Orang Kafir Kelak Saling Berbantah pada Hari Kiamat
Surah 37: As-Saffat (27 – 37)
Ayat 27
وَأَقْبَلَ بَعْضُهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ يَتَسَآءَلُونَ
Dan sebahagian mereka menghadap kepada sebahagian yang lain dan saling berbantah.
Ayat 28
قَالُوٓا۟ إِنَّكُمْ كُنتُمْ تَأْتُونَنَا عَنِ ٱلْيَمِينِ
Pengikut-pengikut mereka berkata (kepada pemimpin-pemimpin mereka), “Sesungguhnya kamulah yang datang kepada kami dari kanan.”
Allah Swt menyebutkan keadaan orang-orang kafir yang telah menyesal, lalu mereka mendatangi sebahagian yang lain dan seterusnya berlaku tuduh menuduh serta saling berbantah. Pengikut-pengikut akan berkata kepada pemimpin-pemimpin, sesungguhnya semasa di dunia dahulu, pemimpin-pemimpin itulah yang datang kepada mereka dengan menggunakan kekuasaan menghalang mereka yang lemah daripada beriman, berbuat kebaikan dan melalui jalan yang selamat.
Ayat 29
قَالُوا۟ بَل لَّمْ تَكُونُوا۟ مُؤْمِنِينَ
(Pemimpin-pemimpin) mereka menjawab, “Sebenarnya kamulah yang tidak beriman.”
Ayat 30
وَمَا كَانَ لَنَا عَلَيْكُم مِّن سُلْطَـٰنٍۭ ۖ بَلْ كُنتُمْ قَوْمًا طَـٰغِينَ
Dan sekali-kali kami tidak berkuasa terhadapmu, bahkan kamulah kaum yang melampaui batas.
Pemimpin-pemimpin daripada kalangan jin dan manusia pula berkata, pengikut-pengikut merekalah yang mengingkari keimanan dan menerima kekafiran serta kemaksiatan.
Pemimpin-pemimpin tersebut meneruskan lagi dengan mengatakan bahawa pengikut-pengikut merekalah yang melampaui batas, melakukan sewenang-wenangnya sehingga menyukai pemimpin-pemimpin mereka lalu meninggalkan kebenaran yang dibawa oleh para Nabi. Padahal para Nabi membawa bukti-bukti kebenaran kepada mereka.
Ayat 31
فَحَقَّ عَلَيْنَا قَوْلُ رَبِّنَآ ۖ إِنَّا لَذَآئِقُونَ
Maka pastilah keputusan (azab) Rabb kita menimpa atas kita. Sesungguhnya kita pasti akan merasakan (azab itu).
Ayat 32
فَأَغْوَيْنَـٰكُمْ إِنَّا كُنَّا غَـٰوِينَ
Maka kami telah menyesatkan kamu, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang sesat.
Demikianlah perdebatan antara pemimpin-pemimpin dan pengikut-pengikut sehingga akhirnya mereka mengaku salah dan mengatakan telah tetaplah azab Allah akan menimpa mereka sebagai hukuman terhadap kekufuran mereka.
Keadaan orang-orang kafir yang saling mencela ini pada masa perhimpunan ini sama dengan keadaan orang-orang yang saling bermusuhan di dalam neraka. Ini sebagaimana firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (ingatlah), ketika mereka membuat bantahan di dalam neraka, maka orang-orang yang lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, ‘Sesungguhnya kami dahulu adalah pengikut-pengikutmu, maka dapatkah kamu melepaskan sebahagian (azab) api neraka yang menimpa kami?’ Orang-orang yang menyombongkan diri menjawab, ‘Sesungguhnya kita semua sama-sama di dalam neraka kerana sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan antara hamba-hamba-Nya.’”
Ghafir 40:47-48
Ayat 33
فَإِنَّهُمْ يَوْمَئِذٍ فِى ٱلْعَذَابِ مُشْتَرِكُونَ
Maka sesungguhnya mereka pada hari itu bersama-sama dalam azab.
Ayat 34
إِنَّا كَذَٰلِكَ نَفْعَلُ بِٱلْمُجْرِمِينَ
Sesungguhnya demikianlah Kami lakukan terhadap orang-orang yang berdosa.
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa kedua-dua belah pihak yang menyesatkan dan yang disesatkan akan sama-sama merasai azab secara pasti sebagaimana dahulunya mereka sama-sama mengikuti kesesatan dan kekafiran. Semuanya berada dalam neraka sesuai mengikut tingkatannya.
Allah Swt sememangnya bersifat adil kepada semua hamba-hamba-Nya yang kufur kepada-Nya. Dia mengenakan hukuman kepada mereka sesuai dengan usaha masing-masing, tidak ada sesiapa pun yang dizalimi.
Ayat 35
إِنَّهُمْ كَانُوٓا۟ إِذَا قِيلَ لَهُمْ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا ٱللَّهُ يَسْتَكْبِرُونَ
Sesungguhnya mereka dahulu apabila dikatakan kepada mereka, “La ilaha illallah (Tiada Ilah yang berhak disembah melainkan Allah),” mereka menyombongkan diri.
Seterusnya, Allah Swt menyatakan azab tersebut ditimpakan kepada orang-orang musyrik kerana apabila mereka diseru kepada kalimah syahadah untuk mengesakan-Nya, mereka berpaling dan mengingkarinya dengan menyombongkan diri.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan “La ilaha illallah.” Sesiapa yang mengucapkan “La ilaha illallah,” maka dia telah menjaga harta dan jiwanya daripadaku, kecuali jiwa dan hartanya mendapatkan hukumnya yang mengharuskannya dihukum (seperti membunuh, menghindar diri daripada membayar zakat) dan perhitungan amal mereka ada di sisi Allah.”
(HR. Muslim)
Ayat 36
وَيَقُولُونَ أَئِنَّا لَتَارِكُوٓا۟ ءَالِهَتِنَا لِشَاعِرٍ مَّجْنُونٍ
Dan mereka berkata, “Apakah sesungguhnya kami patut meninggalkan sembahan-sembahan kami kerana seorang penyair gila?”
Orang-orang musyrik juga mengingkari risalah yang dibawa oleh Rasulullah saw dengan menyatakan bahawa baginda adalah seorang penyair gila. Mereka tidak mahu meninggalkan penyembahan berhala dan peninggalan nenek moyang mereka. Sedangkan apa yang mereka pertahankan itu tiada hujjah dan bukti yang jelas, semuanya hanyalah bertaklid buta.
Ayat 37
بَلْ جَآءَ بِٱلْحَقِّ وَصَدَّقَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Sebenarnya dia (Muhammad) telah datang membawa kebenaran dan membenarkan Rasul-rasul (sebelumnya).
Allah Swt menyanggah pernyataan orang-orang musyrik, bahawa kata-kata mereka adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya Rasulullah saw diutuskan-Nya dengan membawa agama tauhid dan disokong dengan bukti-bukti yang terang terhadap semua yang Dia syariatkan. Apa yang disampaikan-Nya kepada baginda adalah sama seperti yang disampaikan kepada para Rasul sebelumnya.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Tidaklah ada yang dikatakan (oleh orang-orang kafir) kepadamu (Muhammad) itu selain apa yang sesungguhnya telah dikatakan kepada Rasul-rasul sebelum kamu……………..”
Fussilat 41:43