Keteguhan Nabi Ibrahim as dalam Mentauhidkan Allah Swt
Surah 37: As-Saffat (83 – 87)
Ayat 83
وَإِنَّ مِن شِيعَتِهِۦ لَإِبْرَٰهِيمَ
Dan sesungguhnya Ibrahim benar-benar termasuk golongannya (Nuh).
Allah Swt menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim as termasuk golongan para Rasul yang mengikuti jejak langkah Nabi Nuh as.
Mujahid mengatakan, Nabi Ibrahim as berada di atas manhaj dan sunnah Nabi Nuh as.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, Nabi Ibrahim as termasuk dalam golongan orang-orang yang beragama dengan agama Nabi Nuh as dan mengikuti sunnahnya.
Nabi Ibrahim as sangat gigih memperjuangkan agamanya dan sangat sabar menghadapi pendustaan kaumnya sama seperti Nabi Nuh as.
Allah Swt berfirman dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga ‘Imran melebihi segala umat (pada zaman masing-masing).”
Ali ‘Imran 3:33
“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh dan Ibrahim dan Kami berikan kenabian dan kitab (wahyu) kepada keturunan kedua-duanya, di antara mereka ada yang menerima petunjuk dan banyak di antara mereka yang fasik.”
Al-Hadid 57:26
Ayat 84
إِذْ جَآءَ رَبَّهُۥ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
(lngatlah) ketika dia (Ibrahim) datang kepada Rabbnya dengan hati yang suci.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, maksud hati yang suci ialah kesaksian bahawa tidak ada Ilah yang berhak diibadahi dengan benar melainkan Allah Swt.
Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada ‘Auf, bahawa dia pernah bertanya kepada Muhammad bin Sirin tentang maksud hati yang suci. Muhammad bin Sirin menjawab, “Maksudnya ialah yang mengetahui bahawa Allah adalah hak (benar), Hari Kiamat pasti akan datang, tiada keraguan padanya dan Allah akan membangkitkan kembali sesiapa sahaja yang ada di dalam kubur.”
Manakala Al-Hasan mengatakan maksud hati yang suci ialah hati yang bersih daripada kesyirikan. Urwah pula mengatakan, maksudnya ialah hati yang tidak pernah melaknat.
Ayat 85
إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ وَقَوْمِهِۦ مَاذَا تَعْبُدُونَ
(Ingatlah) ketika dia (Ibrahim) berkata kepada bapanya dan kaumnya, “Apakah yang kamu sembah itu?
Ayat 86
أَئِفْكًا ءَالِهَةً دُونَ ٱللَّهِ تُرِيدُونَ
Apakah kamu menghendaki sembahan-sembahan selain Allah dengan jalan berbohong?
Ayat 87
فَمَا ظَنُّكُم بِرَبِّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Maka apakah anggapanmu terhadap Rabb semesta alam?”
Dalam ayat-ayat ini, Allah Swt menjelaskan bahawa Nabi Ibrahim as mengingkari kaumnya yang menyekutukan-Nya dengan menyembah berhala-berhala.
Nabi Ibrahim as menyatakan kepada kaumnya dan bapanya bahawa adalah tidak patut bagi orang-orang yang berakal menyembah benda-benda yang tidak dapat memberikan manfaat dan mudharat.
Kemudian Nabi Ibrahim as mempersoalkan mengapa mereka menyembah berhala-berhala itu secara dusta. Ini kerana tidak ada satu bukti pun yang memerintahkan mereka berbuat demikian. Ini hanya dilakukan oleh orang-orang yang tidak berakal.
Seterusnya, Nabi Ibrahim as mempersoalkan anggapan kaumnya dan bapanya tentang Allah Swt yang selayaknya mereka sembah. Tidakkah mereka memikirkan apakah yang akan Dia lakukan ketika mereka menghadap-Nya kelak. Apakah mereka menganggap mereka tidak akan dihukum sedangkan mereka menyembah sesuatu yang selain-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata kepada ayahnya Azar, ‘Patutkah kamu menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihat kamu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata.’”
Al-An’am 6:74