Sumpah Allah Swt yang Menggunakan Barisan Para Malaikat
Surah 37: As-Saffat (1 – 5)
Ayat 1
وَٱلصَّـٰٓفَّـٰتِ صَفًّا
Demi (rombongan) yang bersaf-saf dengan sebenar-benarnya.
Allah Swt bersumpah demi malaikat yang berbaris bersaf-saf untuk beribadat atau mengembangkan sayap-sayap mereka di langit menunggu perintah-Nya dalam menjalankan pelbagai tugas.
Daripada Hudzaifah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Kita dilebihkan daripada umat-umat yang lain dengan tiga perkara: (Pertama), saf-saf (barisan) kita dijadikan seperti saf-saf para malaikat. (Kedua), seluruh tanah dijadikan sebagai masjid bagi kita dan (ketiga), debunya dijadikan alat bersuci bagi kita apabila kita tidak menemukan air.”
(HR. Muslim)
Daripada Jabir bin Samurah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda:
“Hendaklah kalian membuat barisan sebagaimana para malaikat bersaf-saf di hadapan Rabb mereka.” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah para malaikat bersaf-saf di hadapan Rabb mereka?” Baginda bersabda, “Mereka menyempurnakan saf yang pertama, (kemudian yang setelahnya) dan bersaf dengan sangat rapi (tidak meninggalkan ruang antara mereka).”
(HR. Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Ayat 2
فَٱلزَّٰجِرَٰتِ زَجْرًا
Dan demi (rombongan) yang melarang dengan sebenar-benarnya (daripada perbuatan-perbuatan maksiat).
Antara tugas malaikat adalah mengarak awan menuju tempat tertentu sesuai dengan arahan atau menghalang manusia daripada pelbagai kemaksiatan dengan mengilhamkan kebaikan dan mengherdik syaitan daripada godaan dan penyesatannya.
Ayat 3
فَٱلتَّـٰلِيَـٰتِ ذِكْرًا
Demi (rombongan) yang membacakan pelajaran.
Selain itu malaikat ini juga membacakan ayat-ayat Allah Swt kepada para Nabi.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu, untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan.”
Al-Mursalat 77:5-6
Ayat 1-3 merupakan sumpah Allah Swt dengan menggunakan ciptaan-Nya iaitu para malaikat yang berbaris secara teratur dalam pengabdian mereka kepada-Nya. Dia mempunyai hak untuk bersumpah dengan sebahagian daripada makhluk-makhluk ciptaan-Nya kerana Dia berhak dengan apa sahaja yang Dia kehendaki tetapi hamba-hamba-Nya dilarang bersumpah dengan selain-Nya.
Walau bagaimanapun adalah dilarang berlebihan dalam bersumpah kecuali jika ada keperluan atau untuk tujuan-tujuan tertentu yang diperintahkan oleh syarak.
Ayat 4
إِنَّ إِلَـٰهَكُمْ لَوَٰحِدٌ
Sesungguhnya Rabbmu benar-benar Esa.
Ayat 5
رَّبُّ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَمَا بَيْنَهُمَا وَرَبُّ ٱلْمَشَـٰرِقِ
Rabb langit dan bumi, dan apa yang berada di antara kedua-duanya dan Rabb tempat-tempat terbitnya matahari.
Inilah isi sumpah Allah Swt yang menggunakan barisan para malaikat, bahawa Dia-lah Rabb yang hanya kepada-Nya wajib diibadahi. Dia-lah Rabb Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya iaitu Dia-lah Pencipta, Pemilik langit dan bumi serta semua makhluk yang ada di antara kedua-duanya termasuk tempat terbit dan tempat terbenamnya matahari.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Maka Aku bersumpah demi Rabb yang mengatur tempat terbit dan terbenam (matahari, bulan dan bintang) sesungguhnya, Kami pasti mampu.”
Al-Ma’arij 70:40
“Rabb (yang memelihara) dua timur (tempat terbit matahari) dan Rabb yang memelihara dua barat (tempat terbenam matahari).”
Ar-Rahman 55:17