Surah 34: Saba’ (15 – 19)

Kisah Kaum Saba’ dan Hukuman Allah Swt ke atas Mereka

Surah 34: Saba’ (15 – 19)


Ayat 15

لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِى مَسْكَنِهِمْ ءَايَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا۟ مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لَهُۥ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

Demi sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Allah) di tempat tinggal mereka, iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (Kepada mereka dikatakan), “Makanlah olehmu rezeki yang (dianugerahkan) oleh Rabbmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya. (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Rabbmu) adalah Rabb Yang Maha Pengampun.

Saba’ adalah nama suatu kabilah dari kabilah-kabilah Arab yang tinggal di daerah Yaman. Mereka mendirikan kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan Saba’. Ibu kotanya adalah Ma’rib.

Ada juga yang mengatakan bahawa Saba’ adalah gelaran bagi raja-raja Yaman, juga dijadikan nama kepada penduduk negeri Yaman.

Ibnu Jarir ra mengatakan, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw tentang Saba’ sama ada ia adalah nama negeri atau nama seorang perempuan lalu baginda menjawab:

“Ia bukan nama negeri dan bukan seorang perempuan. Ia seorang lelaki yang memiliki sepuluh orang anak. Enam orang bermukim di Yaman dan empat orang di Syam……….”

(HR At-Tirmidzi)

Sesungguhnya bagi kaum Saba’ terdapat tanda-tanda kebesaran Allah Swt di tempat kediaman mereka di selatan Yaman iaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri negeri mereka.

Oleh itu, mereka diperintahkan-Nya melalui para Rasul yang diutuskan, agar mereka menikmati rezeki yang dianugerahkan oleh Allah Swt yang memelihara mereka dan bersyukur kepada-Nya. Dia telah menjadikan negeri mereka negeri yang baik, nyaman, sentosa dan dimurahkan rezeki. Sesungguhnya Dia-lah Rabb yang Maha Pengampun kepada sesiapa pun yang mahu bertaubat.

Ayat 16

فَأَعْرَضُوا۟ فَأَرْسَلْنَا عَلَيْهِمْ سَيْلَ ٱلْعَرِمِ وَبَدَّلْنَـٰهُم بِجَنَّتَيْهِمْ جَنَّتَيْنِ ذَوَاتَىْ أُكُلٍ خَمْطٍ وَأَثْلٍ وَشَىْءٍ مِّن سِدْرٍ قَلِيلٍ

Tetapi mereka berpaling, maka Kami datangkan kepada mereka banjir yang besar dan Kami gantikan kedua-dua kebun mereka dengan dua kebun yang ditumbuhi (pohon-pohon) yang berbuah pahit, pohon Athl (cemara) dan sedikit pohon Sidr (bidara).

Pada mulanya penduduk Saba’ ini menjalankan segala perintah para Rasul, tetapi lama kelamaan mereka mula berpaling daripada perintah Allah Swt. Mereka tidak lagi mentauhidkan-Nya, enggan beribadah kepada-Nya dan tidak mensyukuri segala nikmat yang dianugerahkan-Nya, malah mereka menyembah matahari atau menyembah selain-Nya. Hal ini adalah sebagaimana yang diungkapkan oleh burung hud-hud kepada Nabi Sulaiman as dalam firman-Nya:

“Maka tidak lama kemudian (datanglah hud-hud), lalu ia berkata, ‘Aku telah mengetahui sesuatu yang kamu belum mengetahuinya, dan aku bawa kepadamu dari negeri Saba’ suatu berita penting yang meyakinkan. Sesungguhnya aku dapati ada seorang perempuan yang memerintah mereka, dan dia dianugerahkan dengan segala sesuatu serta memiliki singgahsana yang besar. Aku (hud-hud) dapati dia dan kaumnya menyembah matahari selain Allah, dan syaitan telah menjadikan mereka memandang indah perbuatan-perbuatan (buruk) mereka, lalu menghalang mereka dari jalan (Allah), sehingga mereka tidak mendapat petunjuk.’”

An-Naml 27:22-24

Maka disebabkan kekufuran mereka, Allah Swt datangkan bencana berupa banjir yang besar kepada mereka dengan runtuhnya empangan Ma’rib. Empangan Ma’rib ini telah dibina oleh raja-raja Saba’ bertujuan mengairi kebun-kebun bagi menghasilkan buah-buahan bermutu tinggi.

Akibat daripada banjir besar tersebut, segala tanaman mereka musnah. Kemewahan yang mereka nikmati digantikan oleh Allah Swt dengan dua kebun sebagaimana yang disebutkan dalam ayat ini. Ada pendapat mengatakan, kedua-dua kebun itu tidak menghasilkan apa-apa sahaja tanaman kecuali pokok-pokok yang tidak produktif.

Qatadah mengatakan, pada awalnya pepohonan dan tanaman mereka adalah termasuk pepohonan dan tanaman yang terbaik. Namun disebabkan perilaku mereka yang buruk itu, Allah Swt pun menggantikannya dengan pepohonan dan tanaman yang termasuk jenis paling buruk. Dia membinasakan pepohonan dan tanaman mereka yang berbuah serta produktif itu, dan sebagai gantinya Dia menumbuhkan arak, tharfa’ dan sidr (yang tidak boleh dimakan).

Ayat 17

ذَٰلِكَ جَزَيْنَـٰهُم بِمَا كَفَرُوا۟ ۖ وَهَلْ نُجَـٰزِىٓ إِلَّا ٱلْكَفُورَ

Demikianlah Kami memberi balasan kepada mereka disebabkan kekafiran mereka. Dan Kami tidak menimpakan azab (yang demikian itu), melainkan hanya kepada orang-orang yang sangat kafir.

