَ إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥٓ أَنِّى مَسَّنِىَ ٱلشَّيْطَـٰنُ بِنُصْبٍ وَعَذَابٍ
Dan ingatlah akan hamba Kami Ayub ketika dia menyeru Rabbnya, “Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana.”
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menceritakan kepada kaumnya kisah kesabaran Nabi Ayyub as yang ditimpa penyakit dalam tempoh yang lama. Ada yang mengatakan baginda menderita sakit selama lebih kurang lapan belas tahun.
Kemudian Nabi Ayyub as menyeru dan berdoa kepada Allah Swt dengan mengatakan bahawa baginda telah diganggu syaitan dengan penderitaan, sakit bertahun-tahun dan ditimpa bencana yang besar dengan hilangnya harta kekayaan serta anak keturunannya. Baginda mengatakan bahawa baginda hanya mengadu kepada-Nya kerana hanya Dia-lah Yang Maha Penyayang.
Ujian yang diterima oleh Nabi Ayyub as merupakan ujian yang sangat berat. Namun ujian ini menyebabkan bertambah lagi keimanan baginda.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Dan (ingatlah) kisah Ayyub ketika dia berdoa (kepada) Rabbnya, ‘Sesungguhnya aku telah ditimpa penyakit, padahal Engkau Yang Maha Penyayang daripada semua yang penyayang.’”
Al-Anbiya’ 21:83
Hadis sahih diriwayatkan oleh At-Tirmidzi, Rasulullah saw bersabda:
“Orang yang mendapat ujian yang paling berat adalah para Nabi, kemudian orang yang soleh, kemudian yang seumpamanya dan seterusnya. Seseorang itu diuji sesuai dengan tingkatan keteguhannya berpegang pada agamanya. Jika dia benar-benar teguh, maka semakin ditambah ujian terhadapnya.”
(HR. At-Tirmidzi)
Ayat 42
ٱرْكُضْ بِرِجْلِكَ ۖ هَـٰذَا مُغْتَسَلٌۢ بَارِدٌ وَشَرَابٌ
(Allah berfirman), “Hentakkanlah kakimu, inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum.”
Kemudian Allah Swt menjawab doa Nabi Ayyub as. Dia memerintahkan baginda menghentakkan kaki baginda, lalu dari bawah tapak kakinya muncul sebuah mata air. Dia memerintahkan baginda mandi dan minum dengan air tersebut, lalu lenyaplah semua penyakit yang dideritai oleh baginda.
Ayat 43
وَوَهَبْنَا لَهُۥٓ أَهْلَهُۥ وَمِثْلَهُم مَّعَهُمْ رَحْمَةً مِّنَّا وَذِكْرَىٰ لِأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ
Dan Kami anugerahkan kepadanya (Ayyub, dengan mengumpulkan kembali) keluarganya dan Kami lipatgandakan jumlah mereka, sebagai rahmat daripada Kami dan pengajaran bagi orang-orang yang berakal.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia memberikan kesembuhan kepada baginda, menghapuskan kesulitannya, memuliakannya, mengembalikan keluarganya, anak-anaknya dan kekayaannya, malah Dia melipatgandakan jumlah mereka.
Ada beberapa pendapat tentang maksud ayat ini. Sebahagian berpendapat Allah Swt menghidupkan kembali keluarga baginda semuanya. Sebahagian yang lain pula berpendapat Allah Swt menggantikan ahli keluarganya ketika di dunia dan menyatukan mereka semula bersama dengannya di akhirat kelak.
Semuanya itu adalah rahmat dan kasih sayang Allah Swt kepada Nabi Ayyub as atas kesabarannya, keteguhannya, ketenangannya dan tawakkalnya kepada-Nya dalam menghadapi musibah. Ini juga merupakan pelajaran dan peringatan bagi orang-orang yang mahu memikirkan, agar mereka mengetahui bahawa Dia akan menolong orang-orang yang beriman dan bersabar.
Ayat 44
وَخُذْ بِيَدِكَ ضِغْثًا فَٱضْرِب بِّهِۦ وَلَا تَحْنَثْ ۗ إِنَّا وَجَدْنَـٰهُ صَابِرًا ۚ نِّعْمَ ٱلْعَبْدُ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ
Dan ambillah seikat (rumput) dengan tanganmu, maka pukullah (isterimu) dengannya dan janganlah engkau melanggar sumpah. Sesungguhnya Kami dapati dia (Ayyub) seorang yang sabar. Dia adalah sebaik-baik hamba. Sesungguhnya, dia orang yang kembali (tersangat taat kepada Allah).
Kemudian Allah Swt memberikan keringanan kepada Nabi Ayyub as bagi membebaskan dirinya daripada sumpah yang pernah baginda lafazkan kepada isterinya.
Ini kerana Nabi Ayyub as pernah bersumpah untuk memukul isterinya sebanyak seratus kali apabila baginda sembuh daripada sakitnya atas satu perbuatan isterinya yang baginda tidak senangi. Setelah sembuh, Allah Swt memerintahkan baginda memukul isterinya hanya dengan sekali pukulan sebagai memenuhi sumpahnya. Dalam hal ini, sekali pukulan menyamai seratus kali pukulan kerana baginda diperintahkan mengambil seikat rumput atau setandan anggur yang terdapat padanya seratus batang. Ini merupakan rukhshah (keringanan) daripada Allah Swt kepada baginda.
Allah Swt memuji Nabi Ayyub as kerana baginda adalah seorang yang banyak kembali dan berserah diri kepada-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“……….dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberikan rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (ingatlah), sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
At-Talaq 65:2-3