Surah 36: Yasin (13 – 32)

Kisah 3 Rasul dan Habib an-Najjar

Surah 36: Yasin (13 – 32)


Ayat 13

وَٱضْرِبْ لَهُم مَّثَلًا أَصْحَـٰبَ ٱلْقَرْيَةِ إِذْ جَآءَهَا ٱلْمُرْسَلُونَ

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

Ayat 14

إِذْ أَرْسَلْنَآ إِلَيْهِمُ ٱثْنَيْنِ فَكَذَّبُوهُمَا فَعَزَّزْنَا بِثَالِثٍ فَقَالُوٓا۟ إِنَّآ إِلَيْكُم مُّرْسَلُونَ

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: `Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu’.

Pada ayat-ayat ini, Allah Swt memerintahkan Nabi Muhammad saw menyampaikan sebuah perumpamaan kepada kaumnya yang mendustakan baginda. 

Perumpamaan itu adalah penduduk di sebuah negeri, tatkala Allah Swt mengutuskan dua orang utusan-Nya kepada mereka untuk berdakwah kepada mereka agar beriman kepada-Nya dan meninggalkan ibadah kepada selain-Nya, maka penduduk negeri itu mendustakan kedua-dua utusan tersebut. 

Kemudian Allah Swt menguatkan kedua-duanya dengan utusan ketiga, maka ketiga-tiga utusan itu menyampaikan kepada penduduk negeri tersebut bahawa sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang diutus oleh Rabb yang telah menciptakan mereka. Mereka juga menyampaikan seruan Allah Swt yang memerintahkan mereka agar hanya semata-mata menyembah-Nya dan tidak menyekutukan-Nya. 

Ayat 15

قَالُوا۟ مَآ أَنتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِّثْلُنَا وَمَآ أَنزَلَ ٱلرَّحْمَـٰنُ مِن شَىْءٍ إِنْ أَنتُمْ إِلَّا تَكْذِبُونَ

Penduduk bandar itu menjawab: “Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang agama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta”.

Penduduk negeri itu menolak dan mengingkari ketiga-tiga utusan tersebut dengan menggunakan hujjah yang sama seperti yang digunakan oleh umat terdahulu iaitu ketiga-tiga utusan tersebut hanyalah manusia biasa seperti mereka. Mereka mengatakan para utusan tersebut tidak mempunyai kelebihan dan keistimewaan daripada mereka. Selain itu mereka juga mengatakan bahawa para utusan itu hanya mengaku sebagai utusan-utusan-Nya dan mereka hanyalah pendusta. 

Allah Swt juga berfirman dalam ayat-ayat yang lain: 

“Yang demikian itu adalah kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka (membawa) keterangan-keterangan lalu mereka berkata, ‘Apakah manusia yang akan memberi petunjuk kepada kami?’ Lalu mereka ingkar dan berpaling, padahal Allah tidak memerlukan mereka. Dan Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.”  

At-Taghabun 64:6 

“………..Mereka berkata, ‘Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga. Kamu menghendaki untuk menghalang-halang (memesongkan) kami daripada apa yang selalu disembah oleh nenek moyang kami, oleh itu, datangkanlah kepada kami bukti yang nyata.’”  

Ibrahim 14:10 

“Dan tidak ada sesuatu yang menghalang manusia untuk beriman tatkala datang petunjuk kepadanya, kecuali perkataan mereka, ‘Adakah Allah mengutus seorang manusia menjadi Rasul?’”  

Al-Isra’ 17:94 

Ayat 16

قَالُوا۟ رَبُّنَا يَعْلَمُ إِنَّآ إِلَيْكُمْ لَمُرْسَلُونَ

Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

Ayat 17

وَمَا عَلَيْنَآ إِلَّا ٱلْبَلَـٰغُ ٱلْمُبِينُ

“Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintah-Nya dengan cara yang jelas nyata”.

Lalu utusan itu menjawab Allah Swt Maha Mengetahui bahawa mereka adalah utusan-utusan-Nya dan tugas mereka hanyalah menyampaikan perintah-Nya dengan jelas. 

