Allah Swt Menciptakan Makhluk-Nya Bukanlah Sia-sia
Surah 38: Sad (27)
Ayat 27
وَمَا خَلَقْنَا ٱلسَّمَآءَ وَٱلْأَرْضَ وَمَا بَيْنَهُمَا بَـٰطِلًا ۚ ذَٰلِكَ ظَنُّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ فَوَيْلٌ لِّلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِنَ ٱلنَّارِ
Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada antara kedua-duanya dengan sia-sia. Yang demikian itu adalah anggapan orang-orang kafir, maka celakalah orang-orang kafir itu kerana mereka akan masuk neraka.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak menciptakan makhluk-Nya secara sia-sia dan main-main tanpa hikmah. Dia ciptakan semuanya itu supaya mereka menyembah-Nya dan mengesakan-Nya. Kemudian Dia akan menghimpunkan mereka pada Hari Perhitungan. Seterusnya Dia akan memberi pahala kepada orang-orang yang taat dan mengazab orang-orang yang ingkar iaitu orang-orang yang tidak percaya kepada Hari Berbangkit dan tidak juga percaya bahawa mereka akan dikembalikan kepada-Nya, melainkan hanya percaya kepada kehidupan di dunia ini sahaja.
Manakala orang-orang yang tidak mempercayai adanya Hari Kebangkitan akan diseret ke neraka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan apakah mereka tidak memerhatikan bahawa Allah yang menciptakan langit dan bumi adalah Maha Berkuasa (pula) menciptakan yang serupa dengan mereka, dan Dia telah menetapkan waktu yang tertentu (mati atau dibangkitkan) bagi mereka yang tidak diragukan lagi? Maka orang-orang zalim itu tidak menghendaki kecuali kekafiran.”
Al-Isra’ 17:99