Surah 37: As-Saffat (62 – 70)

Pohon Zaqqum dan Ahli Neraka

Surah 37: As-Saffat (62 – 70)


Ayat 62

أَذَٰلِكَ خَيْرٌ نُّزُلًا أَمْ شَجَرَةُ ٱلزَّقُّومِ

Apakah (makanan syurga) itu hidangan yang lebih baik atau pohon zaqqum?

Allah Swt membuat perbandingan manakah yang lebih baik antara semua kenikmatan syurga berupa makanan, minuman, pasangan dan lain-lainnya yang dikurniakan kepada penghuni syurga dengan pokok zaqqum yang berada di dalam Neraka Jahannam.

Sebahagian ulama mengatakan pokok zaqqum adalah sebatang pohon yang cabang-cabangnya menjalar ke seluruh tempat di dalam Neraka Jahannam.

Zaqqum adalah sejenis buah yang tersangat pahit, busuk baunya, susah ditelan dan sangat menyakitkan ketika dimakan.

Ayat 63

إِنَّا جَعَلْنَـٰهَا فِتْنَةً لِّلظَّـٰلِمِينَ

Sesungguhnya, Kami jadikan (pohon zaqqum) sebagai azab bagi orang-orang zalim.

Ayat 64

إِنَّهَا شَجَرَةٌ تَخْرُجُ فِىٓ أَصْلِ ٱلْجَحِيمِ

Sesungguhnya ia adalah pohon yang keluar dari dasar Neraka Jahim.

Qatadah mengatakan apabila disebutkan zaqqum di dalam Al-Quran, maka orang-orang yang sesat menjadi terfitnah (sebagai ujian), mereka mengatakan Rasulullah saw memberitahu bahawa di neraka ada sebatang pokok sedangkan pokok dimakan api. Lalu Allah Swt menurunkan ayat ini.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….Dan Kami tidak menjadikan mimpi yang telah Kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon kayu yang terkutuk (zaqqum) dalam Al-Quran. Dan Kami menakut-nakutkan mereka, tetapi perkara itu hanya telah menambah kederhakaan mereka.”

Al-Isra’ 17:60

Ayat 65

طَلْعُهَا كَأَنَّهُۥ رُءُوسُ ٱلشَّيَـٰطِينِ

Mayangnya seperti kepala syaitan-syaitan.

Seterusnya, Allah Swt memberitahu tentang tempat pohon zaqqum berada. Ia tumbuh di dasar Neraka Jahannam sedangkan dahan-dahannya menjulang menggapai semua tingkatan neraka. Manakala baunya sangat busuk dan bentuk buahnya sangat menyeramkan iaitu seperti kepala syaitan.

Ayat 66

فَإِنَّهُمْ لَـَٔاكِلُونَ مِنْهَا فَمَالِـُٔونَ مِنْهَا ٱلْبُطُونَ

Maka sesungguhnya mereka benar-benar memakan sebahagian daripadanya (buah pohon) itu, dan mereka memenuhi perut mereka dengan buahnya (zaqqum).

Allah Swt menyatakan penghuni neraka benar-benar akan memakan buah pohon zaqqum, sejenis buah yang tidak ada satu pun yang lebih menjijikkan daripadanya. Mereka terpaksa memakannya kerana inilah makanan dan buah yang disediakan bagi penghuni neraka.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka tidak memperoleh makanan selain pohon yang berduri, yang tidak menggemukkan dan tidak pula menghilangkan lapar.”

Al-Ghasyiyah 88:6-7

Ayat 67

ثُمَّ إِنَّ لَهُمْ عَلَيْهَا لَشَوْبًا مِّنْ حَمِيمٍ

Kemudian setelah memakan (buah pohon zaqqum) itu, mereka mendapat minuman yang dicampur dengan air yang sangat panas.

Ayat 68

ثُمَّ إِنَّ مَرْجِعَهُمْ لَإِلَى ٱلْجَحِيمِ

Kemudian pasti tempat kembali mereka ke Neraka Jahim.

Setelah mereka memakan buah zaqqum, mereka diberi pula minuman yang tersangat panas. Minuman ini bercampur zaqqum yang mereka baru memakannya itu menambahkan lagi azab bagi mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat lain:

“……….dan diberi minuman dengan air yang mendidih sehingga memotong ususnya bercerai berai.”

Muhammad 47:15

Muqatil mengatakan bahawa حَميمٍ berada di luar neraka. Penghuni neraka mendatangi حَميمٍ untuk minum, kemudian mereka dikembalikan lagi ke dalam neraka seperti firman-Nya:

“Inilah Neraka Jahannam yang didustakan oleh orang-orang berdosa. Mereka berkeliling di antaranya dan di antara air mendidih yang memuncak panasnya.”

Ar-Rahman 55:43-44

Ayat 69

إِنَّهُمْ أَلْفَوْا۟ ءَابَآءَهُمْ ضَآلِّينَ

Sesungguhnya mereka mendapati nenek moyang mereka dalam keadaan sesat.

Ayat 70

فَهُمْ عَلَىٰٓ ءَاثَـٰرِهِمْ يُهْرَعُونَ

Lalu mereka tergesa-gesa mengikut jejak (nenek moyang) mereka.

Seterusnya Allah Swt menjelaskan, itulah azab yang layak bagi mereka kerana mereka tergesa-gesa mengikuti jejak nenek moyang mereka tanpa berfikir dan merenung untuk mencari kebenarannya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“……….(Mereka menjawab) “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapat daripada nenek moyang kami (melakukannya).” Apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak (pula) mendapat petunjuk?”

Al-Ma’idah 5:104