Surah 35: Fatir (32)

Pewaris Al-Quran Terdiri daripada Tiga Golongan

Surah 35: Fatir (32)


Ayat 32

ثُمَّ أَوْرَثْنَا ٱلْكِتَـٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِۦ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌۢ بِٱلْخَيْرَٰتِ بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلْفَضْلُ ٱلْكَبِيرُ

Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri, ada yang pertengahan, dan ada (pula) yang lebih dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu adalah kurniaan yang besar.

Allah Swt menjadikan orang-orang yang menegakkan Kitab Al-Quran adalah hamba-hamba pilihan-Nya, iaitu umat Islam. Kemudian Allah Swt bahagikan mereka kepada tiga golongan:

▪️  “Orang yang menzalimi diri sendiri” ialah orang yang lebih banyak kesalahannya daripada kebaikannya.

▪️  “Orang pertengahan” ialah orang yang kebaikannya sama dengan kesalahannya.

▪️  “Orang-orang yang lebih dahulu dalam berbuat kebaikan” ialah orang-orang yang kebaikannya sangat banyak dan sangat jarang melakukan kesalahan.

Ibnu ‘Abbas ra berkata, “Orang yang lebih dahulu melakukan kebaikan akan masuk syurga tanpa hisab, orang yang pertengahan akan masuk syurga dengan rahmat daripada Allah, sedangkan orang yang menzalimi dirinya sendiri serta orang-orang yang berada di Al-A’raf (tempat yang tinggi) akan masuk syurga dengan syafaat daripada Nabi Muhammad saw.”

Daripada Anas bin Malik, beliau berkata suatu hari Rasulullah saw bersabda:

“Syafaatku adalah untuk orang-orang yang melakukan dosa besar daripada umatku.”

(HR. Abu Daud)

Ulama’ salaf juga meriwayatkan bahawa orang-orang yang menzalimi diri sendiri daripada umat ini termasuk orang-orang yang dipilih, meskipun terdapat ketidaklurusan dan kelalaian dalam tindakan mereka.