Kisah Nabi Ilyas as
Surah 37: As-Saffat (123 – 132)
Ayat 123
وَإِنَّ إِلْيَاسَ لَمِنَ ٱلْمُرْسَلِينَ
Dan sesungguhnya Ilyas benar-benar termasuk salah seorang daripada Rasul-rasul.
Ayat 124
إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِۦٓ أَلَا تَتَّقُونَ
(Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya, “Mengapa kamu tidak bertakwa?
Ayat 125
أَتَدْعُونَ بَعْلًا وَتَذَرُونَ أَحْسَنَ ٱلْخَـٰلِقِينَ
Patutkah kamu menyembah Ba’al dan kamu tinggalkan sebaik-baik Pencipta.
Ayat 126
ٱللَّهَ رَبَّكُمْ وَرَبَّ ءَابَآئِكُمُ ٱلْأَوَّلِينَ
(Iaitu) Allah Rabbmu dan Rabb nenek moyang kamu yang terdahulu?”
Dalam rangkaian ayat-ayat di atas, Allah Swt menceritakan tentang Nabi Ilyas as yang diutuskan kepada kaum Bani Israil yang menyembah patung. Baginda menyeru kaumnya agar mengesakan Allah Swt dan melarang mereka menyembah selain-Nya.
Ba’al بَعلًا dalam ayat 125 adalah nama salah satu berhala yang disembah oleh penduduk suatu bandar di barat Damaskus. Mereka meninggalkan menyembah Allah Swt padahal hanya Dia yang berhak di sembah dan tidak ada sekutu bagi-Nya.
Ayat 127
فَكَذَّبُوهُ فَإِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ
Maka mereka mendustakannya (Ilyas), oleh itu mereka akan diseret (ke neraka).
Allah Swt menyatakan kaum Nabi Ilyas as yang mendustakan baginda dan mengingkari-Nya akan mendapat azab di akhirat kelak. Mereka pasti akan dimasukkan ke dalam neraka.
Ayat 128
إِلَّا عِبَادَ ٱللَّهِ ٱلْمُخْلَصِينَ
Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan (daripada dosa).
Manakala kaum Nabi Ilyas as yang beriman akan terselamat daripada azab Allah Swt.
Ayat 129
وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ
Dan Kami abadikan untuk (Ilyas pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.
Allah Swt menjadikan nama baik Nabi Ilyas as abadi dalam ingatan umat manusia yang datang kemudian. Nabi Ilyas as tidak disebut melainkan dalam hal kebaikannya sahaja.
Ayat 130
سَلَـٰمٌ عَلَىٰٓ إِلْ يَاسِينَ
(Iaitu), “Kesejahteraan dilimpahkan kepada Ilyas.”
Kesejahteraan daripada Allah Swt kepada Nabi Ilyas as kerana kesabaran dan ketabahan baginda menyampaikan agama Tauhid kepada kaumnya.
Ayat 131
إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.
Sebagaimana Allah Swt membalas dan menyelamatkan Nabi Ilyas as daripada kesulitan dan ujian, begitu jugalah Dia akan membalas setiap orang yang beriman kepada-Nya dan beramal soleh.
Ayat 132
إِنَّهُۥ مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya dia (Ilyas) termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.
Allah Swt memuji Nabi Ilyas as kerana keikhlasan dan ihsannya baginda dalam beramal, sebagaimana firman-Nya:
“Dan Zakaria, Yahya, ‘Isa dan Ilyas. Semuanya termasuk orang-orang yang soleh.”
Al-An’am 6:85