Surah 33: Al-Ahzab (70 – 71)

Perintah agar Bertakwa kepada Allah Swt dan Berkata Jujur

Surah 33: Al-Ahzab (70 – 71)


Ayat 70

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ وَقُولُوا۟ قَوْلًا سَدِيدًا

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar.

Allah Swt membimbing orang-orang beriman agar bertakwa kepada-Nya dengan melakukan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta mengucapkan perkataan yang benar dan jujur. Firman-firman Allah Swt dalam ayat yang lain:

“Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan orang yang membenarkannya, mereka itulah orang yang bertakwa.”

Az-Zumar 39:33

“Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu sebagai penegak keadilan kerana Allah (ketika) menjadi saksi yang adil. Dan janganlah kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah. Kerana (adil) lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui terhadap apa yang kamu lakukan.”

Al-Ma’idah 5:8

Ayat 71

يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَـٰلَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا

Nescaya Allah akan memperbaiki amalan-amalanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan sesiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang agung.

Kemudian Allah Swt menjanjikan dua hal kepada mereka yang bertakwa kepada-Nya dan berkata benar iaitu Dia akan memperbaiki amal-amal perbuatan mereka dan mengampuni dosa-dosa mereka.

Sesiapa yang mentaati Allah Swt dan Rasul-Nya dalam perintah dan larangan-Nya, maka dia telah beruntung dengan mendapat kehormatan yang besar sama ada di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Swt dalam surah-surah yang lain tentang kemenangan yang agung:

“Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang mula-mula (memeluk Islam) di antara orang-orang Muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka juga redha kepada Allah. Allah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.”

At-Taubah 9:100

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, mereka akan mendapat syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, maka itulah kemenangan yang agung.”

Al-Buruj 85:11