Allah Swt Tidak Memerlukan Makhluk sedangkan Makhluk Amat Memerlukan-Nya
Surah 35: Fatir (15 – 17)
Ayat 15
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ أَنتُمُ ٱلْفُقَرَآءُ إِلَى ٱللَّهِ ۖ وَٱللَّهُ هُوَ ٱلْغَنِىُّ ٱلْحَمِيدُ
Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah Dia-lah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.
Allah Swt menegaskan kepada seluruh manusia tentang sifat-Nya yang Maha Kaya secara mutlak tanpa sama sekali memerlukan bantuan daripada sesuatu apa pun. Dia juga menjelaskan bahawa mereka adalah hamba-hamba-Nya yang berhajatkan kepada pertolongan-Nya dan memerlukan rezeki daripada-Nya untuk keperluan hidup mereka. Oleh itu, manusia hendaklah menyembah-Nya sahaja tidak kepada yang lain.
Allah Swt Maha Terpuji kerana banyak nikmat yang dikurniakan-Nya kepada hamba-hamba-Nya. Oleh itu, bagi-Nya-lah sahaja segala puji-pujian.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Dan sesiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) daripada seluruh alam.”
Al ‘Ankabut 29:6
Dalam sebuah hadis Qudsi, Allah Swt berfirman:
“Wahai hamba-Ku, kalau orang-orang terdahulu dan yang terakhir di antara kalian, sekalian manusia dan jin, mereka itu bertakwa seperti orang yang paling bertakwa di antara kalian, tidak akan menambah kekuasaan-Ku sedikit pun. Jika orang-orang yang terdahulu dan yang terakhir di antara kalian, sekalian manusia dan jin, mereka itu berhati jahat seperti orang yang paling jahat di antara kalian, tidak akan mengurangi kekuasaan-Ku sedikit pun juga.”
(HR. Muslim)
Ayat 16
إِن يَشَأْ يُذْهِبْكُمْ وَيَأْتِ بِخَلْقٍ جَدِيدٍ
Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu).
Ayat 17
وَمَا ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ بِعَزِيزٍ
Dan yang demikian itu sekali-kali tidak sukar bagi Allah.
Kemudian Allah Swt menegaskan lagi sifat-Nya yang Maha Kaya dan kekuasaan-Nya dengan menyatakan bahawa Dia boleh sahaja melenyapkan dan menggantikan suatu kaum dengan kaum yang lain yang lebih taat dan patuh daripada mereka. Hal itu amatlah mudah bagi-Nya.
Firman Allah Swt dalam ayat-ayat yang lain:
“Jika Allah menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu wahai manusia. Kemudian Dia datangkan (umat-umat) yang lain (sebagai penggantimu)……….”
An-Nisa’ 4:133
“……….Jika Dia menghendaki, nescaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu), dan yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah.”
Ibrahim 14:19-20
Ayat ini juga merupakan ancaman dan sanggahan kepada orang-orang kafir yang berfikiran sesat bahawa seandainya Allah Swt melenyapkan umat manusia, nescaya ikut lenyap pula kerajaan, kekuasaan dan keagungan-Nya.