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain: 

“Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan (amanah Allah), dan Allah mengetahui apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” 

Al-Ma’idah 5:99 

“(Iaitu) orang-orang yang menyampaikan risalah-risalah Allah, mereka takut kepada-Nya dan mereka tiada berasa takut kepada sesiapa (pun) selain Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Pembuat Perhitungan.” 

Al-Ahzab 33:39 

Ayat 18

قَالُوٓا۟ إِنَّا تَطَيَّرْنَا بِكُمْ ۖ لَئِن لَّمْ تَنتَهُوا۟ لَنَرْجُمَنَّكُمْ وَلَيَمَسَّنَّكُم مِّنَّا عَذَابٌ أَلِيمٌ

Penduduk bandar itu berkata pula: “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”.

Kemudian penduduk negeri itu mengatakan bahawa mereka bernasib malang disebabkan oleh para utusan tersebut. Lalu mereka mengancam dan mengugut untuk memberikan seksaan yang pedih kepada para utusan tersebut sekiranya para utusan itu masih meneruskan dakwah mereka. 

Ayat 19

قَالُوا۟ طَـٰٓئِرُكُم مَّعَكُمْ ۚ أَئِن ذُكِّرْتُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ

Rasul-rasul itu menjawab: “Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau”.

Lalu para utusan mengatakan bahawa kesialan dan nasib malang itu adalah kerana perbuatan penduduk negeri itu sendiri yang berada dalam kesesatan, menentang kebenaran dan melampaui batas. Semua ini bukanlah disebabkan para utusan tersebut memberi peringatan kepada mereka agar mengesakan  Allah Swt. 

Firman-firman Allah Swt yang lain: 

“Kemudian apabila kebaikan (kemakmuran) datang kepada mereka, mereka berkata, ‘Ini adalah kerana (usaha) kami. Dan jika mereka ditimpa kesusahan, mereka lemparkan akibat malang itu kepada Musa dan pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya nasib mereka di tangan Allah, namun kebanyakan daripada mereka tidak mengetahuinya.’” 

Al-A’raf 7:131 

“……….dan jika mereka mendapat kebaikan, mereka mengatakan, ‘Ini dari sisi Allah,’ dan jika mereka ditimpa sesuatu keburukan mereka mengatakan, ‘Ini daripada engkau (Muhammad).’ Katakanlah, ‘Semuanya (datang) dari sisi Allah.’ Maka mengapa orang-orang itu (orang-orang munafik) hampir-hampir tidak memahami pembicaraan (sedikit pun)?” 

An-Nisa’ 4:78 

“Mereka menjawab, ‘Kami mendapat nasib yang malang, disebabkan oleh kamu dan orang-orang yang bersama denganmu.’ (Saleh) berkata, ‘Nasibmu ada pada Allah, (bukan kami yang menjadi sebab), tetapi kamu adalah kaum yang sedang diuji.’” 

An-Naml 27:47 

Ayat 20

وَجَآءَ مِنْ أَقْصَا ٱلْمَدِينَةِ رَجُلٌ يَسْعَىٰ قَالَ يَـٰقَوْمِ ٱتَّبِعُوا۟ ٱلْمُرْسَلِينَ

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu.”

Ayat 21

ٱتَّبِعُوا۟ مَن لَّا يَسْـَٔلُكُمْ أَجْرًا وَهُم مُّهْتَدُونَ

“Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk”.

Lalu datang seorang lelaki dari hujung bandar dalam keadaan bergegas sambil menyeru penduduk negeri agar mengikuti dan menerima dakwah para utusan tersebut. Dia mengatakan bahawa dirinya menginginkan kebaikan bagi penduduk negeri itu seperti yang dia inginkan untuk dirinya sendiri. 

Menurut para mufasir, lelaki tersebut adalah Habib An-Najjar, seorang lelaki yang beriman dan mengesakan Allah Swt yang datang untuk menasihatkan kaumnya. 

