Orang Kafir yang Hidupnya Mewah Mendustakan Para Rasul dan Mereka Terpedaya oleh Harta dan Anak-Anak
Surah 34: Saba’ (34 – 39)
Ayat 34
وَمَآ أَرْسَلْنَا فِى قَرْيَةٍ مِّن نَّذِيرٍ إِلَّا قَالَ مُتْرَفُوهَآ إِنَّا بِمَآ أُرْسِلْتُم بِهِۦ كَـٰفِرُونَ
Dan Kami tidak mengutus kepada suatu negeri seorang pun pemberi peringatan, melainkan orang-orang yang hidup mewah di negeri itu berkata, “Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu diutus untuk menyampaikannya.”
Allah Swt memberitahu Rasulullah saw untuk menenangkan hati baginda yang bersedih terhadap penghinaan kaum musyrikin kepadanya. Dia menyatakan bahawa tidak ada seorang Nabi pun yang telah diutuskan-Nya tidak didustakan oleh orang-orang yang hidup mewah di sesebuah negeri. Pengikut para Nabi pada umumnya terdiri daripada kaum yang lemah di kalangan mereka.
Kata-kata penghinaan oleh orang-orang kafir terhadap para Rasul yang diutuskan kepada mereka, dinyatakan oleh Allah Swt seperti firman-Nya dalam surah-surah yang lain:
“Maka berkatalah para pembesar yang kafir daripada kaumnya, ‘Kami tidak melihatmu, melainkan hanya seorang manusia (biasa) seperti kami, dan kami tidak melihat orang yang mengikutimu, melainkan orang yang hina di antara kami yang cepat percaya……….’”
Hud 11:27
“Mereka berkata, ‘Adakah kami akan beriman kepadamu, padahal pengikut-pengikutmu orang-orang yang hina?’”
Asy-Syu’ara’ 26:111
“Pembesar-pembesar yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah, iaitu orang-orang yang telah beriman di antara kaumnya, ‘Tahukah kamu bahawa Saleh adalah seorang Rasul daripada Rabbnya?’ Mereka menjawab, ‘Sesungguhnya kami percaya kepada apa yang disampaikannya.’ Orang-orang yang menyombongkan diri berkata, ‘Sesungguhnya kami mengingkari apa yang kamu percayai.’”
Al-A’raf 7:75-76
Ayat 35
وَقَالُوا۟ نَحْنُ أَكْثَرُ أَمْوَٰلًا وَأَوْلَـٰدًا وَمَا نَحْنُ بِمُعَذَّبِينَ
Dan mereka berkata, “Kami mempunyai lebih banyak harta dan anak-anak (daripada kamu) dan kami sekali-kali tidak akan diazab.”
Antara faktor yang menjadikan manusia kufur ialah kerana mereka terpedaya dan tenggelam dalam kemewahan hidup disebabkan memiliki harta yang banyak dan anak-anak yang ramai di dunia ini.
Orang-orang kafir itu menyangka dengan sebab mereka mendapat nikmat yang banyak di dunia itu, menjadi bukti bahawa Allah Swt menyayangi mereka. Mereka yakin setelah mendapat kemewahan begitu banyak di dunia maka kelak di akhirat mereka tidak akan tersentuh oleh azab api neraka.
Namun pandangan dan anggapan tersebut merupakan kesalahan yang besar. Limpahan harta kekayaan itu merupakan ujian dan fitnah buat mereka dalam bentuk istidraj.
Allah Swt berfirman dalam surah-surah yang lain:
“Adakah mereka menyangka bahawa Kami memberikan harta dan anak-anak kepada mereka itu (bererti bahawa) Kami memberikan kebaikan-kebaikan kepada mereka? (Tidak), tetapi mereka tidak menyedarinya.”
Al-Mu’minun 23:55-56
“Demikianlah, Kami telah menguji sebahagian daripada mereka (orang yang kaya) dengan sebahagian yang lain (orang yang miskin), agar mereka (orang yang kaya itu) berkata, ‘Orang-orang seperti inikah di antara kita yang diberi anugerah oleh Allah?’ (Allah berfirman), ‘Tidakkah Allah lebih mengetahui tentang mereka yang bersyukur (kepada-Nya)?’”
Al-An’am 6:53
Ayat 36
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقْدِرُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah, “Sesungguhnya Rabbku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya) tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt membantah semua anggapan dan pemikiran mereka serta menegaskan kekeliruan tersebut.
