Surah 38: Sad (17 – 20)

Kurniaan Allah Swt kepada Nabi Daud as

Surah 38: Sad (17 – 20)


Ayat 17

ٱصْبِرْ عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَٱذْكُرْ عَبْدَنَا دَاوُۥدَ ذَا ٱلْأَيْدِ ۖ إِنَّهُۥٓ أَوَّابٌ

Bersabarlah atas segala apa yang mereka katakan, dan ingatlah hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan, sesungguhnya dia sangat taat (kepada Allah).

Dalam ayat-ayat yang lepas disebutkan bahawa orang-orang kafir Mekah memperbodohkan, memperolok-olokkan, menuduh Rasulullah saw sebagai ahli sihir, penyair, pendusta dan juga mereka mencabar agar disegerakan azab, maka Allah Swt meminta baginda bersabar atas sikap mereka yang buruk tersebut. Hal ini merupakan ujian yang juga pernah dialami oleh para Rasul yang lain.

Kemudian Allah Swt menyebutkan kisah Nabi Daud as dan memerintahkan Rasulullah saw menceritakan kepada kaumnya tentangnya. Nabi Daud as memiliki kekuatan (ٱلْأَيْدِ) iaitu kekuatan ilmu dan amal.

Ibnu ‘Abbas, As-Suddi dan Ibnu Zahid mengatakan maksud (ٱلْأَيْدِ) ialah kekuatan. Mujahid menyatakan maksudnya ialah kekuatan dalam ketaatan. Qatadah menyatakan maksud kekuatan dalam ayat ini ialah Nabi Daud as dianugerahi kekuatan dalam beribadah dan pemahaman dalam Islam.

Nabi Daud as kuat beribadah pada malam hari dan berpuasa pada siang hari. Dalam kitab Sahihain disebutkan bahawa Rasulullah saw bersabda:

“Solat yang paling disukai di sisi Allah adalah solat Nabi Daud dan puasa yang paling disukai di sisi Allah adalah puasa Nabi Daud. Adalah dia tidur pada separuh malam dan bangun pada sepertiganya, kemudian tidur pada seperenamnya. Dia berpuasa sehari dan berbuka sehari. Dan dia tidak melarikan diri ketika bertemu musuh. Dan dia adalah seorang yang taat.”

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)

Ayat 18

إِنَّا سَخَّرْنَا ٱلْجِبَالَ مَعَهُۥ يُسَبِّحْنَ بِٱلْعَشِىِّ وَٱلْإِشْرَاقِ

Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dengannya (Daud) pada waktu petang dan pagi.

Ayat 19

وَٱلطَّيْرَ مَحْشُورَةً ۖ كُلٌّ لَّهُۥٓ أَوَّابٌ

Dan (kami tundukkan (juga) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah.

Allah Swt menyebutkan nikmat yang dikurniakan kepada Nabi Daud as. Sesungguhnya Dia menundukkan gunung-gunung agar bertasbih mensucikan-Nya bersama-sama Nabi Daud as pada waktu pagi dan petang. Dia juga menundukkan burung-burung berkumpul untuk bertasbih bersama-sama baginda mensucikan-Nya. Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….(Kami berfirman), “Wahai gunung-ganang dan burung-burung, bertasbihlah berulang-ulang bersama Daud,” dan Kami melembutkan besi untuknya.”

Saba’ 34:10

Ayat 20

وَشَدَدْنَا مُلْكَهُۥ وَءَاتَيْنَـٰهُ ٱلْحِكْمَةَ وَفَصْلَ ٱلْخِطَابِ

Dan Kami kuatkan kerajaannya dan Kami berikan kepadanya hikmah (kebijaksanaan) dalam menyelesaikan perselisihan.

Allah Swt mengurniakan kepada Nabi Daud as kerajaan yang kuat dan sempurna, lengkap dengan apa yang diperlukan dan dikuasai oleh para raja.

Nabi Daud as juga diberikan kecerdasan dan kebijaksanaan dalam berbicara serta diberikan ilham untuk memutuskan sesuatu perkara yang diperselisihkan dengan baik.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Daud membunuh Jalut, kemudian Allah memberikannya (Daud) pemerintahan dan hikmah (sesudah meninggalnya Talut) dan mengajarkan kepadanya apa yang dikehendaki-Nya……….”

Al-Baqarah 2:251