Surah 37: As-Saffat (50 – 61)

Dialog Salah Seorang daripada Penghuni Syurga tentang Seorang Temannya yang Berada di Jahannam

Surah 37: As-Saffat (50 – 61)


Ayat 50

فَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَسَآءَلُونَ

Lalu sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain sambil bercakap-cakap.

Allah Swt menjelaskan keadaan sebahagian daripada penghuni-penghuni syurga berkumpul dengan sebahagian yang lain sambil saling berbual-bual. Mereka berbincang tentang kehidupan dan penderitaan mereka sewaktu di dunia. Ini merupakan salah satu topik pembicaraan mereka di tempat mereka minum-minum dan berkumpul serta bergaul dengan ahli syurga lainnya, sambil duduk di atas tahkta-tahkta kebesaran.

Ayat 51

قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ إِنِّى كَانَ لِى قَرِينٌ

Berkatalah salah seorang di antara mereka, “Sesungguhnya aku dahulu (di dunia) mempunyai seorang teman.

Mujahid mengatakan maksud teman dalam ayat ini ialah qarin iaitu syaitan.

Al-‘Aufi pula meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, bahawa maksudnya adalah teman yang musyrik, dia menjadi teman orang mukmin ketika di dunia.

Pendapat Mujahid dan Ibnu ‘Abbas ra ini tidak ada pertentangan antara kedua-duanya, kerana syaitan itu adakalanya daripada makhluk jin yang suka menggoda jiwa manusia dan adakalanya pula daripada kalangan manusia sendiri.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap nabi itu musuh, iaitu syaitan-syaitan (daripada jenis) manusia dan (daripada jenis) jin, sebahagian mereka membisikkan kepada sebahagian yang lain perkataan-perkataan yang indah-indah untuk menipu (manusia)………….”

Al-An’am 6:112

Ayat 52

يَقُولُ أَءِنَّكَ لَمِنَ ٱلْمُصَدِّقِينَ

Dia (teman itu) berkata, “Apakah kamu sungguh-sungguh termasuk orang-orang yang membenarkan (Hari Berbangkit)?

Ayat 53

أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَدِينُونَ

Apakah bila kita telah mati dan kita telah menjadi tanah dan tulang belulang, apakah sesungguhnya kita benar-benar (akan dibangkitkan) untuk diberi pembalasan?”

Allah Swt menceritakan bahawa semasa di dunia dahulu teman musyrik yang mengingkari Hari Kebangkitan telah bertanya kepada penghuni syurga ini dengan nada mengejek dan memperlekehkan, mengapa dia percaya dan mengimani perkara yang dianggapnya mustahil. Baginya perkara itu tidak masuk akal apabila mereka semua telah hancur menjadi tanah dan tulang belulang mereka akan dibangkitkan kembali untuk dihisab dan diberikan balasan.

Temannya yang musyrik itu tetap mengingkari Hari Kebangkitan sehingga sampai ajalnya, sedangkan orang mukmin itu tetap beriman kepada Hari Kebangkitan sehinggalah kematian menjemputnya. Oleh itu, orang mukmin memperoleh kenikmatan seperti yang disebutkan di atas, sedangkan kawannya yang musyrik menerima azab di dalam neraka.

Ayat 54

قَالَ هَلْ أَنتُم مُّطَّلِعُونَ

Dia berkata lagi, “Mahukah kamu meninjau (temanku itu)?”

Kemudian orang mukmin itu mengajak penghuni syurga yang menjadi teman berbicara dengannya itu meninjau penghuni neraka untuk ditunjukkan kawannya yang musyrik dan bagaimana dia diazab kerana kekafirannya.

Ayat 55

فَٱطَّلَعَ فَرَءَاهُ فِى سَوَآءِ ٱلْجَحِيمِ

Maka dia meninjaunya, lalu dia melihat temannya itu di tengah-tengah neraka yang menyala-nyala.

Ayat 56

قَالَ تَٱللَّهِ إِن كِدتَّ لَتُرْدِينِ

Dia berkata, “Demi Allah, sesungguhnya kamu benar-benar hampir mencelakakanku.

Saat orang mukmin itu meninjau para penghuni neraka, dia mendapati kawannya yang musyrik itu berada di tengah-tengah neraka dan dibakar oleh api Jahannam.

Orang mukmin penghuni syurga tersebut mencela kawannya yang musyrik kerana kawannya itu semasa di dunia dahulu hampir-hampir menjerumuskannya kepada kebinasaan, kehancuran dan kesesatan kerana dia mengajaknya mengingkari adanya Hari Pembalasan.

Orang mukmin ini berkata kepada temannya yang musyrik yang berada dalam neraka bahawa dia benar-benar akan binasa sekiranya dia mengikuti temannya itu.

Ayat 57

وَلَوْلَا نِعْمَةُ رَبِّى لَكُنتُ مِنَ ٱلْمُحْضَرِينَ

Dan sekiranya bukan kerana nikmat Rabbku pastilah aku termasuk orang-orang yang diseret (ke neraka).

Seterusnya orang mukmin itu berkata sekiranya bukan kerana kurniaan Allah Swt kepadanya, pasti dia juga berada di dalam neraka yang menyala-nyala. Allah Swt telah membimbingnya kepada keimanan dan mengesakan-Nya.

Firman Allah Swt dalam surah yang lain:

“……….Kami tidak akan mendapat petunjuk sekiranya Allah tidak menunjukkan kepada kami……….”

Al-A’raf 7:43

Ayat 58

أَفَمَا نَحْنُ بِمَيِّتِينَ

Maka apakah kita tidak akan mati?

Ayat 59

إِلَّا مَوْتَتَنَا ٱلْأُولَىٰ وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ

Kecuali kematian kita yang pertama sahaja (di dunia), dan kita tidak akan diazab (di akhirat ini)?”

Kemudian orang mukmin itu kembali berbicara dengan teman-temannya di syurga. Oleh sebab terlalu gembira dan bahagia dengan kenikmatan yang ada di dalam syurga, dia berkata adakah mereka akan benar-benar kekal dan hidup dalam kenikmatan buat selama-lamanya? Adakah mereka tidak akan dimatikan lagi selepas kematian di dunia dan mereka tidak akan diazab seperti penghuni neraka?

Ucapan daripada orang mukmin ini adalah sebagai tanda kegembiraan atas kurniaan Allah Swt yang dilimpahkan kepadanya yang merupakan kenikmatan dan syurga yang kekal tanpa kematian dan seksaan.

Ayat 60

إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ

Sesungguhnya, ini adalah benar-benar kemenangan yang agung.

Ayat 61

لِمِثْلِ هَـٰذَا فَلْيَعْمَلِ ٱلْعَـٰمِلُونَ

Untuk (kemenangan) seperti ini, hendaklah beramal orang-orang yang mampu beramal.

Allah Swt menyatakan bahawa sesungguhnya kenikmatan syurga ini benar-benar merupakan kemenangan yang agung dan kebahagiaan yang abadi.

Namun untuk memperoleh kemenangan dan kebahagiaan seperti ini, hamba-hamba-Nya hendaklah beriman kepada-Nya, para Rasul-Nya dan beramal soleh ketika hidup di dunia dahulu.

Firman Allah Swt dalam surah-surah yang lain:

“Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebaikan maka Rabb mereka akan memasukkan mereka ke dalam rahmat-Nya (syurga). Demikian itulah kemenangan yang nyata.”

Al-Jathiyah 45:30

“…………sesiapa yang diselamatkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia memperoleh kemenangan……….”

Ali ‘Imran 3:185