Dalil-dalil Adanya Kehidupan Setelah Mati
Surah 37: As-Saffat (11 – 19)
Ayat 11
فَٱسْتَفْتِهِمْ أَهُمْ أَشَدُّ خَلْقًا أَم مَّنْ خَلَقْنَآ ۚ إِنَّا خَلَقْنَـٰهُم مِّن طِينٍ لَّازِبٍ
Maka tanyakanlah kepada mereka (kaum musyrik Mekah), “Apakah mereka yang lebih kukuh kejadiannya atau apa yang telah Kami ciptakan itu?” Sesungguhnya Kami telah menciptakan mereka daripada tanah liat.
Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw bertanya kepada orang-orang kafir musyrik manakah yang lebih sukar antara penciptaan mereka dengan penciptaan langit, bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya termasuk para malaikat, syaitan-syaitan dan makhluk-makhluk yang lain yang lebih agung. Pertanyaan ini merupakan celaan dan kecaman kerana mereka mengakui bahawa penciptaan makhluk-makhluk tersebut lebih besar jika dibandingkan dengan penciptaan diri mereka sendiri.
Kemudian Allah Swt menjelaskan bahawa manusia pertama diciptakan-Nya adalah daripada tanah liat iaitu Nabi Adam as. Jika mereka diciptakan daripada sesuatu yang lemah, bagaimana mereka menganggap membangkitkan kembali adalah sesuatu yang tidak mungkin.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya penciptaan langit dan bumi itu lebih besar daripada penciptaan manusia akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Ghafir 40:57
“Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat kering dan lumpur hitam yang diberi bentuk.”
Al-Hijr 15:26
Ayat 12
بَلْ عَجِبْتَ وَيَسْخَرُونَ
Bahkan engkau (Muhammad) menjadi hairan (terhadap keingkaran mereka) dan mereka menghina(mu).
Ayat 13
وَإِذَا ذُكِّرُوا۟ لَا يَذْكُرُونَ
Dan apabila mereka diberi peringatan, mereka tidak mengendahkannya.
Ayat 14
وَإِذَا رَأَوْا۟ ءَايَةً يَسْتَسْخِرُونَ
Dan apabila mereka melihat suatu tanda (kebesaran) Allah, mereka permain-mainkan.
Kemudian Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw akan terkejut dengan sikap orang-orang musyrik yang mengingkari adanya Hari Pembalasan kerana sikap angkuh mereka.
Orang-orang beriman benar-benar meyakini penciptaan dan kekuasaan Allah Swt serta jasad-jasad mereka akan dihidupkan semula setelah hancur dalam tanah. Sedangkan orang-orang musyrik pula, apabila mereka mendengar bukti-bukti yang telah disampaikan oleh baginda saw tentang kebangkitan setelah mati, mereka mengejek, mencela dan mentertawakannya.
Mereka mengingkari segala peringatan dan tidak mengambil manfaat daripadanya kerana kesombongan, keangkuhan dan kekerasan hati mereka.
Ayat 15
وَقَالُوٓا۟ إِنْ هَـٰذَآ إِلَّا سِحْرٌ مُّبِينٌ
Dan mereka berkata, “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata.
Ayat 16
أَءِذَا مِتْنَا وَكُنَّا تُرَابًا وَعِظَـٰمًا أَءِنَّا لَمَبْعُوثُونَ
Apakah apabila kami telah mati dan telah menjadi tanah serta menjadi tulang belulang, apakah benar-benar kami akan dibangkitkan (kembali)?
Ayat 17
أَوَءَابَآؤُنَا ٱلْأَوَّلُونَ
Dan apakah nenek moyang kami yang terdahulu (akan dibangkitkan juga)?”
Orang-orang kafir musyrik mengatakan apa yang dibawa oleh Rasulullah saw hanyalah sihir yang nyata yang tidak perlu diterima.
Kemudian mereka menyatakan dengan mengejek bahawa mustahil semua manusia akan dibangkitkan setelah menjadi tanah termasuk nenek moyang mereka yang telah lama meninggal sejak dahulu.
Ayat 18
قُلْ نَعَمْ وَأَنتُمْ دَٰخِرُونَ
Katakanlah (Muhammad), “Ya, dan kamu akan terhina.”
Lalu Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw menjawab pertanyaan dan ejekan mereka dengan mengatakan bahawa sememangnya mereka akan dibangkitkan kembali setelah menjadi tanah. Ketika itu mereka akan dibangkitkan dalam keadaan terhina lagi tercela disebabkan kekufuran mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dan mereka berkata, ‘Apabila kami sudah mati menjadi tanah dan tulang belulang, apakah kami akan benar-benar dibangkitkan kembali? Apakah nenek moyang kami yang terdahulu (dibangkitkan juga)?’ Katakanlah, ‘(Ya), sesungguhnya orang-orang yang terdahulu dan orang-orang yang kemudian, pasti semua akan dikumpulkan pada waktu tertentu, pada hari yang sudah termaklum.’”
Al-Waqi’ah 56:47-50
“(Antara sebab-sebab kufur) orang-orang yang kafir (ialah kerana mereka) mengatakan bahawa mereka sekali-kali tidak akan dibangkitkan. Katakanlah, “Tidak demikian, demi Rabbku, benar-benar kamu akan dibangkitkan, kemudian kamu akan diberitahu tentang segala yang telah kamu kerjakan.” Yang demikian itu adalah sangat mudah bagi Allah.”
At-Taghabun 64:7
Ayat 19
فَإِنَّمَا هِىَ زَجْرَةٌ وَٰحِدَةٌ فَإِذَا هُمْ يَنظُرُونَ
Maka sesungguhnya kebangkitan itu hanya dengan satu teriakan sahaja, maka dengan serta merta mereka meIihatnya.
Allah Swt mengatakan bahawa perkara itu amatlah mudah bagi-Nya, iaitu dengan hanya sekali tiupan sangkakala sahaja, maka semua makhluk-Nya yang telah mati dan hancur akan keluar dari kubur masing-masing dan di hadapkan kepada-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“……………Teriakan itu hanya sekali sahaja, maka seketika itu mereka semua dihadapkan kepada Kami (untuk dihisab). Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak diberikan balasan, kecuali dengan apa yang telah kamu kerjakan.”
Yasin 36:53-54
“Kemudian setelah itu, sesungguhnya kamu pasti akan mati (pada suatu hari nanti). Kemudian, sesungguhnya kamu akan dibangkitkan (dari kuburmu) pada Hari Kiamat.”
Al-Mu’minun 23:15-16