Surah 37: As-Saffat (20 – 26)

Keadaan Orang Musyrik pada Hari Pembalasan

Surah 37: As-Saffat (20 – 26)


Ayat 20

وَقَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا هَـٰذَا يَوْمُ ٱلدِّينِ

Dan mereka berkata, “Aduhai celakalah kita!” Inilah Hari Pembalasan.

Ayat 21

هَـٰذَا يَوْمُ ٱلْفَصْلِ ٱلَّذِى كُنتُم بِهِۦ تُكَذِّبُونَ

Inilah hari keputusan yang dahulu kamu dustakan.

Orang-orang kafir yang pada masa di dunia dahulu tidak percaya kepada Hari Kebangkitan, apabila berdepan dengan seksaan pada hari tersebut, mereka mencela diri sendiri kerana dahulu mereka mengingkari dan memperolok-olokkannya.

Kemudian pada ketika itu para malaikat mengatakan kepada mereka, inilah hari diputuskan perbicaraan terhadap orang-orang yang bersalah.

Ayat 22

ٱحْشُرُوا۟ ٱلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ وَأَزْوَٰجَهُمْ وَمَا كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ

(Kepada malaikat diperintahkan), “Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman sejawat mereka dan sembahan-sembahan yang selalu mereka sembah.

Nu’man bin Basyir, Ibnu ‘Abbas, Sa’id ibnu Jubair, ‘Ikrimah, Mujahid, As-Saddi, Abu Saleh, Abul ‘Aliyah dan Zaid bin Aslam ra mengatakan yang dimaksudkan dengan teman sejawat ialah orang-orang yang serupa dan yang sejenis dengan mereka.

Syuraik telah meriwayatkan daripada Samak daripada Nu’man dia berkata dia mendengar ketika ‘Umar bin Al-Khattab ra membaca firman Allah, “Kumpulkanlah orang-orang yang zalim berserta teman sejawat mereka,” ‘Umar ra mengatakan maksudnya ialah orang-orang yang serupa dengan mereka. ‘Umar ra mengatakan lagi bahawa para pelaku zina dikumpulkan bersama-sama para pelaku zina yang lain, para pemakan riba dikumpulkan bersama-sama para pemakan riba yang lain dan para peminum khamar dikumpulkan dengan para peminum khamar yang lain.

Berhala-berhala yang mereka sembah di dunia dahulu juga akan dikumpulkan bersama mereka pada tempat perkumpulan tersebut.

Ayat 23

مِن دُونِ ٱللَّهِ فَٱهْدُوهُمْ إِلَىٰ صِرَٰطِ ٱلْجَحِيمِ

Selain Allah. Maka tunjukkanlah kepada mereka jalan ke neraka.

Ayat 24

وَقِفُوهُمْ ۖ إِنَّهُم مَّسْـُٔولُونَ

Dan tahanlah mereka (di tempat perhentian) kerana sesungguhnya mereka akan ditanya.

Ad-Dahhak daripada Ibnu ‘Abbas ra mengatakan ayat ini bermaksud, Allah Swt memerintahkan agar menghentikan mereka untuk ditanya tentang amal perbuatan dan ucapan-ucapan yang pernah mereka lakukan selama mereka berada di dunia.

‘Abdullah bin Mubarak mengatakan bahawa dia pernah mendengar ‘Uthman bin Zaidah mengatakan bahawa sesungguhnya yang mula-mula ditanyakan kepada mereka adalah teman-teman mereka.

Seterusnya mereka dibawa dan ditunjukkan jalan ke neraka dan diiring mereka ke dalamnya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“…………..Dan Kami akan mengumpulkan mereka pada Hari Kiamat dengan wajah tersungkur, dalam keadaan buta, bisu dan tuli. Tempat kediaman mereka adalah Neraka Jahannam. Setiap kali api Jahannam itu padam, Kami akan tambah lagi nyalaannya bagi mereka.”

Al-Isra’ 17:97

Ayat 25

مَا لَكُمْ لَا تَنَاصَرُونَ

“Mengapa kamu tidak tolong menolong?”

Dalam ayat yang lepas, dinyatakan bahawa soalan pertama yang ditanya kepada orang-orang kafir di tempat mereka dihimpunkan adalah tentang siapakah teman-teman mereka semasa di dunia dahulu. Dalam ayat ini pula, mereka ditanya sebagai bentuk kecaman dan celaan mengapa sekarang mereka tidak saling membantu sebagaimana mereka saling membantu ketika di dunia dahulu.

Ayat 26

بَلْ هُمُ ٱلْيَوْمَ مُسْتَسْلِمُونَ

Bahkan mereka pada hari itu menyerah (kepada keputusan Allah).

Sebenarnya pada hari itu mereka adalah orang-orang yang tunduk menyerah kepada perintah Allah Swt, tidak mampu melawan apatah lagi untuk mengelaknya.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“………….Dan mereka semua datang menghadap-Nya dengan merendahkan diri.”

An-Naml 27:87

“Sungguh rugi orang-orang yang mendustakan pertemuan dengan Allah, sehingga apabila kiamat datang kepada mereka secara tiba-tiba, mereka berkata, “Alangkah besarnya penyesalan kami terhadap kelalaian kami tentang kiamat itu!” Sambil mereka memikul dosa-dosa di atas belakang mereka. Ingatlah, amatlah buruk apa yang mereka pikul itu.”

Al-An’am 6:31