Sesungguhnya Allah Swt berhak memberi kekayaan kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki sama ada mereka itu adalah orang yang dicintai-Nya atau dibenci-Nya. Dia juga berhak menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki tanpa mengira mereka itu beriman atau kufur kepada-Nya. Semuanya itu memiliki hikmah yang agung dan sempurna. Dunia di sisi Allah Swt tidak mempunyai nilai sama sekali sebagaimana hadis daripada Rasulullah saw, baginda bersabda:
“Seandainya dunia di sisi Allah Swt memang memiliki nilai meskipun hanya seukuran sayap nyamuk, nescaya Allah Swt tidak akan memberi orang kafir sedikitpun daripada dunia meski hanya seukuran satu tegukan air.”
(HR. At-Tirmidzi)
Ayat 37
وَمَآ أَمْوَٰلُكُمْ وَلَآ أَوْلَـٰدُكُم بِٱلَّتِى تُقَرِّبُكُمْ عِندَنَا زُلْفَىٰٓ إِلَّا مَنْ ءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا فَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ جَزَآءُ ٱلضِّعْفِ بِمَا عَمِلُوا۟ وَهُمْ فِى ٱلْغُرُفَـٰتِ ءَامِنُونَ
Dan sekali-kali bukanlah harta dan bukan (juga) anak-anak kamu yang mendekatkan kamu kepada Kami, tetapi orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal-amal (soleh), mereka itulah yang memperoleh balasan yang berlipat ganda disebabkan apa yang telah mereka kerjakan, dan mereka aman sentosa di tempat-tempat yang tinggi (dalam syurga).
Kemudian Allah Swt menjelaskan ukuran kedudukan hampirnya seseorang itu di sisi-Nya bukanlah kerana banyaknya harta dan anak-anak tetapi dengan iman dan amal soleh. Mereka juga mendapat pahala yang berlipat kali ganda atas amalan kebaikan yang mereka lakukan sehingga sepuluh kali ganda dan ada yang mendapat tujuh ratus kali ganda untuk setiap amal kebaikannya. Kemudian di akhirat kelak, mereka berada di kamar-kamar syurga dalam keadaan sejahtera dan aman daripada segala hal yang tidak diingini.
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw pernah bersabda:
“Sesungguhnya Allah Swt tidak melihat kepada rupa dan harta benda kalian, tetapi sesungguhnya Dia hanya melihat kepada hati dan amal perbuatan kalian.”
(HR. Muslim dan Ibnu Majah)
Ayat 38
وَٱلَّذِينَ يَسْعَوْنَ فِىٓ ءَايَـٰتِنَا مُعَـٰجِزِينَ أُو۟لَـٰٓئِكَ فِى ٱلْعَذَابِ مُحْضَرُونَ
Dan orang-orang yang berusaha (menentang) ayat-ayat Kami dengan anggapan untuk dapat melemahkan (menggagalkan azab Kami), mereka itu dimasukkan ke dalam azab.
Manakala mereka yang menentang, melawan ayat-ayat Allah Ta’ala dan berusaha keras menghalang orang lain daripada mendapat petunjuk, pasti akan dikenakan azab yang pedih dan tempat kembali mereka adalah Neraka Jahannam yang azab dan seksaannya sangat pedih. Wal’iyazubillahi min zalik.
Ayat 39
قُلْ إِنَّ رَبِّى يَبْسُطُ ٱلرِّزْقَ لِمَن يَشَآءُ مِنْ عِبَادِهِۦ وَيَقْدِرُ لَهُۥ ۚ وَمَآ أَنفَقْتُم مِّن شَىْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُۥ ۖ وَهُوَ خَيْرُ ٱلرَّٰزِقِينَ
Katakanlah, “Sesungguhnya Rabbku melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan menyempitkan bagi (sesiapa yang dikehendaki-Nya).” Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantikannya dan Dia-lah Sebaik-baik Pemberi Rezeki.”
Selanjutnya, Allah Swt menyatakan sebuah penegasan yang menenangkan semua makhluk dalam masalah rezeki bahawa sumber rezeki semuanya berasal daripada-Nya. Dia berhak melapangkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan Dia jugalah yang berhak menyempitkan rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Semua ini sesuai dengan hikmah-Nya yang tiada siapa pun yang mengetahuinya.
Firman Allah Swt dalam surah yang lain:
“Perhatikanlah bagaimana Kami melebihkan sebahagian mereka atas sebahagian (yang lain). Dan kehidupan akhirat lebih tinggi darjatnya dan lebih besar keutamaannya.”
Al-Isra’ 17:21
Oleh itu, sesiapa yang menginfakkan hartanya untuk kepentingan amal kebajikan yang diperintahkan oleh Allah Swt dan dijelaskan oleh Rasul-Nya, pasti akan mendapat ganti di dunia dan kemudiannya akan mendapat penghargaan di akhirat.