Al-Quran adalah Kitab Allah yang Benar dan Membenarkan Kitab-Kitab yang Diturunkan Sebelumnya
Surah 35: Fatir (31)
Ayat 31
وَٱلَّذِىٓ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ هُوَ ٱلْحَقُّ مُصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ بِعِبَادِهِۦ لَخَبِيرٌۢ بَصِيرٌ
Dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) iaitu kitab (Al-Quran) itulah yang benar, membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Mengetahui lagi Maha Melihat (keadaan) hamba-hamba-Nya.
Allah Swt menyebutkan bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw itu adalah wahyu yang benar dan juga membenarkan kitab-kitab yang terdahulu yang diturunkan sebelumnya.
Sesungguhnya Allah Swt Maha Mengetahui segala sesuatu. Pengetahuan-Nya meliputi seluruh urusan hamba-hamba-Nya sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Dia menurunkan kitab (Al-Quran) kepadamu (Muhammad) yang mengandungi kebenaran, membenarkan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelumnya dan menurunkan Taurat dan Injil,”
Ali ‘Imran 3:3
“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. (Al-Quran) itu bukanlah cerita yang direka-reka, tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan (sebagai) petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”
Yusuf 12:111