Bukti Adanya Hari Kebangkitan dan Kemuliaan Seseorang Bergantung kepada Ketaatannya kepada Allah Swt
Surah 35: Fatir (9 – 11)
Ayat 9
وَٱللَّهُ ٱلَّذِىٓ أَرْسَلَ ٱلرِّيَـٰحَ فَتُثِيرُ سَحَابًا فَسُقْنَـٰهُ إِلَىٰ بَلَدٍ مَّيِّتٍ فَأَحْيَيْنَا بِهِ ٱلْأَرْضَ بَعْدَ مَوْتِهَا ۚ كَذَٰلِكَ ٱلنُّشُورُ
Dan Allah Dia-lah yang menghantarkan angin, lalu angin itu menggerakkan awan, kemudian Kami halakan awan itu ke negeri yang mati (tandus), lalu Kami hidupkan bumi sesudah matinya dengan (hujan) itu. Demikian itu pula kebangkitan manusia (hidup semula sesudah mati).
Allah Swt seringkali mengemukakan bukti tentang adanya kehidupan akhirat dan Hari Kebangkitan dengan menerangkan bagaimana Dia menghidupkan bumi setelah mati. Kemudian Dia mengajak manusia merenungkan dan memikirkan hal ini kerana seperti itulah Dia akan membangkitkan mereka dari kubur pada Hari Kiamat nanti.
Dalam kitab Sahih Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan apabila Allah Swt hendak membangkitkan tubuh-tubuh yang telah mati pada hari berbangkit nanti, maka Allah Swt menurunkan dari bawah ‘Arasy-Nya hujan yang mengenangi (merata) ke seluruh bumi, lalu bangkitlah semua tubuh yang telah mati itu dari kubur masing-masing, sebagaimana benih yang tumbuh dari bumi. Oleh sebab itulah disebutkan dalam hadis sahih:
“Setiap (jasad) anak Adam hancur kecuali tulang ekornya, dan daripada tulang itu dia diciptakan dan daripada tulang itu pula dia dibangkitkan (pada Hari Kiamat).”
(HR. Muslim)
Dalam hadis riwayat Abu Razin yang menyebutkan bahawa dia bertanya kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati? Dan apakah bukti penghidupan itu pada ciptaan-Nya?” Rasulullah saw bersabda:
“Wahai Abu Razin, bukankah kamu pernah melewati lembah kaummu yang sedang dalam keadaan tandus (kekeringan), lalu kamu melewatinya (pada lain waktu) sedang lembah itu telah menumbuhkan tanaman yang hijau.” Abu Razin berkata, “Benar.” Nabi saw bersabda, “Maka seperti itulah Allah menghidupkan kembali orang-orang mati.”
(HR. Ahmad)
Ayat 10
مَن كَانَ يُرِيدُ ٱلْعِزَّةَ فَلِلَّهِ ٱلْعِزَّةُ جَمِيعًا ۚ إِلَيْهِ يَصْعَدُ ٱلْكَلِمُ ٱلطَّيِّبُ وَٱلْعَمَلُ ٱلصَّـٰلِحُ يَرْفَعُهُۥ ۚ وَٱلَّذِينَ يَمْكُرُونَ ٱلسَّيِّـَٔاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ ۖ وَمَكْرُ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُوَ يَبُورُ
Sesiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya. Kepada-Nya-lah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh juga dinaikkan-Nya. Dan orang-orang yang merancang kejahatan bagi mereka azab yang berat. Dan rancangan jahat mereka akan hancur.
Ayat ini pula merupakan bantahan dan sanggahan terhadap orang-orang kafir yang mencari kemuliaan, kebanggaan dan kehormatan dengan menyembah berhala-berhala.
Sesungguhnya kemuliaan, kebanggaan, kekuatan dan kehormatan semuanya adalah kepunyaan Allah Swt. Sesiapa yang tunduk dan merendahkan diri kepada-Nya, menjadikan Allah Swt sebagai matlamat hidupnya, maka Allah Swt akan menjadikannya orang yang mulia dan memiliki kemuliaan.
Sedangkan sesiapa yang sombong lagi angkuh dan tidak mahu tunduk kepada Allah Swt, maka dia adalah orang-orang yang hina lagi rendah kedudukannya.
Sebahagian para ulama salaf mengatakan maksud, “Perkataan-perkataan yang baik,” ialah zikir, bacaan Al-Quran dan doa.
Diriwayatkan daripada At-Tabari, daripada Ibnu Jarir daripada Al-Mukhariq bin Sulaim, dia mengatakan bahawa ‘Abdullah bin Mas’ud ra pernah berkata kepadanya, “Apabila kami meriwayatkan satu hadis kepada kamu, maka kami datangkan kepada kamu hal yang membenarkannya daripada Kitab Allah Swt. Sesungguhnya jika seorang hamba muslim mengucapkan:
“Maha Suci Allah, dan dengan memuji kepada-Nya, dan segala puji bagi-Nya, dan tidak ada Ilah selain Allah, dan Allah Maha Besar, Maha Suci Allah,” maka ada malaikat yang mengambilnya, lalu meletakkannya di bawah sayapnya, kemudian ia membawanya dan naik ke langit. Tidaklah ia bersua dengan sekumpulan malaikat, melainkan mereka memohonkan keampunan bagi yang mengucapkannya, hinggalah malaikat itu sampai di hadapan Allah.” Kemudian ‘Abdullah bin Mas’ud membacakan firman Allah, “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh dinaikkan-Nya.”
