Surah 35: Fatir (42 – 45)

Orang Musyrik Dahulunya Menginginkan Seorang Rasul tetapi setelah Diutuskan Mereka Mengingkarinya

Surah 35: Fatir (42 – 45)


Ayat 42

وَأَقْسَمُوا۟ بِٱللَّهِ جَهْدَ أَيْمَـٰنِهِمْ لَئِن جَآءَهُمْ نَذِيرٌ لَّيَكُونُنَّ أَهْدَىٰ مِنْ إِحْدَى ٱلْأُمَمِ ۖ فَلَمَّا جَآءَهُمْ نَذِيرٌ مَّا زَادَهُمْ إِلَّا نُفُورًا

Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya jika datang kepada mereka seorang pemberi peringatan, nescaya mereka akan lebih mendapat petunjuk daripada salah satu umat-umat (yang lain). Tatkala datang kepada mereka pemberi peringatan, maka kedatangannya itu tidak menambah (apa-apa) kepada mereka, bahkan mereka semakin jauh daripada (kebenaran).

Allah Swt memberitahu keadaan orang-orang Quraisy dan bangsa Arab yang dahulunya bersumpah dengan penuh kesungguhan sebelum diutuskan-Nya seorang Rasul bahawa mereka akan menjadi golongan yang paling taat dan kuat berpegang pada risalah-Nya jika rasul diutuskan kepada mereka.

Namun apabila telah datang kepada mereka apa yang mereka inginkan dan harap-harapkan itu dengan diutuskan Rasulullah saw yang membawa Al-Quran, mereka menjadi bertambah kafir akibat kesombongan mereka.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“(Kami turunkan Al-Quran itu) agar kamu (tidak) mengatakan, ‘Kitab itu hanya diturunkan kepada dua golongan sebelum kami (Yahudi dan Nasrani) dan sesungguhnya, kami tidak memerhatikan apa yang mereka baca.’ Atau agar kamu (tidak) mengatakan, ‘Jika kitab itu diturunkan kepada kami, tentu kami lebih mendapat petunjuk daripada mereka. ’Sesungguhnya telah datang kepada kamu penjelasan yang nyata, petunjuk dan rahmat daripada Rabbmu. Siapakah yang lebih zalim daripada orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan berpaling daripadanya?………..”

Al-An’am 6:156-157

“Dan sesungguhnya mereka (orang kafir Mekah) benar-benar pernah berkata, ‘Sekiranya di sisi kami ada sebuah kitab daripada (kitab-kitab yang diturunkan) kepada orang-orang dahulu. Tentu kami akan menjadi hamba Allah yang disucikan (daripada dosa).’ Tetapi ternyata mereka mengingkarinya (Al-Quran), maka kelak mereka akan mengetahui (akibat keingkaran mereka itu).”

As-Saffat 37:167-170

Ayat 43

ٱسْتِكْبَارًا فِى ٱلْأَرْضِ وَمَكْرَ ٱلسَّيِّئِ ۚ وَلَا يَحِيقُ ٱلْمَكْرُ ٱلسَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِۦ ۚ فَهَلْ يَنظُرُونَ إِلَّا سُنَّتَ ٱلْأَوَّلِينَ ۚ فَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَبْدِيلًا ۖ وَلَن تَجِدَ لِسُنَّتِ ٱللَّهِ تَحْوِيلًا

Kerana kesombongan (mereka) di muka bumi dan kerana rancangan (mereka) yang jahat. Rancangan yang jahat itu tidak akan menimpa selain orang yang merancangkannya sendiri. Tiadalah yang mereka nanti-nantikan melainkan (berlakunya) sunnah (ketetapan Allah yang telah berlaku) kepada orang-orang yang terdahulu. Maka sekali-kali kamu tidak akan menemui perubahan bagi sunnah (ketetapan) Allah, dan sekali-kali tidak (pula) akan menemui penyimpangan bagi sunnah Allah itu.

Sikap orang-orang musyrik yang tidak tetap dan tidak berpegang kepada janji yang pernah mereka ikrarkan kepada Allah Swt, tindakan mereka melanggar sumpah dan terus berada dalam kesyirikan serta perancangan jahat daripada mereka sebenarnya mereka sendirilah yang akan menanggung akibat buruknya.

