Janji dan Sumpah Setia Para Nabi
Surah 33: Al-Ahzab (7 – 8)
Ayat 7
وَإِذْ أَخَذْنَا مِنَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ مِيثَـٰقَهُمْ وَمِنكَ وَمِن نُّوحٍ وَإِبْرَٰهِيمَ وَمُوسَىٰ وَعِيسَى ٱبْنِ مَرْيَمَ ۖ وَأَخَذْنَا مِنْهُم مِّيثَـٰقًا غَلِيظًا
Dan (ingatlah) ketika Kami mengambil perjanjian daripada Nabi-nabi dan daripada kamu (sendiri) daripada Nuh, Ibrahim, Musa dan ‘Isa putera Maryam, dan Kami telah mengambil daripada mereka perjanjian yang teguh.
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian yang teguh daripada semua para Nabi dan juga daripada lima orang Nabi yang diberi gelaran Nabi-nabi Ulul ‘Azmi iaitu Nabi Muhammad saw, Nabi Nuh as, Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as dan Nabi Isa as untuk sentiasa menegakkan agama-Nya, menyampaikan risalah-Nya kepada manusia dan saling menolong meneguhkan antara satu sama lain, sebagaimana firman-Nya dalam ayat yang lain:
“Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian daripada para Nabi, ‘Sungguh, apa sahaja yang Aku berikan kepadamu berupa kitab dan hikmah, kemudian datang kepadamu seorang Rasul yang membenarkan apa yang ada padamu, nescaya kamu akan sungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya.’ Allah berfirman, ‘Apakah kamu mengakui dan menerima perjanjianKu terhadap yang demikian itu?’ Mereka menjawab, ‘Kami mengakui.’ Allah berfirman, ‘Kalau begitu, saksikanlah (wahai para Nabi) dan Aku menjadi saksi (pula) bersama kamu.’”
Ali ‘Imran 3:81
Perjanjian dan pernyataan ini diambil daripada mereka pada saat Allah Swt mengangkat mereka menjadi utusan-Nya.
Ayat 8
لِّيَسْـَٔلَ ٱلصَّـٰدِقِينَ عَن صِدْقِهِمْ ۚ وَأَعَدَّ لِلْكَـٰفِرِينَ عَذَابًا أَلِيمًا
Agar Dia bertanya kepada orang-orang yang benar tentang kebenaran mereka dan Dia menyediakan bagi orang-orang kafir azab yang pedih.
Allah Swt mengambil perjanjian tersebut daripada para Rasul agar Dia dapat bertanya kepada mereka sama ada tugas yang diamanahkan-Nya itu telah mereka laksanakan dengan baik dan sama ada umat-umat mereka menyahut ajakan mereka ataupun tidak. Begitu jugalah Allah Swt akan bertanya kepada manusia tentang kebenaran dakwah para Rasul kepada mereka.
Maka kelak di akhirat, manusia akan memberikan kesaksian bahawa para Rasul itu telah menyampaikan ajaran-ajaran Allah Swt, nasihat-nasihat dan petunjuk kepada jalan yang lurus. Namun ramai di kalangan manusia yang jahil datang silih berganti mendustakan dan menentang mereka.
Apa yang disampaikan oleh para Rasul itu adalah kebenaran sejati, manakala orang-orang yang menentang mereka berada dalam kesesatan. Firman-Nya:
“……….Sesungguhnya Rasul-rasul Rabb kami telah datang membawa kebenaran……….”
Al-A’raf 7:43
Lalu Allah Swt memberi balasan kepada orang-orang yang beriman dengan syurga dan Dia telah menyiapkan bagi orang-orang kafir pada Hari Kiamat azab yang pedih di dalam Neraka Jahannam.