Mereka diberikan balasan seperti itu adalah disebabkan mereka mengkufuri nikmat Allah Swt dan mendustakan kebenaran.

Pada akhir ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Dia tidak menjatuhkan hukuman kecuali terhadap orang-orang tersangat kafir. Firman-Nya:

“Kemudian Aku azab orang-orang yang kafir, maka (lihatlah) bagaimana (hebatnya) akibat kemurkaan-Ku.”

Fatir 35:26

Ayat 18

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ ٱلْقُرَى ٱلَّتِى بَـٰرَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَـٰهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا ٱلسَّيْرَ ۖ سِيرُوا۟ فِيهَا لَيَالِىَ وَأَيَّامًا ءَامِنِينَ

Dan Kami jadikan antara mereka (kaum Saba’ di Yaman) dan negeri-negeri yang Kami berkati (Syam), beberapa negeri yang berdekatan dan Kami tetapkan antara negeri-negeri itu (jarak-jarak) perjalanan. Berjalanlah kamu di kota-kota itu pada malam dan siang hari dengan aman.

Antara nikmat yang dianugerahkan kepada penduduk Saba’ adalah jalan-jalan yang mereka lalui untuk berdagang antara Yaman dan Syam adalah jalan-jalan melalui kawasan yang didiami manusia. Kawasan itu pula adalah kawasan yang diberkati iaitu buminya subur ditumbuhi pohon-pohon dan terdapat sumber air serta hasil pertanian yang melimpah.

Oleh itu mereka tidak perlu membawa bekalan air, makanan dan yang lainnya. Tempat-tempat yang mereka lalui itu juga boleh dijadikan tempat persinggahan atau tempat mereka beristirahat pada waktu tengah hari atau malam. Hal ini amat memudahkan pedagang-pedagang yang sedang bermusafir.

Maksud ayat, “Negeri-negeri yang Kami berkati,” ialah negeri-negeri yang Allah telah limpahkan keberkatan iaitu negeri-negeri yang berada di Syam, disebabkan kesuburan tanahnya.

Manakala maksud, “Beberapa negeri yang berdekatan,” ialah negeri-negeri antara Yaman dan Syam, sehingga orang ramai dapat berjalan dengan aman pada waktu siang dan malam tanpa terpaksa berhenti di padang pasir dan tanpa menghadapi kesulitan. Ini menunjukkan betapa sempurnanya nikmat yang Allah Swt berikan kepada mereka dengan memelihara keselamatan mereka dalam perjalanan.

Ayat 19

فَقَالُوا۟ رَبَّنَا بَـٰعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوٓا۟ أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَـٰهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَـٰهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

Maka mereka berkata, “Wahai Rabb kami jauhkanlah jarak perjalanan kami,” dan mereka menzalimi diri mereka sendiri. Maka Kami jadikan mereka buah mulut dan Kami hancurkan mereka sehancur-hancurnya. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi setiap orang yang sabar lagi bersyukur.

Namun mereka kufur terhadap nikmat yang telah diberikan oleh Allah Swt selama ini iaitu mereka dapat menempuh perjalanan dari Yaman ke Syam melalui kota-kota yang saling berdekatan antara satu sama lain dengan aman pada waktu siang dan malam tanpa ada perasaan takut. Mereka juga mendapat bekalan keperluan atau air dan tempat beristirahat di setiap kota yang mereka singgah.

Mereka berdoa agar dijauhkan perjalanan tersebut dengan meminta supaya Allah Swt melenyapkan sebahagian kota-kota itu supaya mereka dapat membawa bekalan keperluan dan mengenderai tunggangan serta perjalanan yang penuh berisiko. Mereka jadikan ini sebagai alasan untuk menaikkan harga barang dagangan bagi mendapat keuntungan yang lebih besar. Ini merupakan kezaliman terhadap diri mereka sendiri.

Oleh sebab sikap mereka yang tidak lagi mahu menghargai nikmat dan kufur terhadap Allah Swt, maka Dia menghukum mereka dan menjadikan kisah mereka sebagai bahan cerita di kalangan umat iaitu bagaimana Dia memecahbelahkan perpaduan antara mereka. Akhirnya mereka terpisah menjadi beberapa kelompok komuniti yang menetap di negeri-negeri lain.

Semua ini merupakan pengajaran bagi orang yang sabar dalam menghadapi ujian dan orang yang bersyukur terhadap nikmat-Nya. Terdapat beberapa hadis yang menerangkan sifat sabar dan syukur antaranya:

Daripada Sa’ad bin Abi Waqqas ra, Rasulullah saw bersabda:

“Aku kagum dengan orang mukmin terhadap ketentuan Allah. Bila dia dianugerahi kebaikan, dia memuji Rabbnya dan bersyukur. Namun apabila dia mendapat musibah, dia masih memuji Rabbnya dan bersabar. Orang mukmin selalu mendapatkan pahala pada semua perbuatannya, tidak terkecuali sesuap nasi yang dia suapkan ke mulut isterinya.”

(HR. Ahmad)

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

“Sungguh menakjubkan urusan seorang mukmin itu, Allah tidak menetapkan sesuatu melainkan baik baginya. Jika mendapat kebahagiaan, dia bersyukur, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Dan jika mendapat kesusahan, dia bersabar, maka yang demikian itu adalah baik baginya. Tidak ada seorang pun yang dapat melakukan hal itu selain orang mukmin.”

(HR. Muslim)