Ayat 22

وَمَا لِىَ لَآ أَعْبُدُ ٱلَّذِى فَطَرَنِى وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ

Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima agama mereka? Maka jawabnya): “Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepada-Nya-lah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

Kemudian lelaki itu menegaskan tiada alasan baginya untuk tidak menyembah Allah Swt yang telah mencipta dirinya dan dia juga menjelaskan bahawa mereka semua akan dikembalikan kepada-Nya untuk menerima balasan atas segala amalan ketika di dunia dahulu. 

Hal ini mengandungi motivasi yang boleh memberi kesedaran dan keinsafan untuk beribadat dan menyembah hanya semata-mata kepada Allah Swt dan takut terhadap hukuman-Nya. 

Ayat 23

ءَأَتَّخِذُ مِن دُونِهِۦٓ ءَالِهَةً إِن يُرِدْنِ ٱلرَّحْمَـٰنُ بِضُرٍّۢ لَّا تُغْنِ عَنِّى شَفَـٰعَتُهُمْ شَيْـًٔا وَلَا يُنقِذُونِ

“Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

Seterusnya lelaki itu mempertegas kebenaran dan kelurusan manhajnya sambil mengecam dan mencerca kaumnya atas perilaku mereka yang menyembah berhala. Lelaki itu mengatakan bahawa dia sekali-kali tidak akan pernah mengambil ilah-ilah selain Allah Swt. Ini kerana segala ilah-ilah palsu tidak akan dapat mencegah apabila Allah Swt berkehendak menimpakan sesuatu kepada dirinya dan juga tidak dapat menyelamatkannya daripada musibah yang dia alami. 

Firman Allah swt dalam surah yang lain: 

“Jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia……….” 

Yunus 10:107 

Ayat 24

إِنِّىٓ إِذًا لَّفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

“Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

Lelaki itu menyatakan bahawa sekiranya dia mengambil berhala-berhala tersebut sebagai ilah-ilah selain Allah Swt, maka ini bererti dia telah benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata. Kata-kata ini juga merupakan sindiran kepada penduduk desa tersebut. 

Ayat 25

إِنِّىٓ ءَامَنتُ بِرَبِّكُمْ فَٱسْمَعُونِ

“Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)”,.

Kemudian lelaki itu mengumumkan keimanannya secara terbuka kepada para utusan dan penduduk desa itu tanpa ada keraguan dan kebimbangan sedikit pun.  

Menurut riwayat, lelaki ini dibunuh oleh kaumnya setelah dia memberikan nasihat agar mereka mengikuti ajaran Rasul-rasul yang telah diutuskan. Dia sangat mengharapkan agar dapat memberi petunjuk kepada mereka. 

Ayat 26

قِيلَ ٱدْخُلِ ٱلْجَنَّةَ ۖ قَالَ يَـٰلَيْتَ قَوْمِى يَعْلَمُونَ

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: “Masuklah ke dalam Syurga”. Ia berkata; “Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui“.

Diriwayatkan juga ketika lelaki itu dalam sakaratul maut, malaikat turun memberitahunya bahawa Allah Swt telah mengampuni dosa-dosanya, juga ditunjukkan kepadanya kenikmatan syurga dan dia akan dimasukkan ke dalamnya. 

Ayat 27

بِمَا غَفَرَ لِى رَبِّى وَجَعَلَنِى مِنَ ٱلْمُكْرَمِينَ

“Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan”.

Lelaki ini berharap agar kaumnya mengetahui apa yang terjadi kepada dirinya bahawa dengan beriman dan mengesakan Allah Swt, dosa-dosanya telah dihapuskan dan menjadikannya di antara orang-orang yang dimuliakan. Ini tentu akan mendorong kaumnya untuk mengikuti para utusan. Namun mereka tidak mengetahuinya. 

Ayat 28

وَمَآ أَنزَلْنَا عَلَىٰ قَوْمِهِۦ مِنۢ بَعْدِهِۦ مِن جُندٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَمَا كُنَّا مُنزِلِينَ

Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

Ayat 29

إِن كَانَتْ إِلَّا صَيْحَةً وَٰحِدَةً فَإِذَا هُمْ خَـٰمِدُونَ

(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak perlu menurunkan pasukan dari langit berupa para malaikat untuk membalas perbuatan orang-orang yang mendustakan para Rasul dan membunuh Habib bin An-Najjar. Sebaliknya cukuplah dengan cara yang lebih mudah iaitu dengan satu pekikan sahaja. 

