Nikmat-nikmat Allah Swt kepada Nabi Musa as dan Nabi Harun as
Surah 37: As-Saffat (114 – 122)
Ayat 114
وَلَقَدْ مَنَنَّا عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ
Dan sesungguhnya Kami telah melimpahkan nikmat kepada Musa dan Harun.
Ayat 115
وَنَجَّيْنَـٰهُمَا وَقَوْمَهُمَا مِنَ ٱلْكَرْبِ ٱلْعَظِيمِ
Dan Kami selamatkan kedua-duanya dan kaumnya daripada bencana yang besar.
Nabi Musa as dan Nabi Harun as dikurniakan kenabian dan pelbagai kenikmatan yang lain, antaranya:
▪️ Terselamat daripada penindasan Firaun dan kaumnya.
Dahulu Firaun dan kaumnya membunuh anak-anak lelaki dan membiarkan hidup anak-anak perempuan. Kaum lelaki dipaksa melakukan kerja yang berat, kasar dan sebagai buruh manakala kaum wanita hidup dalam kehinaan. Apa yang Firaun dan pengikut-pengikutnya lakukan kepada kaum Bani Israil ini adalah suatu perkara yang sangat keji dan sangat tidak terhormat.
Ayat 116
وَنَصَرْنَـٰهُمْ فَكَانُوا۟ هُمُ ٱلْغَـٰلِبِينَ
Dan Kami tolong mereka, sehingga jadilah mereka orang-orang yang menang.
▪️ Memegang kekuasaan negara.
Setelah mengalami pelbagai penindasan daripada Firaun dan kaumnya, Allah Swt memberikan pertolongan kepada mereka. Mereka mendapat kemenangan dan berhasil mendapat kembali tanah, harta serta apa sahaja yang telah dikumpulkan sepanjang hidup mereka. Maka jadilah mereka pemerintah yang berkedudukan tinggi dan berkuasa.
Ayat 117
وَءَاتَيْنَـٰهُمَا ٱلْكِتَـٰبَ ٱلْمُسْتَبِينَ
Dan Kami berikan kepada kedua-duanya kitab yang sangat jelas.
▪️ Menerima kitab.
Allah Swt menurunkan kepada kedua-dua Nabi ini kitab Taurat yang jelas kandungannya untuk dijadikan panduan kepada manusia dalam pelbagai urusan dunia dan akhirat.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Dan sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Musa dan Harun, Al-Furqan (kitab Taurat) dan penerangan……….”
Al-Anbiya’ 21:48
Ayat 118
وَهَدَيْنَـٰهُمَا ٱلصِّرَٰطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ
Dan Kami tunjukkan kedua-duanya jalan yang lurus.
▪️ Bimbingan kepada kebenaran.
Allah Swt membimbing mereka ke jalan kebenaran, ketetapan dalam ucapan dan perbuatan mereka.
Ayat 119
وَتَرَكْنَا عَلَيْهِمَا فِى ٱلْـَٔاخِرِينَ
Dan Kami abadikan untuk kedua-duanya (pujian) di kalangan orang-orang yang datang kemudian.
▪️ Abadikan pujian oleh umat terkemudian.
Maksud ayat ini adalah nama baik mereka berdua kekal dikenang oleh generasi akan datang.
Ayat 120
سَلَـٰمٌ عَلَىٰ مُوسَىٰ وَهَـٰرُونَ
(Iaitu), “Kesejahteraan dilimpahkan kepada Musa dan Harun.”
▪️ Salam kesejahteraan daripada Allah Swt sebagai penghormatan dan anugerah bagi hamba-hamba-Nya yang taat dan beriman.
Ayat 121
إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِى ٱلْمُحْسِنِينَ
Demikianlah Kami memberikan balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.
Ayat 122
إِنَّهُمَا مِنْ عِبَادِنَا ٱلْمُؤْمِنِينَ
Sesungguhnya, mereka termasuk hamba-hamba Kami yang beriman.
Kemudian Allah Swt menyatakan, demikianlah balasan daripada-Nya kepada mereka yang beriman dengan sebenar-benar keimanan.