Kehidupan Penghuni Syurga
Surah 36: Yasin (55 – 58)
Ayat 55
إِنَّ أَصْحَـٰبَ ٱلْجَنَّةِ ٱلْيَوْمَ فِى شُغُلٍ فَـٰكِهُونَ
Sesungguhnya penghuni syurga pada hari itu bersenang-senang dalam kesibukan (mereka).
Dalam ayat 55-58 ini, Allah Swt menerangkan tentang balasan yang diterima oleh golongan orang-orang yang mempunyai amalan yang baik. Mereka ini menjadi penghuni syurga.
Penghuni syurga ini akan menikmati pelbagai kesenangan dan kenikmatan yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga dan terlintas dalam hati mereka.
Mereka berkeadaan sibuk bersenang-senang menikmati pelbagai kenikmatan syurga sehingga mereka tidak mempedulikan seksaan yang dideritai oleh penghuni neraka.
Ayat 56
هُمْ وَأَزْوَٰجُهُمْ فِى ظِلَـٰلٍ عَلَى ٱلْأَرَآئِكِ مُتَّكِـُٔونَ
Mereka dan pasangan-pasangan mereka berada dalam tempat yang teduh, bersandar di atas pelamin.
Mereka juga bersenang-senang dan bergembira dengan pasangan masing-masing duduk di atas pelamin yang lembut dan empuk, di bawah teduhan pepohonan yang rendang yang merupakan impian setiap manusia.
Ayat 57
لَهُمْ فِيهَا فَـٰكِهَةٌ وَلَهُم مَّا يَدَّعُونَ
Di dalam syurga itu mereka mendapat buah-buahan dan mendapat apa sahaja yang mereka inginkan.
Selain kenikmatan yang disebutkan dalam ayat-ayat sebelum ini, penghuni-penghuni syurga ini juga dihidangkan dengan pelbagai jenis buah-buahan yang mereka idamkan. Mereka akan mendapat apa sahaja yang mereka inginkan dengan begitu mudah.
Ayat 58
سَلَـٰمٌ قَوْلًا مِّن رَّبٍّۢ رَّحِيمٍ
(Kepada mereka dikatakan), “Salam,” sebagai ucapan penghargaan daripada Rabb Yang Maha Penyayang.
Ketika di dalam syurga, kedengaran oleh mereka ucapan salam (selamat sejahtera) yang datang daripada Allah Swt dengan perantaraan malaikat sebagai penghormatan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“………..sedang malaikat-malaikat masuk ke tempat-tempat mereka dari semua pintu, (sambil mengucapkan), “Selamat sejahtera ke atas kamu berpanjangan disebabkan kesabaran kamu.” Maka alangkah baiknya tempat kesudahan itu.”
Ar-Ra’d 13:23-24
“Ucapan penghormatan kepada mereka (orang-orang mukmin itu) pada hari mereka menemui-Nya ialah, “Salam,” dan Dia menyediakan pahala yang mulia bagi mereka.”
Al-Ahzab 33:44