Ayat 30

يَـٰحَسْرَةً عَلَى ٱلْعِبَادِ ۚ مَا يَأْتِيهِم مِّن رَّسُولٍ إِلَّا كَانُوا۟ بِهِۦ يَسْتَهْزِءُونَ

Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

Kemudian Allah Swt menyatakan betapa besarnya penyesalan bagi hamba-hamba-Nya kerana mencemuh, memperolok-olokkan dan mendustakan para Rasul yang menyeru kepada tauhid, kebenaran dan kebaikan yang didatangkan kepada mereka. 

Firman Allah Swt dalam surah yang lain: 

“…………..Pada hari datangnya kebenaran pemberitaan Al-Quran itu, berkatalah orang-orang yang melupakannya sebelum itu, ‘Sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Rabb kami membawa kebenaran, maka adakah bagi kami pemberi syafaat bagi kami, atau dapatkah kami dikembalikan (ke dunia) sehingga kami dapat beramal yang lain daripada yang pernah kami amalkan?’ Sesungguhnya mereka telah merugikan diri sendiri dan telah lenyaplah daripada mereka apa yang mereka ada-adakan.”  

Al-A’raf 7:53 

Ayat 31

أَلَمْ يَرَوْا۟ كَمْ أَهْلَكْنَا قَبْلَهُم مِّنَ ٱلْقُرُونِ أَنَّهُمْ إِلَيْهِمْ لَا يَرْجِعُونَ

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

Setelah Allah Swt menceritakan akibat buruk yang dialami oleh umat terdahulu disebabkan mereka mendustakan para Rasul, Dia mengingatkan pula umat yang ada pada masa ayat ini diturunkan. Mengapakah mereka tidak mengambil pelajaran daripada umat yang telah dibinasakan seperti kaum ‘Aad, kaum Thamud dan kaum Nabi Lut as?  

Mereka yang telah dibinasakan itu tidak pernah kembali lagi ke dunia sedangkan orang-orang bodoh di kalangan orang-orang musyrik Mekah pada masa itu mempercayai tidak ada kehidupan lain selain kehidupan di dunia ini sahaja. Mereka meyakini sebahagian kaum mati dan sebahagian yang lain lahir, serta tidak percaya adanya Hari Kebangkitan untuk menerima pembalasan. 

Ada juga golongan yang beranggapan apabila mereka telah mati, mereka akan dikembalikan ke dunia semula (konsep reinkarnasi) sebagaimana firman-Nya: 

“Kehidupan itu tidak lain hanyalah kehidupan kita di dunia ini, kita mati dan kita hidup dan sekali-kali tidak akan dibangkitkan lagi.” 

Al-Mu’minun 23:37 

“Dan mereka berkata, “Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup dan tidak ada yang membinasakan kita selain masa.” Dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja.” 

Al-Jathiyah 45:24 

Maka ayat ini adalah membatalkan segala fahaman dan kepercayaan mereka yang batil lagi rosak. 

Ayat 32

وَإِن كُلٌّ لَّمَّا جَمِيعٌ لَّدَيْنَا مُحْضَرُونَ

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

Seterusnya Allah Swt menyatakan bahawa seluruh manusia akan dihadapkan kepada-Nya untuk dihisab pada Hari Kiamat kelak. Lalu Dia akan memberikan balasan terhadap segala perbuatan hamba-hamba-Nya sama ada yang baik mahupun yang buruk. 

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain: 

“Dan setiap orang akan datang kepada Allah pada Hari Kiamat dengan sendiri-sendiri.” 

Maryam 19:95 

“Dan sesungguhnya kepada masing-masing (mereka yang berselisih itu) pasti Rabbmu akan menyempurnakan dengan cukup, (balasan) pekerjaan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.” 

Hud 11:111