Pertelingkahan di Akhirat Kelak antara Orang-Orang yang Sesat dan Menyesatkan semasa di Dunia
Surah 34: Saba’ (31 – 33)
Ayat 31
وَقَالَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ لَن نُّؤْمِنَ بِهَـٰذَا ٱلْقُرْءَانِ وَلَا بِٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ ۗ وَلَوْ تَرَىٰٓ إِذِ ٱلظَّـٰلِمُونَ مَوْقُوفُونَ عِندَ رَبِّهِمْ يَرْجِعُ بَعْضُهُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ ٱلْقَوْلَ يَقُولُ ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ لَوْلَآ أَنتُمْ لَكُنَّا مُؤْمِنِينَ
Dan orang-orang kafir berkata, “Kami sekali-kali tidak akan beriman kepada Al-Quran ini dan tidak (juga) kepada kitab yang sebelumnya.” Dan (alangkah hebatnya) kalau kamu lihat ketika orang-orang yang zalim itu dihadapkan kepada Rabbnya, sebahagian daripada mereka menghadapkan perkataan kepada sebahagian yang lain, orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, “Kalau tidaklah kerana kamu tentulah kami menjadi orang-orang yang beriman.”
Orang-orang kafir secara terang-terangan menyatakan keengganan mereka untuk tidak beriman kepada Al-Quran dan kitab-kitab samawi yang lain yang datangnya dari sisi Allah Ta’ala yang mencakupi segala perkara-perkara ghaib seperti Hari Pembalasan.
Bagi orang-orang seperti ini tidak ada satu dalil atau bukti pun yang dapat mereka terima walaupun bukti-bukti itu telah jelas dan nyata. Ini kerana mereka hanya mengikut nafsu, bertaklid buta dan berpendapat semua perkara yang bertentangan dengan fahaman mereka adalah salah. Oleh itu, hati mereka telah tertutup terhadap kebenaran.
Lalu Allah Ta’ala menyatakan keadaan para pemimpin dan pengikut mereka yang saling bertelagah dengan sangat sengit dan menghinakan di hadapan-Nya pada Hari Kiamat kelak. Mereka saling melemparkan tuduhan, berbantahan dan mencela antara satu sama lain.
Dalam ayat ini, para pemimpin dicerca terlebih dahulu kerana mereka adalah pihak yang menyesatkan. Manakala pihak yang menyesatkan adalah lebih berhak untuk dicerca dan dikecam kerana mereka mengatakan seandainya para pemimpin itu tidak memperdayakan, mengaburi mata mereka dan tidak menipu mereka, tentulah mereka dahulu menjadi orang-orang beriman kepada Allah Ta’ala, para rasul-Nya dan kitab-kitab-Nya.
Ayat 32
قَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوٓا۟ أَنَحْنُ صَدَدْنَـٰكُمْ عَنِ ٱلْهُدَىٰ بَعْدَ إِذْ جَآءَكُم ۖ بَلْ كُنتُم مُّجْرِمِينَ
Orang-orang yang menyombongkan diri berkata kepada orang-orang yang dianggap lemah, “Kamikah yang telah menghalang kamu daripada petunjuk setelah petunjuk itu datang kepada kamu? (Tidak), sebenarnya kamu sendirilah orang-orang yang berdosa.”
Allah Swt menyatakan bagaimana para pemimpin menyangkal semua tuduhan tersebut. Malah mereka mengatakan bahawa para pengikut itulah menghalang diri mereka sendiri daripada beriman dan daripada mengikuti petunjuk-Nya. Oleh itu, mereka tetap berada dalam kekafiran serta tenggelam dalam kejahatan dan dosa.
Ayat 33
وَقَالَ ٱلَّذِينَ ٱسْتُضْعِفُوا۟ لِلَّذِينَ ٱسْتَكْبَرُوا۟ بَلْ مَكْرُ ٱلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ إِذْ تَأْمُرُونَنَآ أَن نَّكْفُرَ بِٱللَّهِ وَنَجْعَلَ لَهُۥٓ أَندَادًا ۚ وَأَسَرُّوا۟ ٱلنَّدَامَةَ لَمَّا رَأَوُا۟ ٱلْعَذَابَ وَجَعَلْنَا ٱلْأَغْلَـٰلَ فِىٓ أَعْنَاقِ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ ۚ هَلْ يُجْزَوْنَ إِلَّا مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ
Dan orang-orang yang dianggap lemah berkata kepada orang-orang yang menyombongkan diri, “(Tidak), sebenarnya tipu daya (kamu) pada waktu malam dan siang (yang menghalang kami), ketika kamu menyeru kami supaya kami kafir kepada Allah dan menjadikan sekutu-sekutu bagi-Nya.” Kedua-dua belah pihak menyatakan penyesalan tatkala mereka melihat azab. Dan Kami pasang belenggu di leher orang-orang yang kafir. Mereka tidak dibalas melainkan dengan apa yang telah mereka kerjakan.
Lalu para pengikut kembali berkata kepada pemimpin mereka dengan tuduhan bahawa para pemimpin itulah yang telah menghalang mereka daripada keimanan. Pemimpin merekalah yang melakukan tipu daya, muslihat dan berusaha siang malam dengan memberikan berita-berita palsu agar mereka tetap ingkar dan kufur kepada Allah Swt dan menyekutukan-Nya.
Kemudian Allah Swt menerangkan kesudahan dan nasib kedua-dua belah pihak tersebut. Kedua-dua belah pihak masing-masing memendam rasa penyesalan yang amat sangat atas kekafiran mereka. Penyesalan itu nampak jelas pada raut wajah mereka ketika azab meliputi mereka. Mereka dililit dengan rantai belenggu yang mengikat tangan ke leher mereka dalam neraka.
Pada akhir ayat ini, Allah Swt menerangkan keadilan-Nya dengan balasan tersebut. Sesungguhnya Dia membalas hamba-hamba-Nya mengikut amal perbuatan mereka sendiri. Para pemimpin mendapat azab mengikut tingkatan mereka dan demikian pula pengikut mendapat azab mengikut tingkatan mereka.
Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:
“Allah berfirman, ‘Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama golongan jin dan manusia yang telah terdahulu sebelum kamu.’ Setiap suatu umat masuk (ke dalam neraka), dia melaknat saudaranya, sehingga apabila mereka telah masuk semuanya berkatalah orang-orang yang (masuk) setelahnya (kepada) orang-orang yang masuk terlebih dahulu, ‘Wahai Rabb kami, mereka telah menyesatkan kami. Datangkanlah seksaan api neraka yang berlipat ganda kepada mereka.’ Allah berfirman, ‘Masing-masing akan mendapat (seksaan) yang berlipat ganda, akan tetapi kamu tidak mengetahuinya.’”
Al-A’raf 7:38
Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya Neraka Jahannam itu ketika orang-orang yang menjadi penghuninya diseret ke sana, mereka pun terkena sambarannya. Kemudian sambaran tersebut menyambar muka mereka dengan sekali sambar sehingga menghanguskan mereka. Maka tidak tertinggal sepotong daging pun kecuali yang berciciran di atas betis mereka.”
(HR. Ibnu Abi Hatim)