Surah 37: As-Saffat (164 – 166)

Kedudukan Para Malaikat yang Taat Menjalankan Perintah Allah Swt

Surah 37: As-Saffat (164 – 166)


Ayat 164

وَمَا مِنَّآ إِلَّا لَهُۥ مَقَامٌ مَّعْلُومٌ

Dan tidak satu pun di antara kami (malaikat) melainkan masing-masing mempunyai kedudukan tertentu.

Ayat 165

وَإِنَّا لَنَحْنُ ٱلصَّآفُّونَ

Dan sesungguhnya kami benar-benar sentiasa berbaris (bersaf-saf dalam melaksanakan perintah Allah).

Ayat 166

وَإِنَّا لَنَحْنُ ٱلْمُسَبِّحُونَ

Dan sesungguhnya kami benar-benar sentiasa bertasbih (kepada Allah).

Allah Swt membersihkan para malaikat daripada apa yang dinisbahkan oleh orang-orang musyrik yang mengatakan bahawa malaikat itu adalah anak-anak perempuan-Nya. Dia menceritakan tentang ucapan para malaikat:

▪️  Setiap malaikat mempunyai kedudukan yang khusus di langit juga tempat beribadah yang tidak pernah mereka tinggalkan.

Daripada ‘Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Tidak ada satu pun tempat di langit dunia melainkan di situ terdapat malaikat yang sedang sujud dan berdiri (beribadah).”

(HR. At-Tabari)

Daripada Ibnu Mas’ud ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sesungguhnya di antara banyak langit itu ada satu langit yang tidak ada satu ruang sejengkal pun melainkan di situ terdapat dahi malaikat atau kedua-dua kakinya (sedang beribadah kepada Allah).”

(HR. At-Tabari)

▪️  Malaikat sentiasa taat dan tunduk kepada perintah Allah Swt.

▪️  Malaikat sentiasa bertasbih memuji dan mensucikan-Nya daripada segala sifat kekurangan.