Daripada Nu’man bin Basyir ra, dia mengatakan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Orang-orang yang berzikir menyebut nama Allah Yang Maha Agung, antaranya membaca tasbih, takbir, tahmid dan tahlil kepada-Nya, maka terdengarlah di sekitar ‘Arasy gema suara menyambutnya sebagaimana dengungan suara lebah menyebutkan orang yang mengucapkan kalimah-kalimah tersebut. Tidakkah seseorang di antara kalian ingin agar tetap ada sesuatu yang akan menyebutkannya di sisi Allah?”
(HR. Ahmad dan Ibnu Majah)
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan, “amal yang soleh juga dinaikkan-Nya,” bermaksud ialah menunaikan kewajipan. Sesiapa yang mengingati Allah Swt dalam menunaikan kewajipan, maka amalannya itu akan membawa zikirnya naik kepada Allah Swt. Sesiapa yang berzikir tetapi tidak menunaikan kewajipan kepada Allah Swt, segala zikirnya akan dikembalikan kepada amalannya.
Amal yang soleh itu mestilah dengan niat kerana Allah Swt kerana amalan seperti itulah yang akan diterima oleh-Nya. Amalan yang tidak ikhlas tidak akan diberi pahala malah pelakunya berdosa. Apa sahaja amalan yang dilakukan secara riya’ itu tidak akan diterima malah orang yang melakukannya diancam oleh Allah Swt untuk dimasukkan ke neraka sebagaimana firman-Nya:
“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai daripada solatnya, orang-orang yang berbuat riya’, dan enggan (memberi bantuan.”
Al-Ma’un 107:4-7
Kemudian Allah Swt menyebutkan pula tentang orang-orang yang merancang untuk melakukan kejahatan. Mereka yang membuat tipu daya untuk menghancurkan agama Islam akan mendapat azab yang pedih di akhirat kelak.
Ayat 11
وَٱللَّهُ خَلَقَكُم مِّن تُرَابٍ ثُمَّ مِن نُّطْفَةٍۢ ثُمَّ جَعَلَكُمْ أَزْوَٰجًا ۚ وَمَا تَحْمِلُ مِنْ أُنثَىٰ وَلَا تَضَعُ إِلَّا بِعِلْمِهِۦ ۚ وَمَا يُعَمَّرُ مِن مُّعَمَّرٍ وَلَا يُنقَصُ مِنْ عُمُرِهِۦٓ إِلَّا فِى كِتَـٰبٍ ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ
Dan Allah menciptakan kamu daripada tanah kemudian daripada air mani, kemudian Dia menjadikan kamu berpasang-pasangan (lelaki dan perempuan). Dan tidak ada seorang perempuan pun mengandung dan tidak (juga) melahirkan melainkan dengan pengetahuan-Nya. Dan sekali-kali tidak dipanjangkan umur seorang dan tidak pula dikurangkan umurnya, melainkan (sudah ditetapkan) dalam kitab (Lauh Mahfuzh). Sesungguhnya yang demikian itu mudah bagi Allah.
Allah Swt kembali menyebutkan bukti lain tentang adanya Hari Kebangkitan iaitu melalui penciptaan manusia.
Allah Swt memulai penciptaan manusia daripada tanah iaitu Nabi Adam as. Kemudian Dia menjadikan keturunannya daripada saripati air yang hina iaitu air mani. Dia menjadikan manusia mempunyai jantina daripada jenis lelaki dan jenis perempuan. Terbentuknya jantina sama ada lelaki atau perempuan ini adalah ketetapan-Nya.
Allah Swt memberitahu bahawa tidak ada seorang perempuan pun yang mengandung dan melahirkan anak melainkan Dia mengetahuinya. Begitu juga seseorang tidak dipanjangkan dan dipendekkan umurnya kecuali semuanya dalam pengetahuan-Nya dan tertulis dalam kitab Lauh Mahfuz sebelum ibunya mengandungkannya dan melahirkannya.
Allah Swt mengetahui semua tentang ciptaan-Nya sebelum Dia menciptakannya, apa yang telah tertulis tidak bertambah dan tidak berkurang. Sesungguhnya penciptaan manusia, ilmu tentang keadaan manusia dan semua yang tertulis di Lauh Mahfuz itu adalah mudah bagi-Nya.
Ayat ini merupakan antara dalil yang menjelaskan bahawa Allah Maha Pencipta dan Maha Mengetahui perkara ghaib.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Allah mengetahui apa yang dikandung oleh setiap perempuan, apa yang kurang sempurna, dan apa yang bertambah di dalam rahim. Dan setiap sesuatu ada kadar ukuran di sisi-Nya. (Allah) yang mengetahui semua yang ghaib dan yang nyata, Allah Maha Besar, lagi Maha Tinggi.”
Ar-Ra’d 13:8-9