Manusia Menerima untuk Memikul Amanah
Surah 33: Al-Ahzab (72 – 73)
Ayat 72
إِنَّا عَرَضْنَا ٱلْأَمَانَةَ عَلَى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَٱلْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا ٱلْإِنسَـٰنُ ۖ إِنَّهُۥ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh.
Allah Swt ingin menjelaskan betapa beratnya amanah ini sehingga makhluk ciptaan-Nya yang besar iaitu langit, bumi dan gunung ganang meskipun besar pada bentuk dan kekuatan, namun mereka tidak sanggup untuk memikulnya. Mereka menolaknya kerana takut tidak akan mampu untuk menyempurnakan tugas yang amat berat itu.
Amanah adalah hal-hal yang diwajibkan atau difardhukan kepada manusia. Sekiranya mereka menunaikannya, nescaya Allah Swt memberikan pahala kepada mereka. Namun sekiranya mereka mensia-siakannya, nescaya mereka akan diazab.
Lalu Allah Swt menawarkannya kepada manusia, kemudian manusia menerimanya dan sanggup memikul amanah ini. Sesungguhnya manusia itu sangat zalim kerana menyatakan kesanggupan memikul amanah ini tanpa memikirkan akibatnya sedangkan mereka adalah makhluk yang lemah. Mereka boleh dipengaruhi oleh pelbagai perasaan, emosi dan nafsu syahwat sehingga boleh mensia-siakannya dan sangat bodoh kerana menerima amanah tersebut tetapi sering lengah dan lupa untuk menjalankan atau memenuhinya.
Al-‘Aufi meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahwa amanat itu ialah ketaatan beribadah. Allah Swt menawarkan kepada makhluk-makhluk-Nya sebelum Dia menawarkannya kepada Nabi Adam as. Ternyata mereka tidak kuat memikul amanat tersebut. Lalu Allah Swt menawarkan kepada Nabi Adam as dengan berfirman, “Sungguh, Aku telah menawarkan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, namun mereka tidak sanggup memikulnya, lalu apakah engkau sanggup memikulnya berserta dengan segala akibatnya?” Nabi Adam as bertanya, “Wahai Rabbku, apakah yang dimaksudkan dengan segala akibatnya?” Allah berfirman, “Apabila engkau dapat melaksanakannya, engkau akan diberikan balasan kebaikan, namun sekiranya engkau tidak melakasanakannya nescaya engkau diberikan hukuman.” Lalu Nabi Adam as pun mengambil dan memikul amanat terebut.
Ayat 73
لِّيُعَذِّبَ ٱللَّهُ ٱلْمُنَـٰفِقِينَ وَٱلْمُنَـٰفِقَـٰتِ وَٱلْمُشْرِكِينَ وَٱلْمُشْرِكَـٰتِ وَيَتُوبَ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتِ ۗ وَكَانَ ٱللَّهُ غَفُورًا رَّحِيمًۢا
Sehingga Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan, dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukmin lelaki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Seterusnya, Allah Swt menerangkan akibat daripada penerimaan manusia terhadap amanat tersebut, maka mereka terbahagi kepada beberapa golongan iaitu:
▪️ Orang-orang munafik baik lelaki mahupun perempuan akan diazab kerana mereka ini menampakkan keimanan mereka kepada orang-orang mukmin disebabkan takut diperangi.
▪️ Orang-orang musyrik juga akan diazab disebabkan zahir dan batin mereka memang menyekutukan Allah Swt dan menyelisihi Rasul-Nya.
▪️ Orang-orang mukmin lelaki dan perempuan yang taat kepada Allah Swt, para Rasul-Nya dan risalah yang mereka bawa, mereka inilah orang-orang yang diterima taubat mereka sekiranya mereka bertaubat. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang dengan mengampuni dan memberikan pahala yang besar kepada mereka.
Allah Swt berfirman dalam surah yang lain:
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.”
Al-Anfal 8:27
Imam Ahmad meriwayatkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah saw bersabda:
“Empat perkara yang apabila berada dalam jiwamu, kamu tidak akan pernah kehilangan dunia, 1) memelihara amanah, 2) jujur dalam pembicaraan, 3) berakhlak baik dan 4) terjaga daripada makanan yang haram.”
(HR. Ahmad)