Surah 37: As-Saffat (38 – 49)

Balasan bagi Orang Musyrik dan Orang Beriman

Surah 37: As-Saffat (38 – 49)


Ayat 38

إِنَّكُمْ لَذَآئِقُوا۟ ٱلْعَذَابِ ٱلْأَلِيمِ

Sesungguhnya kamu pasti akan merasakan azab yang pedih.

Ayat 39

وَمَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Dan kamu tidak diberi balasan melainkan mengikut apa yang telah kamu kerjakan.

Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang sesat iaitu yang kufur dan mensyirikkan-Nya benar-benar akan merasakan azab yang menyakitkan di Neraka Jahannam yang berkekalan. Peringatan ini sekaligus ditujukan kepada seluruh manusia secara umumnya.

Balasan yang diberikan kepada orang-orang yang kufur itu adalah balasan yang hak dan adil, tiada sebarang kezaliman sedikit pun. Ini merupakan hukuman yang setimpal dengan kekafiran dan kederhakaan mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Peganglah dia kemudian seretlah dia sampai ke tengah-tengah neraka. Kemudian tuangkanlah di atas kepalanya (azab daripada) air yang sangat panas.”

Ad-Dukhan 44:47-48

“Sesungguhnya orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami akan masukkan mereka ke dalam api neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami gantikan kulit yang lain agar mereka dapat merasakan azab. Sesungguhnya Allah adalah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

An-Nisa’ 4:56

Ayat 40

إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ

Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan (daripada sebarang syirik).

Ayat 41

أُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ رِزْقٌ مَّعْلُومٌ

Mereka itu memperoleh rezeki yang ditentukan.

Setelah menyebutkan keadaan para pendosa yang angkuh, sombong dan mendustakan kenabian para Rasul pada ayat-ayat sebelum ini, maka dalam ayat ini Allah Swt menyebutkan pula keadaan orang-orang yang beriman dan ikhlas beribadah kepada-Nya.

Allah Swt menyebutkan sifat-sifat orang-orang yang beriman dalam firman-firman-Nya yang lain:

“Demi masa. Sesungguhnya, manusia berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.”

Al-‘Asr 103:1-3

“Sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan maka mereka akan mendapat pahala yang tidak putus-putus.”

At-Tin 95:4-6

Ayat 42

فَوَٰكِهُ ۖ وَهُم مُّكْرَمُونَ

Iaitu buah-buahan dan mereka adalah orang-orang yang dimuliakan.

Mereka disediakan syurga tempat menikmati rezeki yang terbaik daripada pelbagai jenis buah-buahan dan makanan-makanan yang lazat yang tidak putus-putus. Rezeki ini telah ditentukan kepada mereka oleh Allah Swt sebagai layanan kepada para tetamu yang mendapat penuh penghormatan.

Allah Swt menggambarkan kemewahan makanan penghuni syurga, antaranya seperti firman-Nya:

“Dan buah-buahan daripada apa yang mereka pilih, dan daging burung daripada apa yang mereka inginkan.”

Al-Waqi’ah 56:20-21

Ayat 43

فِى جَنَّـٰتِ ٱلنَّعِيمِ

Di dalam syurga-syurga yang penuh nikmat.

Ayat 44

عَلَىٰ سُرُرٍ مُّتَقَـٰبِلِينَ

Di atas takhta-takhta kebesaran berhadap-hadapan.

Ayat 45

يُطَافُ عَلَيْهِم بِكَأْسٍ مِّن مَّعِينٍ

Diedarkan kepada mereka gelas yang berisi khamar dari sungai yang mengalir.

Ayat 46

بَيْضَآءَ لَذَّةٍ لِّلشَّـٰرِبِينَ

(Warnanya) putih bersih, sedap rasanya bagi orang-orang yang minum.

Ayat 47

لَا فِيهَا غَوْلٌ وَلَا هُمْ عَنْهَا يُنزَفُونَ

Tidak ada di dalamnya (unsur) yang memabukkan dan mereka tidak mabuk kerananya.

Kenikmatan yang mereka peroleh di dalam syurga adalah daripada pelbagai jenis buah-buahan yang terbaik, pelbagai rasa dan warna serta keadaannya. Mereka hidup dalam taman-taman syurga yang penuh dengan kenikmatan, kesenangan dan mendapat kemuliaan daripada Allah Swt.

Mereka duduk bersandar di atas pelamin secara berhadap-hadapan dan masing-masing tidak saling membelakangi.

Sambil mereka duduk bersandar, diedarkan kepada mereka gelas-gelas seperti piala-piala yang berisi arak (khamar) yang mengalir di sungai-sungai dari sumbernya seperti keluarnya air dari sumber mata air yang tidak pernah putus.

Allah Swt menyebutkan khamar di dalam syurga berwarna putih bersih, rasanya lazat dan menyegarkan kepada sesiapa yang meminumnya.

Sifat-sifat khamar di dalam syurga berbeza dengan sifat-sifat khamar yang ada di dunia. Menurut pendapat Ad-Dahhak daripada Ibnu ‘Abbas ra, beliau mengatakan khamar di dunia mempunyai empat sifat iaitu boleh menyebabkan peminumnya mabuk, pening kepala, mengeluarkan muntah dan banyak kencing.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Mereka dikelilingi oleh anak-anak muda yang tetap muda, dengan membawa gelas, cerek dan minuman yang diambil daripada air yang mengalir, mereka tidak pening kerananya dan tidak pula mabuk.”

Al-Waqi’ah 56:17-19

Ayat 48

وَعِندَهُمْ قَـٰصِرَٰتُ ٱلطَّرْفِ عِينٌ

Dan di sisi mereka ada (bidadari-bidadari) yang indah dan luas matanya, dan membatasi pandangannya.

Sedang di sisi mereka pula ada bidadari-bidadari yang menjaga kehormatan, tidak memandang kepada selain suami-suami mereka. Bidadari-bidadari ini memiliki tubuh dan warna kulit yang bagus serta mata yang besar.

Ayat 49

كَأَنَّهُنَّ بَيْضٌ مَّكْنُونٌ

Seakan-akan mereka adalah telur (burung unta) yang tersimpan dengan baik.

Allah Swt menggambarkan betapa indahnya tubuh dan warna kulit bidadari. Kulit mereka yang putih mulus serta kekuningan dan cantik seakan-akan telur yang terjaga, juga seperti mutiara yang tersimpan dengan baik, terpelihara dan tidak pernah disentuh oleh tangan.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“……….di dalam syurga itu terdapat segala apa yang diinginkan oleh hati dan segala yang sedap (dipandang) mata. Dan kamu kekal di dalamnya.”

Az-Zukhruf 43:71

“Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan? Di dalam syurga itu ada bidadari-bidadari yang membatasi pandangan (kepada mereka semata-mata), tidak pernah disentuh sebelum ini oleh manusia mahupun jin. Maka nikmat Rabbmu yang manakah yang kamu dustakan?  Seakan-akan mereka itu permata yakut (delima) dan marjan.”

Ar-Rahman 55:55-58