Apabila Berlakunya Hari Kebangkitan
Surah 36: Yasin (48 – 54)
Ayat 48
وَيَقُولُونَ مَتَىٰ هَـٰذَا ٱلْوَعْدُ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ
Dan mereka (orang-orang kafir) berkata, “Bilakah (terjadinya) janji ini (Hari Berbangkit) jika kamu adalah orang-orang yang benar?”
Orang-orang musyrik menentang adanya Hari Kebangkitan. Mereka bertanyakan dengan nada mengejek dan mencemuh orang-orang mukmin bilakah tibanya ancaman ke atas diri mereka sekiranya apa yang dijanjikan oleh Rasulullah saw dan orang-orang mukmin itu benar.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan……….”
Asy-Syura 42:18
Ayat 49
مَا يَنظُرُونَ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً تَأْخُذُهُمْ وَهُمْ يَخِصِّمُونَ
Mereka tidak menunggu melainkan satu teriakan sahaja yang akan membinasakan mereka ketika mereka sedang bertengkar.
Lalu Allah Swt menjawab ucapan mereka itu dengan menyatakan bahawa mereka tidaklah menunggu azab dan datangnya kiamat melainkan hanya dengan sekali tiupan sangkakala sahaja, mereka akan mati ketika itu juga.
Teriakan yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah tiupan sangkakala kali pertama yang menghancurkan bumi ini. Ketika itu mereka berada di pasar-pasar dan di tempat-tempat pekerjaan masing-masing, saling bertengkar dan berselisih pendapat sebagaimana adat kebiasaan mereka.
Ayat 50
فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَآ إِلَىٰٓ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ
Sehingga mereka tidak berkuasa membuat suatu wasiat pun dan tidak (juga) dapat kembali kepada keluarganya.
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan cepatnya kematian mereka dan kemusnahan bumi ini sehinggakan sebahagian mereka tidak sempat membuat wasiat kepada yang lain tentang hak dan hutang mereka.
Ayat 51
وَنُفِخَ فِى ٱلصُّورِ فَإِذَا هُم مِّنَ ٱلْأَجْدَاثِ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يَنسِلُونَ
Dan ditiuplah sangkalala, maka tiba-tiba mereka keluar dengan segera dari kubur mereka (menuju) kepada Rabb mereka.
Kemudian Allah Swt menyatakan tentang tiupan sangkakala kali kedua sebagai tanda datangnya Hari Pembalasan dan membangkitkan manusia dari kubur. Ketika itu seluruh makhluk keluar dari kubur masing-masing dan bergegas menghadap Rabb mereka untuk diberikan pengadilan dan pembalasan.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Iaitu hari ketika mereka keluar dari kubur dengan cepat seakan-akan mereka berlari menuju kepada berhala-berhala (sewaktu di dunia).”
Al-Ma’arij 70:43
Ayat 52
قَالُوا۟ يَـٰوَيْلَنَا مَنۢ بَعَثَنَا مِن مَّرْقَدِنَا ۜ ۗ هَـٰذَا مَا وَعَدَ ٱلرَّحْمَـٰنُ وَصَدَقَ ٱلْمُرْسَلُونَ
Mereka berkata, “Aduhai celakalah kami, siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?” Inilah yang dijanjikan (Rabb) yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul-(Nya).
Allah Swt menggambarkan kengerian dan ketakutan yang menyelimuti mereka setelah dibangkitkan dari kubur. Mereka mencela diri mereka sendiri tatkala dibangkitkan dari kubur kerana di dunia dahulu mereka menganggap tidak akan dibangkitkan kembali. Inilah ucapan mereka ketika menyedari dan mengakui bahawa mereka dibangkitkan kembali selepas kematian.
Sesungguhnya inilah yang dijanjikan oleh Allah Swt Yang Maha Benar dan benarlah apa yang disampaikan oleh para Rasul-Nya.
Ayat 53
إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً فَإِذَا هُمْ جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ
Teriakan itu hanya sekali sahaja, maka seketika itu mereka semua dihadapkan kepada Kami (untuk dihisab).
Kemudian Allah Swt menjelaskan hanya dengan sekali tiupan sangkakala, secara tiba-tiba manusia hidup dan dikumpulkan di hadapan-Nya untuk dihisab dan diberikan pembalasan.
Firman-firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Pengembalian itu hanyalah dengan sekali tiupan sahaja. Maka serta merta mereka hidup kembali di muka bumi yang putih dan rata (baru).”
An-Nazi’at 79:13-14
“………Kejadian kiamat itu, hanya seperti sekelip mata atau lebih cepat (lagi)…………”
An-Nahl 16:77
“Iaitu pada hari (ketika) Dia memanggilmu, dan kamu mematuhi-Nya sambil memuji-Nya dan kamu menyangka hanya sebentar sahaja berada (di dalam kubur).”
Al-Isra’ 17:52
Ayat 54
فَٱلْيَوْمَ لَا تُظْلَمُ نَفْسٌ شَيْـًٔا وَلَا تُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ
Maka pada hari itu seseorang tidak akan dirugikan sedikit pun dan kamu tidak diberikan balasan, kecuali sesuai dengan apa yang telah kamu kerjakan.
Allah Swt menyatakan bahawa pada Hari Kiamat kelak, ketika pengadilan itu dijalankan, amalan seseorang tidak akan dikurangkan walaupun sedikit dan semuanya akan dibalas bersesuaian dengan amalan mereka sama ada baik ataupun buruk.
Firman-firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Kami akan memasang timbangan yang tepat pada Hari Kiamat, maka tidak seorang pun dirugikan walau sedikit, sekali pun hanya seberat biji sawi pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.”
Al-Anbiya’ 21:47
“(Ingatlah) pada hari (ketika) setiap jiwa mendapat (balasan) atas kebaikan yang telah dilakukan dan dihadapkan kepada mereka, begitu (juga balasan atas) kejahatan yang telah dilakukan. Dia menginginkan sekiranya ada jarak yang jauh antaranya dengan (hari) itu……………”
Ali ‘Imran 3:30