Surah 34: Saba’ (40 – 42)

Para Malaikat Tidak Bertanggungjawab terhadap Para Penyembahnya pada Hari Kiamat Kelak

Surah 34: Saba’ (40 – 42)


Ayat 40

وَيَوْمَ يَحْشُرُهُمْ جَمِيعًا ثُمَّ يَقُولُ لِلْمَلَـٰٓئِكَةِ أَهَـٰٓؤُلَآءِ إِيَّاكُمْ كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ

Dan (ingatlah) hari (ketika) Allah mengumpulkan mereka semuanya kemudian Allah berfirman kepada para malaikat, “Apakah mereka ini dahulu menyembah kamu?”

Allah Swt menyatakan bahawa pada Hari Kiamat nanti Dia akan mengumpulkan para penyembah dan apa sahaja yang mereka sembah, para pemimpin dan para pengikut semuanya di hadapan para makhluk yang lain. Kemudian Dia bertanya kepada para malaikat adakah mereka dahulu telah memerintahkan kaum musyrik untuk menyembah mereka dengan tujuan dapat mendekatkan diri kepada-Nya.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan (ingatlah) suatu hari (ketika) Allah menghimpunkan mereka bersama dengan apa yang mereka sembah selain Allah, lalu (Allah) berfirman (kepada yang disembah), ‘Apakah kamu yang menyesatkan hamba-hamba-Ku itu, atau mereka sendirikah yang sesat dari jalan (yang benar)?’”

Al-Furqan 25:17

Begitu juga di akhirat kelak, Allah Swt akan bertanya kepada Nabi ‘Isa as sebagaimana firman-Nya:

“Dan (ingatlah) ketika Allah berfirman, ‘Wahai ‘Isa putera Maryam, adakah engkau yang mengatakan kepada manusia, jadikanlah aku dan ibuku sebagai dua Tuhan selain Allah?’ Dia (‘Isa) menjawab, ‘Maha Suci Engkau, tidaklah patut bagiku mengatakan apa yang bukan hakku (mengatakannya)……….’”

Al-Ma’idah 5:116

Ayat 41

قَالُوا۟ سُبْحَـٰنَكَ أَنتَ وَلِيُّنَا مِن دُونِهِم ۖ بَلْ كَانُوا۟ يَعْبُدُونَ ٱلْجِنَّ ۖ أَكْثَرُهُم بِهِم مُّؤْمِنُونَ

Para malaikat itu menjawab, “Maha Suci Engkau. Engkaulah pelindung kami, bukan mereka, bahkan mereka telah menyembah jin, kebanyakan mereka beriman kepada jin itu.”

Allah Swt mengetahui bahawa para malaikat dan Nabi ‘Isa as bersih dan bebas daripada apa yang dilakukan oleh kaum musyrik itu. Namun pertanyaan itu adalah sebagai sindiran, kecaman, celaan kepada mereka pada hari perhitungan untuk menimbulkan rasa kecewa pada diri mereka yang menaruh harapan bahawa mereka akan mendapat syafaat daripada apa yang mereka sembah di dunia dahulu.

Malaikat menafikan dan berlepas diri daripada tuduhan yang dilemparkan oleh orang-orang musyrik kepada mereka. Manakala maksud ayat, “Bahkan mereka telah menyembah jin” ialah kaum musyrikin itu telah menyembah syaitan (jin yang derhaka) kerana syaitanlah yang telah menggoda mereka agar tertarik hati untuk menyembah para malaikat. Orang-orang musyrik itu sebenarnya menurut perintah syaitan yang menyesatkan mereka agar memuja para malaikat dan juga sembahan-sembahan yang lain.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Yang mereka sembah selain Dia (Allah) itu, tidak lain hanyalah berhala, dan (dengan menyembah berhala itu) mereka tidak lain hanyalah menyembah syaitan yang derhaka, yang dilaknati Allah……………….”

An-Nisa’ 4:117-118

Ayat 42

فَٱلْيَوْمَ لَا يَمْلِكُ بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍۢ نَّفْعًا وَلَا ضَرًّا وَنَقُولُ لِلَّذِينَ ظَلَمُوا۟ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلنَّارِ ٱلَّتِى كُنتُم بِهَا تُكَذِّبُونَ

Maka pada hari ini sebahagian kamu tidak berkuasa (untuk memberikan) manfaat dan tidak juga mudharat kepada sebahagian yang lain. Dan Kami katakan kepada orang-orang yang zalim, “Rasakanlah olehmu azab neraka yang dahulunya kamu dustakan itu.”

Kemudian Allah Swt menyatakan tentang hancurnya harapan orang-orang musyrik terhadap pertolongan (syafaat) sembahan-sembahan palsu mereka. Ini kerana tidak ada seorang pun yang dapat memberikan pertolongan atau menolak bahaya kepada sesama mereka. Dia sahajalah yang berkuasa memberikan pertolongan dan menghindarkan azab.

Seterusnya dikatakan kepada orang-orang musyrik itu, rasakanlah seksaan neraka yang mereka dustakan dahulu. Ini menambahkan lagi kesedihan, kepedihan, penderitaan dan penyesalan mereka.