Orang yang Berdosa Tidak Akan Memikul Dosa Orang Lain
Surah 35: Fatir (18)
Ayat 18
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَىْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰٓ ۗ إِنَّمَا تُنذِرُ ٱلَّذِينَ يَخْشَوْنَ رَبَّهُم بِٱلْغَيْبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ ۚ وَمَن تَزَكَّىٰ فَإِنَّمَا يَتَزَكَّىٰ لِنَفْسِهِۦ ۚ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلْمَصِيرُ
Dan orang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Dan jika seseorang yang berat dosanya memanggil (orang lain) untuk memikul dosanya itu tidaklah akan dipikulkan untuknya sedikitpun meskipun (yang dipanggilnya itu) kaum kerabatnya. Sesungguhnya yang dapat kamu beri peringatan hanya orang-orang yang takut kepada azab Rabbnya (sekalipun) mereka tidak melihat-Nya dan mereka mendirikan solat. Dan sesiapa yang menyucikan dirinya, sesungguhnya dia menyucikan diri untuk kebaikan dirinya sendiri. Dan kepada Allah-lah tempat kembali.
Allah Swt mengingatkan bahawa pada Hari Kiamat kelak setiap orang hanya akan menanggung dosanya sendiri. Mereka tidak menanggung dosa orang lain sekalipun orang itu adalah kaum kerabatnya sendiri seperti anak-anak atau ibu bapa. Ini kerana masing-masing akan disibukkan oleh diri dan keadaannya sendiri.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Katakanlah (Muhammad), ‘Apakah aku akan mencari tuhan selain Allah, padahal Dia adalah Rabb bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa, hanya diri seseorang itulah yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Rabbmu tempat kamu kembali, dan akan dijelaskan-Nya kepadamu apa yang dahulu kamu perselisihkan.’”
Al-An’am 6:164
Kemudian Allah Swt memberitahu Rasulullah saw bahawa orang-orang yang mampu mengambil pelajaran daripada apa yang disampaikan oleh baginda ialah orang-orang yang memiliki mata hati dan akal fikiran. Mereka takut kepada azab Rabb mereka walaupun belum melihat azab tersebut. Mereka meyakini perkara-perkara ghaib dan sentiasa mengerjakan apa yang diperintahkan kepada mereka dan meninggalkan perkara yang dilarang.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan sesiapa yang membersihkan dirinya daripada kemusyrikan, maksiat dan dosa-dosa, maka sebenarnya kebaikan dan keuntungan adalah untuk dirinya sendiri. Faedahnya akan diraih di akhirat kelak kerana hanya kepada-Nya-lah semua makhluk akan dikembalikan untuk dihisab atas amalan masing-masing.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan diri (dengan beriman), dan dia mengingati nama Rabbnya, lalu dia solat.”
Al-A’la 87:14-15
“Sesungguhnya Kami telah menyucikan mereka dengan (menganugerahkan kepada mereka) akhlak yang tinggi iaitu selalu mengingatkan (manusia) kepada negeri akhirat.”
Sad 38:46