Surah 34: Saba’ (20 – 21)

Tipu Daya Iblis terhadap Orang Kafir

Surah 34: Saba’ (20 – 21)


Ayat 20

وَلَقَدْ صَدَّقَ عَلَيْهِمْ إِبْلِيسُ ظَنَّهُۥ فَٱتَّبَعُوهُ إِلَّا فَرِيقًا مِّنَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Dan sesungguhnya Iblis telah dapat membuktikan kebenaran sangkaannya terhadap mereka lalu mereka mengikutinya, kecuali sebahagian orang-orang yang beriman.

Allah Swt menyatakan bahawa kaum Saba’ dan orang-orang seperti mereka itulah orang-orang yang mengikuti Iblis dan hawa nafsu, menentang kebenaran, petunjuk dan bimbingan.

Iblis berfikiran sekiranya ia menggoda mereka, pasti mereka akan tergoda dan mengikutinya kerana tertipu dengan bisikan dan pujuk rayunya. Ternyata memang benar seperti apa yang difikirkan oleh Iblis tersebut menyebabkan mereka telah derhaka kepada Allah Swt dengan menyembah matahari bukan menyembah Dia, Rabb semesta alam. Hanya sebahagian sahaja daripada mereka yang beriman yang tidak mudah dipengaruhi oleh nafsu dan ajakan Iblis.

Firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“(Iblis menjawab), ‘Demi kemuliaan-Mu, pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba-hamba-Mu yang disucikan.’”

Sad 38:82-83

Ayat 21

وَمَا كَانَ لَهُۥ عَلَيْهِم مِّن سُلْطَـٰنٍ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَن يُؤْمِنُ بِٱلْـَٔاخِرَةِ مِمَّنْ هُوَ مِنْهَا فِى شَكٍّۢ ۗ وَرَبُّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ حَفِيظٌ

Dan tidak ada kekuasaan (Iblis) terhadap mereka, melainkan untuk Kami membezakan siapa yang beriman kepada Hari Akhirat dan siapa yang masih ragu-ragu tentang (akhirat) itu. Dan Rabbmu Maha Memelihara segala sesuatu.

Allah Swt menyatakan bahawa Dia membiarkan Iblis menggoda mereka supaya jelas diketahui siapa di antara mereka yang percaya kepada Hari Akhirat dan perhitungan serta ada pembalasan terhadap apa yang dilakukan. Begitu juga untuk mengetahui siapa yang ragu-ragu tentangnya.

Sesungguhnya Iblis tidak berkuasa mempengaruhi manusia. Ini sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam ayat yang lain:

“Sesungguhnya syaitan itu tidak ada kekuasaannya terhadap orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Rabb mereka. Sesungguhnya kekuasaannya (syaitan) hanyalah terhadap orang-orang yang mengambilnya jadi pemimpin dan terhadap orang-orang yang mempersekutukannya dengan Allah.”

An-Nahl 16:99-100

Allah Swt sahajalah yang mengawasi segala pekerjaan hamba-hamba-Nya dan memberikan balasan yang sewajarnya.