Tidak Sama Orang Beriman dengan Orang yang Melakukan Kerosakan
Surah 38: Sad (28)
Ayat 28
أَمْ نَجْعَلُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَعَمِلُوا۟ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ كَٱلْمُفْسِدِينَ فِى ٱلْأَرْضِ أَمْ نَجْعَلُ ٱلْمُتَّقِينَ كَٱلْفُجَّارِ
Patutkah Kami memperlakukan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di bumi? Atau patutkah Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?
Allah Swt menjelaskan bahawa termasuk keadilan dan kebijaksanaan-Nya Dia tidak menyamakan orang-orang yang beriman kepada-Nya, membenarkan Rasul-rasul-Nya, mengerjakan amal soleh dan meninggalkan larangan-Nya dengan orang-orang yang kufur kepada-Nya, mendustakan para Rasul dan membuat pelbagai maksiat dan kerosakan di bumi.
Allah Swt juga tidak memperlakukan orang-orang yang beriman dan bertakwa sama seperti yang dilakukan-Nya kepada golongan sengsara dan celaka daripada kalangan kaum kafir dan munafik serta orang-orang yang tenggelam dalam pelbagai kemaksiatan dan kederhakaan kepada-Nya.
Sesungguhnya kedua-dua golongan ini tidaklah sama dan tidak layak bagi Allah Swt dengan segala kebijaksanaan dan keputusan-Nya menyamakan kedua-dua golongan itu kerana Dia akan memberikan pahala bagi orang-orang mukmin yang bertakwa dan menghukum orang-orang yang kufur lagi celaka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Sesungguhnya orang-orang kafir daripada golongan ahli kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke Neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Mereka itu adalah sejahat-jahat makhluk. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Rabb mereka ialah syurga ‘Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada-Nya. Yang demikian itu adalah (balasan) bagi orang yang takut kepada Rabbnya.”
Al-Bayyinah 98:6-8