Mereka yang sombong, angkuh dan tidak mahu menerima Rasulullah saw tidak ubah seperti sikap orang yang menanti azab seperti yang pernah menimpa orang-orang kafir dahulu. Sesungguhnya Allah Swt mengazab orang-orang yang memang berhak dan layak untuk diazab kerana ini adalah sunnatullah.

Yang dimaksudkan dengan “ketentuan kepada orang-orang yang terdahulu” ialah turunnya azab kepada orang-orang yang mendustakan Rasul.

Allah Swt juga memberi amaran sebagaimana firman-Nya:

“……….Dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tidak ada yang dapat menolaknya dan tidak ada pelindung bagi mereka selain-Nya.”

Ar-Ra’d 13:11

Ayat 44

أَوَلَمْ يَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَيَنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَكَانُوٓا۟ أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً ۚ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُعْجِزَهُۥ مِن شَىْءٍ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَلَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ إِنَّهُۥ كَانَ عَلِيمًا قَدِيرًا

Dan tidakkah mereka berjalan di bumi lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka (yang mendustakan Rasul), padahal orang-orang itu lebih besar kekuatannya daripada mereka? Dan tidak ada sesuatu pun yang dapat melemahkan Allah baik di langit mahupun di bumi. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa.

Seterusnya, Allah Ta’ala mengingatkan mereka kepada contoh-contoh yang jelas dapat dilihat sendiri ketika mereka melakukan perjalanan ke negeri Yaman, Syam dan Iraq. Mereka dapat melihat bekas-bekas kehancuran tempat-tempat tinggal umat-umat terdahulu seperti kaum ‘Aad, Thamud dan Madyan ketika kaum-kaum tersebut mendustakan para rasul. Padahal umat-umat terdahulu lebih kaya, lebih kuat dan lebih ramai keturunan mereka dibandingkan dengan penduduk Mekah.

Jika Allah Swt telah berkehendak untuk menurunkan azab, maka ia pasti akan berlaku tanpa ada yang dapat menghalangnya. Sesungguhnya Allah Swt Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Apakah mereka tidak berjalan di atas bumi dan memperhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka. Mereka itu lebih banyak dan lebih hebat kekuatannya serta (lebih banyak) peninggalan-peninggalan peradaban mereka di bumi, maka apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka.”

Ghafir 40:82

“Tidakkah kamu tahu, sesungguhnya Allah-lah yang memiliki seluruh kerajaan langit dan bumi, Dia menyeksa sesiapa yang Dia kehendaki dan mengampuni sesiapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”

Al-Ma’idah 5:40

Ayat 45

وَلَوْ يُؤَاخِذُ ٱللَّهُ ٱلنَّاسَ بِمَا كَسَبُوا۟ مَا تَرَكَ عَلَىٰ ظَهْرِهَا مِن دَآبَّةٍ وَلَـٰكِن يُؤَخِّرُهُمْ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ فَإِنَّ ٱللَّهَ كَانَ بِعِبَادِهِۦ بَصِيرًا

Dan sekiranya Allah menghukum manusia disebabkan apa yang telah mereka lakukan, nescaya Dia tidak akan tinggalkan satu pun makhluk bergerak yang bernyawa di bumi ini, tetapi Dia menangguhkan (hukuman)nya, sehingga waktu yang telah ditentukan. Maka apabila datang ajal mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.

Sekiranya Allah Swt menyeksa mereka disebabkan oleh dosa-dosa mereka, tentulah semua penduduk bumi akan binasa, begitu juga binatang ternakan dan rezeki kurniaan-Nya yang dimiliki oleh manusia. Namun Dia menangguhkan balasan tersebut sehingga tiba waktunya iaitu Hari Kiamat. Ini adalah rahmat dan belas kasihan-Nya yang tidak segera memberikan azab kepada orang-orang kafir, para pendusta dan orang-orang yang berdosa.

Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:

“Jikalau Allah menghukum manusia kerana kezalimannya, nescaya tidak akan ada yang ditinggalkan-Nya (di bumi) sesuatupun daripada makhluk yang melata, tetapi Allah menangguhkan mereka sehingga waktu yang sudah ditentukan. Maka apabila telah tiba ajalnya, mereka tidak dapat meminta penangguhan atau mempercepatkannya walaupun sesaat.”

An-Nahl 16:61

“Dan berapa banyak negeri yang Aku tangguhkan penghancurannya kerana penduduknya yang zalim, kemudian Aku azab mereka, dan hanya kepada-Ku tempat kembali (segala sesuatu).”

Al-Hajj 22:48