Surah 38: Sad (12 – 16)

Peringatan kepada Kaum Musyrik tentang Kaum Terdahulu yang Telah Dibinasakan

Surah 38: Sad (12 – 16)


Ayat 12

كَذَّبَتْ قَبْلَهُمْ قَوْمُ نُوحٍ وَعَادٌ وَفِرْعَوْنُ ذُو ٱلْأَوْتَادِ

Sebelum mereka itu, kaum Nuh, ‘Aad, Firaun yang mempunyai tentera yang ramai juga telah mendustakan (Rasul-rasul).

Ayat 13

وَثَمُودُ وَقَوْمُ لُوطٍ وَأَصْحَـٰبُ لْـَٔيْكَةِ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ ٱلْأَحْزَابُ

Dan begitu juga Thamud, kaum Lut dan penduduk Aikah. Mereka itulah golongan-golongan yang bersekutu (menentang Rasul-rasul).

Ayat 14

إِن كُلٌّ إِلَّا كَذَّبَ ٱلرُّسُلَ فَحَقَّ عِقَابِ

Semua mereka itu tidak lain hanyalah mendustakan Rasul-rasul, maka pastilah (bagi mereka) azab-Ku.

Dalam rangkaian ayat-ayat ini, Allah Swt menyebutkan beberapa kelompok orang-orang kafir daripada umat-umat terdahulu yang mendustakan para Rasul iaitu kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Thamud, Firaun, kaum Nabi Lut as dan penduduk Aikah.

Penduduk Aikah adalah kaum Nabi Syu’aib as yang tinggal di daerah Madyan.

Mereka ini lebih banyak bilangannya daripada orang-orang Quraisy, lebih kuat, lebih banyak harta dan lebih ramai anak-anak, tetapi semuanya itu sedikit pun tidak dapat menyelamatkan mereka daripada azab Allah Swt.

Ayat 15

وَمَا يَنظُرُ هَـٰٓؤُلَآءِ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً مَّا لَهَا مِن فَوَاقٍ

Tidaklah yang mereka tunggu melainkan hanya satu teriakan sahaja yang tidak ada baginya saat berselang.

Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa golongan yang ingkar ini tidak menunggu melainkan kedatangan Hari Kiamat yang semakin dekat dan akan datang secara tiba-tiba.

Tandanya ialah teriakan atau tiupan yang diperintahkan kepada malaikat Israfil bagi menimbulkan ketakutan kepada penghuni langit dan bumi. Semua makhluk ciptaan-Nya akan ketakutan selain yang dikecualikan oleh Allah.

Ayat 16

وَقَالُوا۟ رَبَّنَا عَجِّل لَّنَا قِطَّنَا قَبْلَ يَوْمِ ٱلْحِسَابِ

Dan mereka berkata, “Wahai Rabb kami segerakanlah untuk kami azab yang diperuntukkan bagi kami sebelum Hari Perhitungan.”

Mereka memohon agar disegerakan azab di dunia dan permohonan mereka ini adalah sebagai pengingkaran dan pendustaan kepada Allah Swt dan Rasul-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah), ketika mereka (orang-orang musyrik) berkata, ‘Wahai Allah, jika benar (Al-Quran) ini (wahyu) daripada Engkau, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab yang pedih.’”

Al-Anfal 8:32